Malaysia Kekal Dalam Senarai Pemerhatian Amerika Syarikat bagi Pemerdagangan Manusia
2016.06.30
Washington

Malaysia tidak meningkatkan usaha-usaha antipemerdagangannya pada 2015 dan kekal berada dalam "Senarai Pemerhatian" kerajaan Amerika Syarikat terhadap negara-negara yang "tidak memenuhi sepenuhnya standard minimum" untuk membanteras pemerdagangan manusia, kata Jabatan Negara pada Khamis.
Semasa mengeluarkan Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2016, Jabatan Negara meletakkan Malaysia pada Tahap 2 dalam Senarai Pemerhatian, setahun selepas ia terjebak dalam kontroversi dengan negara Asia Tenggara itu apabila ia menaikkan kedudukannya ke tahap itu daripada tahap paling rendah, Tahap 3.
"Kerajaan Malaysia tidak memenuhi sepenuhnya standard minimum untuk membanteras pemerdagangan manusia; bagaimanapun, ia sedang melaksanakan usaha-usaha penting dalam berbuat demikian, "kata Pejabat bagi Memantau dan Memerangi Pemerdagangan Manusia jabatan itu dalam laporan tahunannya mengenai keadaan pemerdagangan manusia di seluruh dunia.
"Walaupun adanya langkah-langkah ini, kerajaan itu tidak menunjukkan peningkatan usaha keseluruhannya bagi antipemerdagangan berbanding tempoh laporan sebelum ini; oleh itu, Malaysia diletakkan dalam Tahap 2 Senarai Pemerhatian bagi tahun kedua berturut-turut," menurut laporan itu.
Sebahagian besar daripada negara itu menjadi destinasi bagi lelaki, wanita dan kanak-kanak dari negara-negara di Asia Selatan dan Asia Tenggara, dengan sesetengah daripada mereka berakhir sebagai buruh paksa atau terpaksa membanting tulang di ladang kelapa sawit dan tapak pembinaan, atau sebagai pembantu rumah di rumah-rumah rakyatnya, menurut Laporan itu. Antara warga asing yang diperdagangkan itu, terdapat wanita dan sebilangan kecil kanak-kanak yang diperdagangkan untuk seks.
Kebanyakan populasi orang yang diperdagangkan di Malaysia adalah dalam kalangan kira-kira 2 juta pendatang tanpa izin yang terdapat di negara itu, kata Laporan berkenaan.
"Malaysia memulakan sedikit siasatan dan pendakwaan pemerdagangan manusia berbanding tahun lepas, tetapi meningkatkan sabitan daripada tiga kepada tujuh. Hukuman untuk penyeludup yang disabitkan adalah berbeza-beza, tetapi ada di antaranya yang tidak cukup ketat,"kata Laporan itu, sambil menambah, antara cadangan lain ialah Malaysia perlu meningkatkan bilangan kes pendakwaan dan menghukum mereka yang terlibat dalam sindiket memperdagangkan manusia, "termasuklah pegawai yang bersubahat. "
'Berusaha bersungguh-sungguh'
Pegawai-pegawai kerajaan Malaysia tidak segera mengeluarkan kenyataan balas kepada Laporan Jabatan Negara itu, yang dikeluarkan secara rasmi di Washington pada 9 pagi (waktu tempatan) - petang Khamis di Kuala Lumpur.
Pada April lalu, Ketua Polis Malaysia berkata negara itu "sentiasa telus" dan "tidak pernah menyembunyikan apa-apa jenayah merentas sempadan daripada dunia, terutamanya apabila ia melibatkan pemerdagangan manusia," lapor agensi berita negara, Bernama.
"Kami akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk memerangi pemerdagangan manusia dan isu-isu merentas sempadan," Bernama memetik Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar sebagai berkata pada 16 April.
Laporan tahunan jabatan itu meliputi tempoh dari 1 April hingga 31 Mac pada tahun berikutnya.
