AS Mulakan Siasatan Jenayah Terhadap Dana 1MDB

Roni Toldanes
2017.08.11
Washington DC
170811-MY-rally-1000.jpg Aktivis pelajar berarak semasa protes berhubung skandal kewangan yang melibatkan dana kerajaan 1MDB, di Kuala Lumpur, 27 Ogos 2016.
[AFP]

Amerika Syarikat telah melancarkan satu siasatan jenayah terhadap berbilion dolar yang didakwa dicuri daripada dana pelaburan negara Malaysia, dan telah memohon sebuah mahkamah untuk menangguh saman sivil yang difailkan sejak setahun lepas, bagi melindungi keterangan, saksi dan sasaran penyiasatan itu,  menurut beberapa dokumen mahkamah.

Jabatan Kehakiman AS memfailkan 29 kes sivil sejak Julai 2016 dalam usaha merampas aset-aset yang dibeli melalui institusi kewangan AS dalam cubaan mengubah wang yang dikeluarkan daripada dana milik kerajaan Malaysia iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB ).

Tetapi, kini ia berusaha untuk menangguhkan dahulu saman-saman berkenaan, demikin menurut dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Daerah AS di Los Angeles dan diperoleh BeritaBenar pada Jumaat.

"Amerika Syarikat membuat permohonan ini dengan alasan prosiding kes ini berkemungkinan memberi kesan terhadap kemampuan kerajaan untuk melakukan siasatan jenayah persekutuan yang berkaitan," kata dokumen itu.

Dokumen-dokumen berkenaan mendedahkan rancangan kerajaan untuk memperluaskan siasatannya, ketika peguam-peguam AS menggesa seorang hakim untuk membekukan prosiding sivil itu dengan menjelaskan bahawa maklumat yang dinyatakan dalam kes-kes sivil itu mungkin mendedahkan sasaran yang berpotensi dalam siasatan jenayah itu.

"Pendedahan sedemikian boleh mengakibatkan kemusnahan bukti, kehilangan subjek dan sasaran yang berpotensi, atau mengenal pasti dan menakut-nakutkan saksi berpotensi," menurut kenyataan agen khas FBI yang terkandung di dalam dokumen-dokumen mahkamah itu.

Dokumen-dokumen itu, yang difailkan pada Khamis, mendedahkan bahawa pegawai kehakiman AS telah membuka satu siasatan jenayah terhadap 1MDB sebelum mereka menyerahkan 29 saman undang-undang yang berkaitan.

Pada Jumaat, pegawai-pegawai 1MDB di Kuala Lumpur tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sebagai reaksi kepada laporan mengenai siasatan jenayah Amerika Syarikat itu, dan Menteri Kewangan Kedua Malaysia Johari Abdul Ghani tidak segera memberi respons kepada permintaan mendapatkan komen daripada BeritaBenar.

'Ini bukan perkara baru': Pegawai kerajaan

Semasa sidang berita bagi mengumumkan pemfailan mengenai perampasan sivil pada Julai tahun lepas, Peguam Negara AS Loretta Lynch berkata "pegawai rasuah dan rakan-rakan mereka memindahkan wang menggunakan beberapa transaksi rumit yang melibatkan syarikat-syarikat dan akaun bank lohong di seluruh dunia."

Beliau tidak menamakan pegawai-pegawai berkenaan tetapi saman undang-undang itu menyatakan bahawa AS$681 juta daripada 1MDB telah dipindahkan ke akaun bank "Pegawai Malaysia 1", dengan sumber-sumber akhbar mengenal pastinya sebagai Perdana Menteri Najib Razak, yang mengasaskan dana itu pada 2009.

1MDB kendalian negara itu yang dibebani hutang adalah sasaran siasatan pengubahan wang di sekurang-kurangnya 12 negara, dan dikaitkan dengan tuduhan rasuah yang membelenggui Najib, yang menafikan sebarang salah laku.

Eric See-To, timbalan pengarah komunikasi strategik Barisan Nasional (BN), gabungan parti-parti pemerintah negara itu, pada Jumaat mengecam laporan berhubung siasatan jenayah itu.

"Ini bukan perkara baru kerana sejak lebih baru setahun lalu, terdapat laporan berita berkala tentang adanya dakwaan jenayah - tetapi sehingga hari ini, tiada tuduhan jenayah yang difailkan," katanya kepada laman web berita Free Malaysia Today.

"Saya juga mendapati bahawa Jabatan Kehakiman AS telah meminta penggantungan tanpa tempoh tetap bagi saman sivil itu, yang nampaknya luar biasa kerana lazimnya ada had masa untuk permintaan tersebut," katanya. "Biarlah mahkamah dan individu yang terlibat membuktikan sama ada mereka bersalah atau tidak."

