Ucapan Pengerusi BERSIH Ditapis Penganjur Taiwan
2017.12.18
Kuala Lumpur

BERSIH [Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil] memenangi anugerah “Asia Democracy and Human Rights” dari Taiwan tetapi sebahagian daripada ucapan Pengerusinya yang menyentuh isu skandal kewangan dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad [1MDB] dan Perdana Menteri Najib Razak telah ditapis oleh pihak penganjur.
Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah yang menerima hadiah itu dari Taiwan Foundation for Democracy (TFD), semasa dihubungi BeritaBenar telah mengesahkan bahawa sebahagian daripada ucapannya yang bertajuk “Unfettered corruption” itu tidak dibenar dibacakan oleh pihak penganjur atas sebab ‘kepekaan diplomatik’ [diplomatic sensitivity].
Semasa mengesahkannya, Maria menjawab “Ya,” sambil merujuk kepada soalan sama ada sebahagian daripada ucapannya telah dipotong oleh pihak penganjur.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkaitan dengan perkara itu atau tentang perasaannya apabila dilarang untuk membaca teks ucapan anugerahnya dengan penuh.
Teks ucapan Maria yang diterima oleh pihak media pada Isnin telah menunjukkan bahawa perenggan bertajuk “Korupsi yang tidak boleh dirahsiakan" [Unfettered corruption] berkaitan dengan 1MDB telah digaris dengan pen hitam dan ditulis, “dikeluarkan atas sebab sensitiviti diplomatik.”
Maria yang menerima anugerah itu bagi pihak BERSIH, telah menulis perenggan yang ditapis itu untuk berucap semasa penerimaan anugerah yang berlangsung di Taiwan dan dihadiri oleh Presiden negara berkenaan, Tsai Ing-wen.
Perenggan ditapis
Perenggan yang dikeluarkan dari ucapan Maria itu berkata “Perdana Menteri Najib Razak dan kabinetnya dibelenggui dengan dakwaan rasuah besar. Pada Julai 2016, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendedahkan mengenai pengubahan wang haram yang rumit melalui 1MDB, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan, Malaysia.”
"Lebih daripada AS$3.5 bilion telah disalahgunakan, di mana AS$681 juta telah dipindahkan ke akaun peribadi Najib. Sebahagian daripada dana haram itu digunakan untuk membiayai pilihan raya umum ke-13 yang lalu.
“Bagaimanapun dengan penumpuan kuasa kepada eksekutif, semua siasatan berkaitan dengan 1MDB dengan segera dihentikan berikutan penyingkiran Peguam Negara secara tiba-tiba dan dua lagi badan penyiasatan dilarang meneruskan siasatan. Kes mahkamah 1MDB dijalankan di tujuh buah negara tetapi di Malaysia kes itu ditutup,” terteranya ucapan itu.
BERSIH menerima anugerah berkenaan bersempena dengan sambutan Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa yang dihadiri oleh Tsai Ing-wen, bersama Pengerusi TFD Yayasan Demokrasi Taiwan] dan Su Jia-chyuan, Presiden Institusi Hsu Szu-chien serta beberapa pemimpin masyarakat sivil dari negara-negara lain yang dijemput.
Selain itu, dalam ucapan Maria, Pengerusi BERSIH itu juga telah membangkitkan isu-isu semasa lain seperti kekurangan kebebasan bersuara, serangan terhadap pembela hak asasi manusia, dan penggunaan undang-undang kerajaan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2015 (Sosma).
"Negara ini terlibat dalam penanaman benih ketidakpercayaan terhadap masyarakat madani, melabelkan mereka sebagai anti-Islam, anti-Melayu, dan membenci pembiayaan asing sebagai skim untuk mewujudkan 'revolusi warna' untuk menggulingkan rejim.
"Politik kebencian, tanpa toleransi beragama dan pengecualian, yang menjejaskan kebebasan dan hak asasi manusia, digunakan terhadap pembela hak asasi manusia. Namun, kekebalan terhadap pelaku yang salah tidak ditangani, " katanya dalam ucapan itu.
Walaupun BERSIH telah berjaya menarik perhatian orang awam dan pihak kerajaan sejak beberapa tahun, namun perubahan yang diimpikan masih jauh di masa hadapan.
"Suara rakyat Malaysia keras dan jelas - permusuhan kaum, yang menyebabkan kebencian, sikap tidak bertoleransi, keganasan dan kemiskinan tidak ada tempat di negara kita.
"Panggilan jujur kami: Mereka boleh memenjarakan kami. Mereka boleh mengalahkan kami. Tetapi, mereka tidak boleh memecahkan semangat kami, "katanya.
“Kleptokrasi paling buruk”
Pada Disember 4, Peguam Negara Amerika Syarikat [AS] Jeff Sessions memanggil 1MDB sebagai “kleptokrasi paling buruk.”
Bercakap di Washington semasa Forum Global mengenai Pemulihan Aset, Peguam Negara itu mendedahkan bahawa Amerika Syarikat telah merampas atau menghalang kira-kira AS$3.5 bilion (RM14.2 bilion) yang dikaitkan dengan rasuah, di mana hampir separuh daripada tuntutan saman DOJ adalah terhadap 1MDB dengan hanya satu tindakan penguatkuasaan.
"Para pegawai yang dikatakan terlibat di dalam rasuah dan sekutu mereka dilaporkan menggunakan dana 1MDB untuk perbelanjaan mewah," kata pegawai kanan AS itu.
Tahun lepas, Peguam Negara Malaysia Apandi Ali membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku dan Najib telah menafikan mengambil sebarang wang berkaitan 1MDB untuk kepentingan peribadi. Apandi tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai penyelesaian Isnin itu.
Tiada siapa yang didakwa di mahkamah Malaysia berhubung skandal 1MDB itu, tetapi lapan orang telah dihukum dengan dua bank telah ditutup di negara jiran, Singapura berkaitan isu itu.
Pada bulan Jun, pihak berkuasa AS telah mempergiatkan usaha bagi menyita beberapa aset, termasuk seutas kalung berlian milik isteri Perdana Menteri yang didakwa telah dibeli menggunakan wang yang dicuri daripada dana milik negara Malaysia, demikian menurut saman yang difailkan di sebuah mahkamah di California.
Menerusi saman yang difailkan di Mahkamah Daerah AS di Los Angeles baru-baru ini, Jabatan Keadilan (DOJ) berusaha mendapatkan semula aset bernilai kira-kira AS$540 juta (RM2.3 bilion) yang didakwa telah dicuri oleh ahli perniagaan yang mempunyai kaitan dengan dana 1MDB.
Kira-kira setahun lepas, Amerika Syarikat telah memfailkan saman untuk “merampas dan mendapatkan semula” beberapa aset bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.2 bilion) berkaitan skandal 1MDB yang disifatkannya sebagai satu konspirasi global bagi pengubahan dana yang telah dicuri.
Pegawai Jabatan Keadilan AS berkata sejumlah AS$4.5 bilion (RM19.2 bilion) telah diseleweng daripada 1MDB. Ia tidak menamakan Najib dalam kedua-dua saman namun para pegawai kerajaan Malaysia dan AS sebelum ini telah mengesahkan bahawa “Malaysian Official 1” (Pegawai Malaysia Pertama) yang disebut dalam dokumen mahkamah merujuk kepada Perdana Menteri Najib.