Tetapi, Laporan TIP tahun lepas, yang meliputi lapan bulan terakhir 2014 dan tiga bulan pertama 2015, telah diterbitkan sebelum meletusnya krisis penghijrahan merentasi Asia Tenggara dan penemuan kubur-kubur hutan di kedua-dua belah sempadan Thailand-Malaysia pada Mei 2015, yang mengandungi mayat-mayat Rohingya Muslim dari Myanmar dan pendatang Bangladesh yang diperdagangkan.
Laporan TIP tahun ini menyentuh mengenai episod itu.
"Kerajaan telah menyoal siasat beberapa pegawai selepas penemuan sejumlah besar kubur di sempadan Thailand, tetapi tidak mendakwa mana-mana pegawai kerana bersubahat dalam jenayah pemerdagangan manusia dalam tempoh Laporan itu," kata Laporan itu.
'Peningkatan tidak wajar'
Krisis penghijrahan tahun lepas menjadi buruk apabila Thailand melancarkan tindakan keras terhadap sindiket pemerdagangan manusia dan mengenakan sekatan maritim terhadap bot-bot yang membawa orang yang diseludup, hingga memaksa kira-kira 3,000 Rohingya Muslim dan Bangladesh untuk mendarat di negara jirannya, Malaysia dan Indonesia.
Pada Khamis, Jabatan Negara menaikkan kedudukan Thailand dari Tahap 3 kepada Tahap 2 dalam Senarai Pemerhatian itu.
Laporan TIP tahun lepas menjadi kontroversi kerana Thailand diletakkan pada Tahap 3 tetapi Malaysia dinaikkan ke Senarai Pemerhatian. Kumpulan penyokong hak-hak asasi manusia kemudian mengkritik Washington kerana mempromosikan Malaysia sebagai insentif bagi Kuala Lumpur menandatangani perjanjian perdagangan mercu tanda, Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), yang diperjuangkan oleh pentadbiran Obama ketka itu.
Pada masa itu, pegawai-pegawai Washington menafikan dakwaan pilih kasih terhadap Malaysia, dengan menyatakan bahawa langkah menaikkkan kedudukannya itu dibuat berdasarkan analisis objektif terhadap fakta-fakta yang dikumpul.
Selepas Jabatan Negara mengeluarkan Laporan TIP terbaru, Senator Bob Menendez (D-N.J.), seorang ahli kanan Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat Amerika Syarikat, mempersoalkan kredibiliti jabatan itu berikutan kedudukan yang diberikannya kepada beberapa negara termasuk Malaysia.
"Saya kecewa, tetapi tidak terkejut, bahawa Jabatan Negara telah gagal menggunakan Laporan Pemerdagangan Manusia tahun ini untuk memulihkan kewibawaan terhadap apa yang sepatutnya menjadi kenyataan yang tegas dan jelas mengenai nilai-nilai nasional kita. Kedudukan yang diberikan kepada Malaysia, Cuba dan negara-negara lain adalah tidak berpadanan dengan fakta-fakta di lapangan. Yang pasti, mereka tidak sepadan dengan kandungan Laporan itu sendiri tentang apa yang sedang berlaku di negara-negara berkenaan,"kata Menendez dalam satu kenyataan media.
"Peningkatan tidak wajar yang diberikan kepada Malaysia pada tahun lepas nampaknya telah menyebabkan Jabatan Negara tidak dapat menurunkan had bagi negara yang akan dikeluarkan dari Tahap 3. Saya percaya bahawa kedudukan mestilah berdasarkan kepada penilaian objektif piawaian minimum dalam Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan, usaha sesebuah negara untuk bertemu dengan mereka, dan kesan terhadap tindakan kerajaan memperbaiki kehidupan mangsa-mangsa pemerdagangan. Tiada pertimbangan lain yang perlu dilakukan," kata senator itu.