Polis: Pemandu Bekas Peguam Negara Ditembak Tiada Kaitan Dengan 1MDB
2017.09.06
Kuala Lumpur

Pihak berkuasa Malaysia pada Rabu berkata kes pemandu bekas peguam negara, Abdul Gani Patail, ditembak tidak mempunyai kaitan dengan tindakan beliau membuka siasatan awal terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dua lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal telah menembak pemandu Abdul Gani di kakinya ketika dia hendak meninggalkan rumahnya di Kuala Lumpur pada 29 Ogos, kata polis Malaysia. Mangsa itu segera dibawa ke hospital dan dia dilaporkan dalam keadaan stabil, kata para pegawai.
Pada Rabu, Ketua Polis Negara baru negara itu, Mohamad Fuzi Harun, memberitahu BeritaBenar bahawa kes pemandu itu ditembak tidak mempunyai kaitan dengan Abdul Gani, yang dipecat daripada jawatannya sebagai peguam negara pada Julai 2015 ketika beliau memulakan siasatannya terhadap dakwaan bahawa pegawai kerajaan menerima wang daripada 1MDB.
"Setahu saya, tembakan itu tidak ada kaitan dengan 1MDB," kata Fuzi.
Fuzi membuat kenyataan itu ketika Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada Rabu memberitahu bahawa beberapa saksi yang berpotensi dalam kes berbilion ringgit yang didakwa diselewengkan daripada dana negara Malaysia, telah menghubungi pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) untuk menyuarakan rasa takut mereka tentang kemungkinan adanya tindakan balas.
Dalam dokumen yang difailkan di Mahkamah Daerah AS di Los Angeles, ejen khas FBI Robert Heuchling, menggesa mahkamah supaya melindungi identiti pemberi maklumatnya dalam siasatan 1MDB.
"Beberapa individu, yang memberikan maklumat kepada kerajaan, telah menyuarakan kebimbangan mendalam berhubung dengan keselamatan atau adanya tindakan balas jika identiti saksi-saksi tertentu, terutamanya yang berada di negara-negara asing tertentu, didedahkan secara umum," kata Heuchling.
"Mereka juga menyuarakan kebimbangan berhubung keselamatan diri mereka jika hubungan mereka dengan Amerika Syarikat diketahui," katanya.
Heuchling memetik beberapa laporan media termasuk kes pemandu bekas peguam negara ditembak untuk membuktikan "tahap keseriusan tentang rasa bimbang mengenai keselamatan itu."
Jabatan Kehakiman AS bulan lepas menyatakan ia telah melancarkan satu siasatan jenayah berhubung 1MDB. Ia telah meminta hakim untuk mengetepikan tindakan undang-undang sivil bagi mendapatkan kembali asset bernilai lebih $1 bilion di Amerika Syarikat, Switzerland dan United Kingdom.
"Mengemukakan apa-apa maklumat saksi yang dikenal pasti boleh menyebabkan rasa takut saksi atau menjejaskan keselamatan saksi – ia kebimbangan yang sahih dalam kes ini, memandangkan akhbar melaporkan kemungkinan adanya tindakan balas atau tindakan ancaman yang mungkin dikaitkan dengan siasatan 1MDB," kata Heuchling.
Ejen FBI itu juga berkata, Khairuddin Abu Hassan, seorang pemimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, telah ditahan pada 1 Sept 2015 oleh pihak berkuasa Malaysia selepas beliau mengumumkan hasrat ke New York untuk memberikan maklumat mengenai 1MDB kepada para penyiasat.
Pegawai-pegawai Malaysia berkata Khairuddin ditangkap mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma. Beliau didakwa pada 12 Okt 2015 dengan tuduhan cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.
Heuchling juga menyebut tentang laporan bahawa Rafizi Ramli, seorang Ahli Parlimen Malaysia, ditangkap pada 8 April 2016, "kerana beliau disyaki mendedahkan maklumat yang berkaitan dengan 1MDB."
Jabatan Kehakiman itu telah memfailkan 29 kes sivil sejak Julai 2016 kerana ia menyasarkan aset yang didakwa diperoleh oleh pembiaya kewangan Malaysia Low Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low; Riza Aziz, anak lelaki tiri Perdana Menteri Malaysia Najib Razak; dan Khadem al Qubaisi, bekas pengarah urusan sebuah syarikat pelaburan petroleum Abu Dhabi.
Siasatan AS adalah sebahagian daripada usaha di sekurang-kurangnya 12 negara termasuk Singapura, Switzerland dan Luxembourg untuk mengesan berbilion ringgit, yang diperoleh 1MDB untuk projek-projek pembangunan di Malaysia, yang diselewengkan dan dipindahkan melalui pengubahan wang haram.
1MDB, yang sarat dengan hutang, telah dikaitkan dengan dakwaan rasuah yang membelenggui Perdana Menteri Najib Razak, yang sehingga tahun lepas merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
Najib menafikan sebarang salah laku.