1MDB, SPRM Sahkan Siasat Individu Paling Berkuasa di Malaysia
2015.10.13

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata agensi itu sedang menyiasat 'individu paling berkuasa' di dalam negara berhubung kes syarikat dana kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berikutan pembayaran berjuta dolar ke sebuah akaun di bawah nama Perdana Menteri Najib Razak.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM Zakaria Jaffar membuat pendedahan itu semasa ucapan persaraanya di Kuala Lumpur pada Isnin.
Beliau,bagaimanapun,tidak mendedahkan siapakah ‘individu paling berkuasa’ itu. Pada Julai lepas, The Wall Street Journal melaporkan bahawa sebanyak AS$700 juta dolar dari 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun yang didakwa dimiliki oleh Najib, sebelum pilihan raya umum Malaysia pada Mei 2013.
Najib menafikan mengambil sebarang wang untuk kepentingan peribadi dan berkata dakwaan rasuah adalah sebahagian daripada kempen berniat jahat untuk memaksa beliau melepaskan jawatannya.
SPRM, yang menjalankan siasatan mengenai dakwaan wang beratus-ratus juta yang dikatakan telah didepositkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri itu, mendapati wang tersebut adalah sumbangan daripada penderma dari Timur Tengah.
"Kita berhadapan dengan satu siasatan yang melibatkan orang paling berkuasa dalam negara dan pegawai yang terlibat dalam siasatan kes ini harus diberi sokongan dan suntikan semangat kepahlawanan untuk berjuang di medan yang paling sukar ini,” kata Zakaria yang telah berkhidmat selama 33 tahun dengan agensi rasuah itu.
Beliau turut mengakui agensi itu sedang melalui cabaran yang paling getir dalam sejarahnya sejak mula beroperasi pada 1967 sebagai Badan Pencegah Rasuah.
Zakaria turut mengesyorkan kepada Peguam Negara (AG) supaya membentuk sebuah panel bebas berkenaan siasatan kes SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion untuk mempertimbangkan hasil siasatan yang bakal dikemukakan oleh SPRM nanti.
SRC International Sdn. Bhd., adalah sebuah syarikat tenaga yang asalnya dikuasai oleh 1MDB tetapi telah dipindahkan kepada Kementerian Kewangan pada 2012,
Sementara itu Peguam Negara Mohamed Apandi Ali mempertahankan keputusan membersihkan 1MDB dari sebarang salah laku jenayah seperti yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atas kesalahan membuat pengisytiharan tidak tepat berkaitan dengan pelaburan di luar negara yang bernilai $1.83 billion.
Katanya, BNM tidak mendapatkan maklumat yang cukup dari firma tersebut untuk menunjukkan ia melanggar undang-undang selain tidak mengarahkan Deutsche Bank Malaysia Bhd dalam menasihati 1MDB untuk kembali kepada bank pusat itu bagi mengkaji semula kebenaran yang diberikan untuk pengiriman wang itu.
"Ini jelas menunjukkan tidak ada maklumat lanjut yang diminta oleh Bank Negara pada masa tersebut dan 1MDB, dengan cara yang sah, memberikan maklumat yang diperlukan bagi maksud pengiriman wang," katanya.
Merujuk kepada tiga kebenaran yang diperolehi 1MDB daripada BNM untuk membuat kiriman wang pada September 29, 2009, 6 September 2010 dan 20 Mei 2011, Apandi berkata borang berkaitan bagi tujuan kiriman wang dalam kes ini tidak memerlukan pemohon menyatakan nombor akaun bank dan benefisiari.
"Jika Bank Negara tidak meminta maklumat tertentu atau khusus, bagaimana 1MDB dipersalahkan kerana ia sudah mengisi borang seperti yang diperlukan dan memberi maklum balas kepada pertanyaan yang dibuat," jelasnya.
Khamis lalu, Apandi mengumumkan keputusan Jabatan Peguam Negara untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap 1MDB yang membuat pendedahan tidak tepat kepada bank pusat bagi mendapatkan kebenaran pelaburan.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat walaupun bank pusat membuat rayuan untuk semakan semula, kerana tidak wujud sebarang bukti tambahan.
Pada keesokannya, Bank Negara mendedahkan yang ia membatalkan 3 kebenaran yang diberikan kepada 1MDB antara 2009 dan 2011 kerana membuat pengisytiharan yang tidak tepat.
