Bekas CEO Anak Syarikat Tabung Haji Didakwa Pecah Amanah RM2.57 Juta

Haireez Azeem Azizi
2017.01.26
Kuala Lumpur
170126-my-thhe-620.jpg Nur Badli dibawa ke Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur untuk menghadapi lima tuduhan pecah amanah melibatkan RM2.57 juta, 26 Jan, 2017.
[Ihsan SPRM]

Bekas ketua pegawai eksekutif anak syarikat Tabung Haji, TH Heavy Engineering Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis atas lima pertuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM2.57 juta pada tahun 2013.

Nor Badli Munawir Mohamad Alias Latfi, 51, yang berpangkat ‘Datuk” mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Nor Badli, 51 dituduh melakukan pecah amanah melibatkan lima keping cek Maybank berjumlah RM400,000, RM570,000, RM430,000, RM600,000 dan RM575,800. Jumlah keseluruhan cek tersebut adalah RM2,575,800.

Kesemua cek yang dikeluarkan pada 2013 bertarikh 30 April, 9 Sept , 30 Okt dan dua cek bertarikh 26 Jun.

Nor Badli didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Pejabat THHE Fabricators Sdn Bhd, Tingkat 23, Tower B, Menara UOA Bangsar, No 5, Jalan Bangsar Utama 1, Kuala Lumpur antara April dan Oktober 2013.

Nur Badli sebelum ini, pernah ditahan bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada November lepas, didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun atau maksimum 20 tahun dan dengan sebat serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Madihah telah menetapkan 15 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes.

Semasa prosiding mahkamah pada Khamis, Timbalan Pendakwa Raya SPRM S. Thangavelu  memohon kepada mahkamah agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta dikenakan wang jaminan berjumlah RM2.5 juta untuk kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, Peguam Nor Badli, Kitson Foong meminta agar jaminan itu dikurangkan kepada RM200,000 untuk kesemua pertuduhan kerana tertuduh mempunyai anak yang ramai.

Hakim Madihah membenarkan tertuduh diikat jamin RM400,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Menurut kenyataan SPRM pada Khamis, Nor Badli telah ditahan reman  selama tujuh hari oleh suruhanjaya itu pada 15 November lalu selepas dipercayai terlibat dalam kes penyalahgunaan kuasa dan menerima wang suapan.

THHE adalah salah sebuah daripada syarikat pelaburan Tabung Haji, yang tersenarai di Bursa Malaysia, dengan mempunyai lembaga pengarah dan struktur tadbir urus sendiri, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Tabung Haji pada 26 November lepas.

Difahamkan syarikat berkenaan telah dianugerahkan kontrak pembinaan kapal-kapal peronda pesisir pantai sekitar RM700 juta secara rundingan terus.

Awal bulan ini, agensi pencegahan rasuah Malaysia itu telah menahan seorang ketua setiausaha [KSU] sebuah kementerian selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan kuasa, jawatan dan kedudukan untuk menerima rasuah.

KSU berusia  59 tahun yang bergelar ‘Datuk’ itu ditahan bersama dua anak lelakinya yang berusia 29 dan 34 tahun. Agensi tersebut juga merampas wang tunai dan jongkong emas bernilai lebih RM5 juta dari rumah KSU berkenaan.

Agensi itu juga mendakwa seorang bekas pengarah urusan sebuah agensi kerajaan, yang memberikan kemudahan kepada golongan bumiputera, kerana menerima rasuah berjumlah RM36,000 pada 2015, baru-baru ini.

Bekas Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Tekun Nasional, Abdul Rahim Hassan didakwa dengan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada sebuah syarikat pengutip hutang yang sah, Pasadana Sdn. Bhd., di Mahkamah Seksyen Shah Alam

Pada Ogos lepas, Dzulkifli Ahmad, yang mengetuai pasukan penguatkuasaan pemulihan pendapatan negara, Jabatan Peguam Negara, telah dilantik menggantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamed.

Dalam satu temubual eksklusif bersama agensi berita nasional Bernama, beberapa bulan lepas, Dzulkifli berkata fokus utamanya adalah memastikan perkhidmatan awam bersih daripada gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

"Kita tidak mahu perkhidmatan awam dicemari dengan perbuatan rasuah dan ada pegawai kanan yang dilihat berkehidupan mewah melebihi pendapatannya serta mengumpul harta melalui perbuatan jenayah rasuah,” katanya dalam laporan itu.

Indeks Persepsi Rasuah

Malaysia pada Rabu telah turun ke tangga 55 daripada 176 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2016 dengan mendapat skor 49 daripada 100, menurut Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M) Akhbar Satar ketika mengumumkan indeks.

“Pada 2015, Malaysia menduduki tangga ke-54 dengan skor 50 daripada 100, manakala sembilan negara baru dalam CPI 2016 juga telah menyumbang kepada penurunan Malaysia ke tangga lebih rendah bagi 2016,” tambah beliau.

Akhbar berkata penurunan kedudukan Malaysia di dalam indeks tersebut perlulah diberikan perhatian segera dan beliau mencadangkan supaya pemimpin Malaysia menonjolkan sistem yang bersih dan efektif

Malaysia merupakan tiga negara teratas di kalangan negara Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), di bawah Singapura yang menduduki tempat ke-7 dan Brunei yang menduduki tempat ke 41.

Skor dan kedudukan CPI 2016 itu ditentukan menerusi tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara berdasarkan skala ‘kosong’ (dianggap paling banyak kejadian rasuah) kepada 100 (paling bersih).




Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.