Hari Malaysia Saksikan Rakyat Sarawak dan Sabah Kembali Tuntut Autonomi

Dennis Wong
2016.09.16
Kuching, Malaysia
160916-MY-malaysia-day-620.jpg Ahli-ahli ‘Sarawak untuk rakyat Sarawak’ mengadakan protes di Padang Merdeka pada Jumaat, dengan menggesa kerajaan negeri menuntut autonomi, 16 Sep 2016.
Dennis Wong/BeritaBenar

Sekumpulan penduduk  Sabah dan Sarawak di pulau Borneo mengadakan protes bagi mendapatkan autonomi lebih luas ketika kedua-dua negeri itu menyambut ulang tahun ke-53 menyertai Malaysia pada Jumaat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merasmikan sambutan  Hari Malaysia tahun ini di Bintulu, kira-kira 600 kilometer (372 batu) dari Kuching, ibu negeri Sarawak, yang terletak di Malaysia Timur.

Najib memberitahu mereka yang menyambutnya pada Jumaat malam bahawa beliau berhasrat melihat semua rakyat di Sarawak dan Sabah menikmati taraf kehidupan yang sama seperti rakyat di Semenanjung Malaysia, lapor akhbar The Star. Ada banyak perkara yang boleh dibanggakan di negara ini yang merangkumi negeri-negeri  dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, katanya.

Namun,  hari sambutan itu terpalit kontroversi apabila kira-kira 100 penunjuk perasaan mengadakan protes di Padang Merdeka, Kuching, dan menggesa supaya Sarawak diberikan autonomi. Kumpulan "Sarawak untuk rakyat Sarawak" menggesa supaya negeri itu keluar dari Malaysia.

Selepas 53 tahun menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, Sarawak telah ketinggalan kerana Perjanjian Malaysia 1963, di mana Sarawak mendapat kebebasan daripada pemerintahan British,  tidak ditunaikan sepenuhnya, kata pengasas kumpulan itu Peter John Jaban.

"Ia seperti perkahwinan yang buruk, di mana isteri didera berulang-ulang kali. Walaupun begitu, kita masih meraikan ulang tahun perkahwinan. Itulah yang dirasakan oleh kebanyakan daripada kami hari ini, "kata Jaban kepada BeritaBenar.

Sementara itu di Sabah, Ketua Menterinya Musa Aman berkata dalam perutusan Hari Malaysia bahawa rakyat Sabah tidak harus membenarkan diri mereka terpengaruh dengan mereka yang menyemai perpecahan di antara negeri itu dan Semenanjung Malaysia.

"Kita tidak boleh tunduk kepada rancangan mereka," katanya.

BN kekal berkuasa

Barisan Nasional, yang mengetuai kerajaan Malaysia yang memerintah rantau itu selama beberapa dekad, kekal menguasai Sarawak pada Mei apabila ia memenangi 72 daripada 82 kerusi dalam pilihan raya Dewan Undangan negeri.  Adenan Satem memenangi pilihan raya pertamanya sebagai Ketua Menteri.

Adenan menggantikan Abdul Taib Mahmud dua tahun lalu apabila Taib dilantik menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak walaupun dibelenggui dakwaan rasuah sepanjang lebih 33 tahun menjadi ketua menteri. Selain itu, sebuah jawatankuasa Senat Australia sedang menyiasat pertuduhan wang haram terhadap keluarga Taib berhubung urusniaga hartanah dan aset bernilai berjuta-juta dolar  di Australia.

Sejak kemenangan Adenan, Najib sentiasa diminta supaya memberikan Sarawak bayaran royalti yang lebih tinggi bagi sumber minyak dan gas di negeri itu. Adenan menyifatkan rundingan yang diadakan  dengan kerajaan Persekutuan sebagai positif.

Dalam kempennya, Adenan menggesa pengundi untuk memberi mandat yang lebih besar kepadanya supaya beliau boleh "bercakap" kepada Kuala Lumpur bagi mendapatkan semula kuasa yang hilang sejak Sarawak menyertai Malaysia.

"Dalam Perjanjian Malaysia yang kami tandatangani, semua jenis kuasa  diberikan kepada Sarawak, tetapi kini kerajaan Persekutuan hanya ambil, ambil dan ambil," Adenan dipetik sebagai berkata ketika berkempen. "Saya mahu kuasa itu kembali sepertimana pada 1963."

Cuti umum diisytiharkan pada 2010

Najib mengisytiharkan Hari Malaysia sebagai hari cuti umum rasmi pada 2010 selepas Parlimen pada tahun sebelumnya membahaskan  tarikh sebenar kemerdekaan Malaysia.

Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan daripada Britain pada 31 Ogos 1957. Sarawak dan Sabah bersama-sama dengan Singapura menyertai persekutuan itu untuk membentuk Malaysia pada 1963 - tetapi Singapura mengisytiharkan kemerdekaannya dua tahun kemudian.

Rancangan mengisytiharkan negara Malaysia secara rasmi pada 31 Ogos 1963, terpaksa ditangguhkan ke 16 Sept kerana tentangan dari negara jiran, Indonesia dan Filipina.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Jemut Masing berkata semua rakyat Malaysia perlu memuliakan  dan menghormati 16 Sept sebagai tarikh sebenar Malaysia ditubuhkan sebagai sebuah negara.

"Ia penting dan signifikan serta perlu diajar di sekolah-sekolah supaya generasi muda tahu tentang sejarah negara mereka," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.