Integriti kewangan
Sementara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz menegaskan tindakan ke atas firma 1MDB yang sarat dengan hutang mencecah RM42 billion adalah penting untuk memelihara integriti sistem kewangan, sambil menegaskan pemulihan situasi politik negara itu adalah penting untuk membantu kestabilan ringgit.
Dalam temubual dengan Bloomberg, Zeti berkata, terpulang kepada Jabatan Peguam Negara untuk menilai gesaan bank pusat itu untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas 1MDB tetapi BNM percaya adalah sangat mustahak untuk patuh kepada peraturan dan undang-undang sedia ada bagi melindungi integriti sistem kewangan.
Menurut Zeti, tumpuan rakyat telah terganggu kerana negara sedang melalui perkembangan politik semasa.
"Semua pihak mahu supaya isu-isu dalaman ini diselesaikan secepat mungkin, kerana apabila ia sedang dan dapat diselesaikan, kita menjangka matawang ringgit akan semakin pulih," katanya dalam temubual di Lima, Peru pada Ahad.
Bulan lepas, The Wall Street Journal melaporkan bahawa Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat telah melancarkan satu siasatan tentang pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana 1MDB, namun skop siasatannya tidak diketahui.
Pada 3 Okt lalu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar menafikan dakwaan kononnya FBI Amerika Syarikat telah memulakan siasatan ke atas kes 1MDB dan juga Perdana Menteri.
Sementara itu, Khalid mengesahkan siasatan pihaknya ke atas 1MDB masih berterusan dan Pasukan Khas yang menyiasat dakwaan penyelewangan firma itu masih wujud.
"Polis pernah memberitahu dulu, kita memerlukan laporan Jabatan Audit Negara kalau tidak siasatan kita tidak lengkap, masalah kita perlu kenalpasti kesalahan yang dilakukan. Untuk jalankan siasatan perlu tunggu jabatan tersebut selesaikan audit mereka dan baru boleh selesaikan siasatan,"’ katanya pada Selasa.
Tambah beliau, siasatan polis tidak akan berhenti terhadap 1MDB malahan akan diteruskan dari semua sudut.
Beliau juga memberitahu, Pasukan Penyiasat Khas 1MDB yang melibatkan Polis, Bank Negara Malaysia dan Pejabat Peguam Negara masih lagi berhubung dan tidak pernah dibubarkan.
Dalam pada itu, Zakaria mencadangkan supaya panel itu dianggotai oleh seorang bekas Peguam Negara, seorang bekas hakim dan seorang wakil dari Majlis Peguam untuk mengkaji hasil siasatan kes tersebut, bagi memastikan rakyat mempunyai keyakinan yang cukup tinggi dengan proses siasatan yang dijalankan.
"Berdasarkan kepada tradisi, siasatan tetap perlu dijalankan meskipun kita difahamkan ada saksi hilang, lari atau dilarikan," katanya.
Disebalik gesaan tersebut, dua individu yang bertanggungjawab membuat laporan terhadap syarikat pelaburan kerajaan itu telah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.
Bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan dan peguam, Matthias Chang didakwa di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di antara 26 Jun dan 26 Ogos lalu di Pejabat Ketua Polis Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Paris, Perancis; Balai Polis Charing Cross, London; Pejabat Peguam Negara Switzerland, Bern; Balai Polis Waichan, Hong Kong; dan Ibu Pejabat Polis Cantoment, Singapura.
Sebelum itu, kedua-dua mereka telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), langkah yang dikritik hebat oleh pengkritik pentadbiran Najib, khususnya bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamed.
Dalam menjawab kritikan terhadap pertuduhan ke atas Khairuddin, 53, dan Matthias, 65, Mohamed Apandi menjelaskan bahawa kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan dan bukannya di bawah Sosma, sambil mendakwa ia tidak terhad kepada keganasan atau pengganas saja.
"Jabatan Peguam Negara menjelaskan bahawa Sosma adalah undang-undang prosedur yang menyediakan langkah-langkah khas untuk membantu siasatan bagi pendakwaan 'kesalahan keselamatan'.
"Definisi 'kesalahan keselamatan' adalah jelas menunjukkan bahawa Sosma tidak terhad kepada keganasan atau pengganas," kata Apandi dalam satu sidang akhbar khas di Putrajaya pada Selasa.
Apandi berkata, Sosma sebagai undang-undang prosedur membenarkan tindakan khas diambil bagi membantu siasatan dan pendakwaan yang membabitkan kesalahan keselamatan.