MB Selangor Fail Semakan Kehakiman Terhadap Ketua Polis Negara
2017.08.14
Kuala Lumpur

Menteri Besar Selangor yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali memfailkan semakan kehakiman di sebuah mahkamah di Kuala Lumpur terhadap Ketua Polis Negara bagi memaksa pihak berkuasa menahan dan mengekstradiksi pakar kewangan kontroversial Low Taek Jho atau Jho Low ke Malaysia.
Semakan itu yang difailkan oleh Mohamed Azmin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menamakan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar sebagai defendan dengan memintanya supaya membawa Jho Low ke mahkamah majistret di negara itu bagi menghadapi tuduhan jenayah di bawah Seksyen 409 dan 420 Kanun Keseksaan, berhubung skandal kewangan dana milik kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“KPN bertanggungjawab menyiasat seorang suspek yang sudah melakukan jenayah.
“Ini bukan isu peribadi terhadap KPN, tetapi sebagai rakyat Malaysia, saya ingin mengingatkan beliau ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bagi memastikan kegiatan jenayah di dalam atau luar negara membabitkan rakyat Malaysia mesti dibawa ke muka pengadilan,” katanya kepada media selepas memfailkan semakan kehakiman itu pada Isnin.
Tambahnya, tindakan itu diambil supaya Khalid menjalankan tugas seperti termaktub di bawah Akta Polis selepas pihaknya memberi tempoh notis yang cukup kepada Khalid untuk berbuat demikian.
Pada 2 Ogos lepas, Ahli Parlimen Gombak itu memfailkan notis menerusi peguamnya, Latheefa Koya yang memberi tempoh 14 hari kepada Khalid dari tarikh notis (1 Ogos 2017) untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap Jho Low dengan tindakan undang-undang akan diambil jika beliau gagal berbuat demikian.
Dana pelaburan 1MDB yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia Najib Razak telah disiasat di sekurang-kurangnya enam buah negara. Najib yang mempengerusikan lembaga penasihat dana pelaburan itu telah menafikan sebarang salah laku sejak akhbar Wall Street Journal melaporkan mengenainya pada Julai 2015.
Hampir AS$700 juta wang 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri itu menjelang pilihanraya umum Malaysia pada 2013.
Minggu lepas, Amerika Syarikat telah melancarkan satu siasatan jenayah terhadap berbilion dolar yang didakwa dicuri daripada dana pelaburan negara Malaysia itu dengan memohon sebuah mahkamah untuk menangguh saman sivil yang difailkan sejak setahun lepas, bagi melindungi keterangan, saksi dan sasaran penyiasatan itu, menurut beberapa dokumen mahkamah.
Jabatan Kehakiman AS memfailkan 29 kes sivil sejak Julai 2016 dalam usaha merampas aset-aset yang dibeli melalui institusi kewangan AS dalam cubaan mengubah wang yang dikeluarkan daripada dana milik kerajaan Malaysia itu.
Tetapi, kini ia berusaha untuk menangguhkan dahulu saman-saman berkenaan, demikin menurut dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Daerah AS di Los Angeles dan diperoleh BeritaBenar pada Jumaat.
Dokumen yang difailkan pada Khamis, mendedahkan bahawa pegawai kehakiman AS telah membuka satu siasatan jenayah terhadap 1MDB sebelum mereka menyerahkan 29 saman undang-undang yang berkaitan.
Sementara itu, di negara jiran Singapura pula, dua buah bank telah ditutup dan lapan individu lain didakwa di mahkamah dan dikenakan hukuman penjara dari dua minggu hingga 54 bulan penjara berkaitan transaksi kewangan berkaitan 1MDB, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS).
Bagaimapun tiada sebarang pendakwaan diambil di Malaysia, terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam skandal 1MDB, yang turut menjadi tumpuan pihak berkuasa beberapa buah negara lain seperti Singapura, Switzerland dan juga Amerika Syarikat.
Tidak akan layan
Khalid baru-baru ini berkata, beliau tidak akan melayan notis Azmin kerana siasatan mengenai 1MDB masih berjalan dan pihak polis mahu memberi fokus kepada siasatan itu.
“Kes siasatan 1MDB ini masih lagi berjalan. Jadi, saya tidak mahu respon terhadap tuntutan itu.
“Jadi ambillah tindakan, saya tunggu,” katanya pada sidang media pada Khamis lepas.
1MDB kendalian Malaysia dibebani hutang adalah sasaran siasatan pengubahan wang di sekurang-kurangnya 12 negara, dan dikaitkan dengan tuduhan rasuah yang membelenggui Najib, yang menafikan sebarang salah laku.
Dalam permohonan mahkamah minggu ini, Jabatan Kehakiman AS mendakwa bahawa di antara 2009 dan 2004, "pelbagai individu, termasuk pegawai awam dan rakan-rakan mereka, telah bersekongkol untuk mengalihkan berbilion-bilion dolar daripada 1MDB melalui pelbagai cara."
Nama Jho Low disebut
Nama Jho Low juga disebut dalam dokumen tersebut yang menyatakan satu rangkaian pengalihan dana daripada 1MDB bermula pada September 2009, sejurus selepas penubuhan 1MDB.
Di antara tahun 2009 dan 2011, kononnya untuk melabur dalam usahasama 1MDB dan PetroSaudi International, sebuah syarikat pengekstrakan mineral swasta Arab Saudi, pegawai-pegawai 1MDB dan lain-lain mengatur pemindahan lebih AS$1 bilion daripada 1MDB ke akaun bank Swiss yang dibuka atas nama Good Star Limited, menurut dokumen berkenaan.
“Akaun Good Star tidak dimiliki oleh PetroSaudi atau usahasama itu, tetapi oleh Low Taek Jho (alias Jho Low), seorang rakyat Malaysia yang tidak mempunyai kedudukan rasmi dalam 1MDB tetapi terlibat dalam mewujudkannya dan menjalankan kawalan yang signifikan terhadap urusannya,” kata dokumen itu.
Dokumen-dokumen tersebut cuba menjelaskan tentang rumitnya cara Low didakwa mengubah lebih AS$400 juta dana yang disalahgunakan daripada 1MDB menerusi akaun Good Star ke Amerika Syarikat, dan membeli beberapa aset yang akan dirampas oleh Amerika Syarikat. Ini termasuk L'Ermitage Hotel di Beverly Hills yang dibeli dengan harga lebih AS$44 juta, sebuah hartanah di Beverly Hills bernilai AS$17 juta dan EMI Music Publishing yang dibeli lebih AS$106 juta.
Pengambilalihan itu, yang berlaku dalam empat fasa, membabitkan hartanah di New York dan London serta jet yang dibeli dengan harga AS$35 juta, kata dokumen berkenaan.