Pada Jumaat juga, Lim Kit Siang, pemimpin pembangkang Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkata, "pelbagai perkembangan global skandal 1MDB, yang menjebakkan Malaysia dalam kleptokrasi global, akan tiba ke penghujungnya dan ia tidak mungkin membolehkan kerajaan Najib untuk terus berpura-pura dalam negara dan di peringkat antarabangsa seolah-olah skandal 1MDB tidak wujud. "

Dalam permohonan mahkamah minggu ini, Jabatan Kehakiman mendakwa bahawa di antara 2009 dan 2004, "pelbagai individu, termasuk pegawai awam dan rakan-rakan mereka, telah bersekongkol untuk mengalihkan berbilion-bilion dolar daripada 1MDB melalui pelbagai cara."

'Kononnya untuk melabur'

Dokumen-dokumen tersebut mencatatkan satu rangkaian pengalihan dana daripada IMDB bermula pada September 2009, sejurus selepas penubuhan 1MDB.

Di antara tahun 2009 dan 2011, kononnya untuk melabur dalam usahasama  1MDB dan PetroSaudi International, sebuah syarikat pengekstrakan mineral swasta Arab Saudi, pegawai-pegawai 1MDB dan lain-lain mengatur pemindahan lebih AS$1 bilion daripada 1MDB ke akaun bank Swiss yang dibuka atas nama Good Star Limited, menurut dokumen berkenaan.

“Akaun Good Star tidak dimiliki oleh PetroSaudi atau usahasama itu, tetapi oleh Low Taek Jho (alias Jho Low), seorang rakyat Malaysia yang tidak mempunyai kedudukan rasmi dalam 1MDB tetapi terlibat dalam mewujudkannya  dan menjalankan kawalan yang signifikan terhadap urusannya , " kata dokumen itu.

Dokumen-dokumen tersebut cuba menjelaskan tentang rumitnya cara Low didakwa mengubah lebih AS$400 juta dana yang disalahgunakan daripada 1MDB menerusi akaun Good Star ke Amerika Syarikat, dan membeli beberapa aset yang mahu dirampas oleh Amerika Syarikat. Ini termasuk L'Ermitage Hotel di Beverly Hills yang dibeli dengan harga lebih AS$44 juta, sebuah hartanah di Beverly Hills bernilai AS$17 juta dan EMI Music Publishing yang dibeli lebih AS$106 juta.

Pengambilalihan itu, yang berlaku dalam empat fasa, membabitkan hartanah di New York dan London serta jet yang dibeli dengan harga AS$35 juta, kata dokumen berkenaan.

Pada 2012, pegawai-pegawai 1MDB dan lain-lain menyalahgunakan dan mengalihkan kira-kira AS$1.4 bilion melalui pemindahan kawat ke bank Switzerland milik sebuah entiti British Virgin Islands yang dikenali sebagai Aabar Investments PJS Limited. Tetapi, akaun itu digunakan untuk menyeleweng hasil jualan bon pada 2012 dan dana itu kemudian digunakan untuk membiayai atau memperoleh beberapa aset, termasuk kepentingan  dalam tiga filem  termasuk "Dumb and Dumber To [IV1]."

Turut terkandung dalam saman undang-undang pusingan kedua itu ialah berlian berbentuk hati bernilai AS$1.3 juta dan loket berlian berharga AS$3.8 juta yang Low didakwa memberikannya kepada teman wanitanya ketika itu, Miranda Ker, kata dokumen itu.

Pada 2013, semasa fasa ketiga, pegawai-pegawai 1MDB telah mengalihkan lebih daripada AS$1.26 bilion daripada prinsipal sejumlah AS$3 bilion yang diperoleh 1MDB  melalui penawaran bon ketiga pada  Mac 2013, kata dokumen mahkamah itu. Dana berkenaan digunakan untuk membiayai, antara lain, Park Lane Hotel di New York sebanyak AS$218 juta dan karya seni Van Gogh, Claude Monet, Pablo Picasso serta kapal layar mewah.

"Perolehan daripada setiap empat fasa perlakuan jenayah itu telah diubah melalui siri transaksi yang rumit termasuk melalui akaun bank di Singapura, Switzerland, Luxembourg, dan Amerika Syarikat," kata dokumen itu.

"Penggunaan sistem kewangan AS adalah ciri penting bagi kedua-dua pengalihan dana 1MDB dan hasil yang diperoleh dengan cara haram itu telah digerakkan ke seluruh dunia," kata dokumen berkenaan.

Ray Sherman di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.