1MDB: Malaysia Saman JP Morgan, Deutsche Bank Serta Coutts & Co

Dana negara itu dan bekas anak syarikatnya menuntut AS$23 bilion daripada institusi kewangan serta individu, kata Kementerian Kewangan.
Hadi Azmi
2021.05.10
Kuala Lumpur
1MDB: Malaysia Saman JP Morgan, Deutsche Bank Serta Coutts & Co Dua individu menaiki motosikal melewati papan iklan 1MDB di kawasan pembangunan Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur, 3 Feb 2016.
[Reuters]

Malaysia memfailkan tuntutan sivil terhadap beberapa unit bank pelaburan global JP Morgan, Deutsche Bank dan Coutts & Co sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mendapatkan kembali berbilion dolar kerugian yang dialami dana negara 1MDB dalam skandal rasuah, menurut dokumen mahkamah.

Tuntutan sivil itu, kesemuanya berjumlah 22, difailkan pada Jumaat oleh 1MDB dan bekas anak syarikatnya, yang kini tidak lagi berfungsi, bagi mendapatkan kembali $23 bilion dan tindakan itu diambil selepas kerajaan berjaya memperoleh sekurang-kurangnya $5 bilion hasil penyelesaian 1MDB daripada Goldman Sachs dan lain-lain, kata  Kementerian Kewangan Malaysia pada Isnin.

“Dalam usaha berterusan Kerajaan untuk menangani kerugian yang dialami oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC), Kementerian Kewangan dengan ini mengesahkan bahawa pada 7 Mei 2021, wakil guaman kedua-dua entiti ini telah memfailkan sejumlah 22 tuntutan sivil,” menurut kenyataan kementerian itu.

“Enam daripada writ saman ini difailkan oleh 1MDB sementara 16 lagi oleh SRC untuk pemulangan aset dengan jumlah keseluruhan melebihi RM96.6 bilion (AS$23 bilion), termasuk kira-kira RM300 juta tuntutan terhadap pelbagai pihak tempatan,” kata Kementerian Kewangan pada Isnin.

Pendakwa raya Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) telah mendakwa bahawa sekurang-kurangnya $4.5 bilion (RM18.8 bilion) diselewengkan daripada 1MDB di antara 2009 dan 2014 dalam satu skandal rasuah yang melibatkan institusi kewangan asing dan tempatan serta para pegawai berpangkat tinggi.

Dalam satu daripada writ itu, yang dapat dilihat oleh BenarNews, 1MDB mengemukakan tuntutan berdasarkan pelbagai kesalahan termasuk "kecuaian, pelanggaran kewajipan kontrak, konspirasi melakukan frod, pecah kewajipan dan amanah secara frod serta bantuan tidak jujur dalam penyelewengan dana” oleh ketiga-tiga bank antarabangsa itu, dua unit Petrosaudi dan dua ahli lembaga pengarahnya.

 Writ itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam sesi secara dalam talian pada Isnin.

Sebuah laman sesawang kewangan Malaysia The Edge Markets melaporkan bahawa bekas Perdana Menteri Najib Razak dan pembiaya kewangan dalam buruan Jho Low adalah antara yang disaman oleh SRC, anak syarikat 1MDB, pada Jumaat tetapi BenarNews tidak dapat mengesahkan maklumat itu.

Najib telah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun bagi pertuduhan berkaitan rasuah dalam kes jenayah membabitkan 1MDB dan beliau kini dalam jaminan.

Peguam Najib, Farhan Shafee memberitahu BenarNews bahawa anak guamnya belum menerima writ saman itu. M. Puravale, peguam yang mewakili ibu Jho dalam satu lagi kes berkaitan 1MDB,  pula memaklumkan BenarNews bahawa beliau tidak dihubungi untuk mewakili keluarga Low bagi kes terbaru itu, sekiranya ia telah difailkan.

'Memburu pesalah laku lain'

1MDB memfailkan tuntutan sebanyak $1.11 bilion terhadap Deutsche Bank (Malaysia), Coutts & Co yang berdaftar di Switzerland sebanyak $1.03 bilion serta JP Morgan (Switzerland) sebanyak $800 juta selain bayaran faedah daripada ketiga-tiganya, menurut writ yang dilihat oleh BenarNews.

Sejak Oktober lalu, Malaysia telah memperoleh semula sebanyak $2.5 bilion daripada Goldman Sachs dan anak syarikatnya di Malaysia dengan $1.4 bilion lagi sebagai jaminan pemerolehan aset. Bank itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan di mahkamah persekutuan AS berkaitan rasuah yang dibayarnya kepada pegawai di Malaysia dan Abu Dhabi.

Malaysia juga akan menerima $700 juta sebagai penyelesaian tuntutan dan denda berkaitan 1MDB daripada Kumpulan AmBank. Selain itu, Malaysia akan menerima $80 juta daripada Deloitte untuk menyelesaikan semua tuntutan yang berkaitan dengan auditnya bagi dana negara itu.

Pemerolehan semula itu telah pendorong kerajaan Malaysia meningkatkan tekanan terhadap institusi kewangan dan individu lain yang didakwa terlibat dalam skandal 1MDB.

"Berikutan kejayaan penyelesaian yang signifikan terhadap Goldman Sachs, Kumpulan AmBank dan Deloitte PLT, usaha Kerajaan kini difokuskan untuk membawa ke muka pengadilan pesalah laku lain yang telah menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan/atau SRC semasa pelaksanaan tugas mereka, sebagai pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan urus niaga 1MDB dan/atau SRC,” kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam kenyataan kementerian itu.

“Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, Kerajaan akan meneruskan usaha sehingga semua pihak yang terlibat dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas kesalahan kepada negara melalui penglibatan mereka dalam 1MDB dan/atau SRC,” kata beliau.

Pada Julai lepas, Najib didapati bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dakwaan bahawa beliau menerima RM42 juta (AS$9.67 juta) secara tidak sah daripada SRC.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.