Mahathir Tidak Tolak ‘Kemungkinan’ Bekerjasama Dengan Anwar Ibrahim
2016.09.06
Putrajaya

Bekas perdana menteri Malaysia Mahathir Mohamad, yang mengadakan pertemuan bersejarah minggu ini dengan pemimpin pembangkang de facto sedang dipenjarakan Anwar Ibrahim - musuh ketat beliau – berkata, mereka "mungkin" boleh bekerjasama dalam usaha menggulingkan Perdana Menteri Najib Razak yang terpalit dengan skandal.
Dalam temu bual dengan BeritaBenar susulan pertemuan pertama dengan Anwar pada Isnin, selepas hampir dua dekad tidak berbuat demikian, bekas pemimpin itu juga menyatakan bahawa pertemuan tersebut memberi isyarat tentang menamatkan persengketaan mereka yang berpanjangan, yang tercetus akibat tindakan Mahathir memecat Anwar sebagai timbalannya pada 1998 ketika beliau menjadi perdana menteri.
Anwar kemudian disabitkan dengan tuduhan liwat dan rasuah serta dihukum penjara lima tahun atas tuduhan tersebut, yang beliau dakwa adalah sebahagian daripada rancangan konspirasi bekas ketuanya itu. Anwar dipenjarakan sekali lagi atas tuduhan liwat yang baru oleh kerajaan Najib pada 2015.
Mahathir bertemu Anwar di sebuah mahkamah di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia, pada Isnin untuk menyokong permohonan yang difailkan Anwar terhadap undang-undang keselamatan negara baru lebih ketat yang dilaksanakan Najib, dengan kumpulan hak asasi manusia berkata ia membolehkan pentadbiran Najib untuk menekan hak asasi manusia dan bertindak dengan sewenang-wenangnya.
"Mungkin ... mungkin," kata Mahathir kepada BeritaBenar ketika ditanya sama ada beliau menjangka untuk bekerjasama dengan Anwar lagi bagi kepentingan negara ini, selepas gambar kedua-dua musuh ketat itu tersenyum sambil bersalaman terpampang di media sosial.
"Saya bekerjasama walaupun dengan orang yang mengutuk saya kerana rasuah, nepotisme, kronisme, dan lain-lain. Tetapi semua itu berlaku pada masa lalu," kata Mahathir di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada Selasa.
"Jika mereka sanggup untuk bersama dengan saya, bekerja dengan saya, saya akan bekerjasama dengan mereka, kerana matlamat utama sekarang ialah untuk menyingkirkan kerajaan sekarang ini," katanya.
Pemimpin pembangkang Malaysia yang dipenjarakan Anwar Ibrahim (kiri) dan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad saling bersalaman dan bertegur sapa di dalam kamar sebuah mahkamah di Kuala Lumpur, 5 September, 2016. [Ihsan daripada Parti Keadilan Rakyat]
'Saya tidak boleh terus simpan dendam'
Mahathir dan sebuah kumpulan, yang berpecah daripada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang diterajui Najib, telah memohon pendaftaran untuk membentuk sebuah parti politik baru - Parti Pribumi Malaysia Bersatu (Bersatu).
Anwar, dalam pada itu, menyokong Mahathir menentang Najib berhubung tuduhan rasuah yang dikaitkan dengan dana negara yang dibebani hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mahathir, yang berusia 91 tahun, berkata, beliau tidak boleh terus menyimpan dendam terhadap Anwar walaupun telah mengambil tindakan terhadapnya semasa beliau menjadi perdana menteri.
"Beliau dipenjarakan ketika pentadbiran saya tetapi kemudiannya beliau dibebaskan. Hukuman penjaranya sekali lagi bukanlah oleh saya. Saya tidak berbuat demikian. Saya tidak boleh terus menyimpan dendam," kata Mahathir.
"Saya tidak boleh selama-lamanya menentang seseorang selepas beliau telah pun menjalani hukuman bagi apa jua kesalahannya. Saya tidak boleh berbuat demikian. Ia bukannya hal peribadi, "katanya.
Mahathir berkata, beliau ke mahkamah untuk memberi sokongan moral kepada Anwar berhubung permohonan saman undang-undangnya.
"[Anwar] mencabar kesahihan Akta Majlis Keselamatan [Negara] dan saya telah menulis dalam blog saya bahawa saya menentang Akta Majlis Keselamatan," kata Mahathir.
"Oleh itu, saya bertemu beliau dan berbincang panjang lebar dengan beliau dan peguamnya, serta kami berbincang tentang perkara yang melanggar undang-undang dan yang salah mengenai Akta Majlis Keselamatan."
Najib, yang berdepan gesaan peletakan jawatan selepas dikaitkan dengan skandal rasuah berjuta-juta dollar, telah menyegerakan pembentangan Akta Keselamatan Negara di Parlimen pada Disember. Selepas ia diluluskan, rang undang-undang itu tidak mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Malaysia, yang telah menitahkan supaya beberapa perubahan dibuat. Undang-undang itu berkuat kuasa pada Ogos.
Pertemuan Mahathir-Anwar adalah "pertemuan pertama selepas 18 tahun, 3 hari ... sejak 2 September 1998," kata isteri Anwar, Wan Azizah Wan Ismail - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) – dalam catatan beliau di Twitter.
Anwar, sejurus sebelum meninggalkan mahkamah, memberitahu pemberita bahawa kehadiran Mahathir untuk memberi sokongan kepada permohonannya di mahkamah menunjukkan bahawa pemimpin itu menyokong pembaharuan.
"Beliau menunjukkan kesediaannya untuk hadir dan menyatakan sokongannya terhadap permohonan itu di mahkamah, serta mendoakan kesihatan dan kejayaan saya. Dan saya andaikan, oleh itu, beliau menyokong agenda reformasi, "Anwar dipetik sebagai berkata dalam video yang terdapat di media sosial.
Pilihan raya umum yang akan datang perlu diadakan pada pertengahan 2018.
Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi Wan Saiful Wan Jan berkata pertemuan Mahathir-Anwar akan menimbulkan kebimbangan dalam kerajaan campuran Barisan Nasional pimpinan Najib.
"Dalam politik, persahabatan tidak kekal dan musuh bukanlah musuh selamanya," katanya kepada BeritaBenar.
Penganalisis politik Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak berkata Mahathir sudah pasti telah "memikirkan sedalam-dalamnya tentang percaturan politik itu, dan sedar tentang implikasi tindakannya."
Melati A. Jalil menyumbang kepada laporan ini