Arkitek Dan Jurutera Mengaku Bersalah Beri Sokongan Kepada IS
2015.09.04

Dua pemuda berusia 27 tahun, seorang arkitek dan seorang lagi jurutera mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat atas tuduhan cuba memberi sokongan kepada kumpulan militan Negara Islam (IS).
Mohd Syafrien Rasid, seorang arkitek, dan Mohamad Yusoffe Ishak, seorang jurutera, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Kamardin Hashim.
Pendakwaan keatas kedua-duanya dibuat mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 511 kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksima 30 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kaunter Imigresen, Balai Perlepasan Antarabangsa, KLIA, Sepang pada 8.55 pagi, 25 Sept tahun lepas.
Mereka didapati mahu mengambil penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ke Istanbul, Turki dalam cubaan untuk memberi sokongan kepada IS dengan memasuki Syria melalui Istanbul bagi manfaat kumpulan itu.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon kes itu ditangguhkan sehingga 9 Sept ini, untuk jatuh hukum bagi membolehkan pihaknya menyediakan fakta kes selain memberi masa kepada pembelaan menyediakan rayuan bagi meringankan hukuman terhadap anak guam mereka.
Permohonan pihak pendakwaan itu tidak dibantah peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Nasrul Hadi yang bertindak bagi pihak Mohamad Yusoffe serta peguam Nor Rabiatul Bahari mewakili Mohd Syafrien.
Mengikut fakta kes, Mohd Syafrien dan Mohamad Yusoffe ditahan bersama-sama dengan seorang peniaga runcit, Rosmadi Che Daud, 42 serta seorang pegawai kredit, Ummi Kalsom Bahak, 25.
Kelima-lima mereka didapati cuba memberi sokongan kepada IS dengan menjadi ahli kepada kumpulan berkenaan dengan cara berlepas ke Syria melalui Istanbul, Turki dengan menaiki pesawat Qatar Airways.
Mereka turut didakwa atas tuduhan pilihan iaitu cuba memberi sokongan kepada IS untuk manfaat kumpulan pengganas itu dengan cara memasuki Syria menggunakan pesawat Qatar Airways dari KLIA melalui Istanbul.
Pada 31 Mac lalu, Hakim Kamardin menjatuhi hukuman penjara dua tahun terhadap Ummi Kalsom setelah wanita itu mengaku bersalah cuba memberi sokongan kepada IS dengan cuba memasuki Syria menggunakan penerbangan AirAsia melalui Brunei-Istanbul di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (KLIA2) untuk berkahwin dengan Aqif Huessin Rahizat, seorang anggota IS.
Pada 30 Jun lepas, Hakim Kamardin turut menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap Murad Halimmuddin, 49, bekas pejuang kumpulan IS di Syria atas tuduhan berpakat mempromosikan suatu perbuatan keganasan di Malaysia dan 18 tahun penjara lagi atas tuduhan kedua iaitu memberi sokongan kepada perbuatan yang sama.
Murad yang merupakan pemimpin kumpulan kerohanian “Fisabilillah” dan bekerja sebagai penjual buah tembikai bernasib baik kerana mahkamah memerintahkannya menjalani hukuman secara serentak bermula dari tarikh beliau ditangkap pada 5 April lalu.
Mahkamah juga memerintahkan anaknya, Abu Daud, 25, menjalani hukuman penjara 12 tahun bermula tarikh yang sama, selepas mengaku bersalah memberi menyokong keganasan.