Taiwan hantar semula 3 warga China ke Malaysia
2024.02.02

Tiga warga China yang melarikan diri ke Thailand pada November tahun lepas dan mencari suaka politik di Taiwan baru-baru ini telah dihantar semula ke Malaysia, demikian menurut sumber Radio Free Asia.
Tian Yongde, Wei Yani dan Huang Xingxing adalah pemegang kad pelarian sementara yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Bangkok.
Mereka tiba di Taiwan dengan pesawat dari Kuala Lumpur pada 30 Jan dan enggan menaiki penerbangan lain ke Beijing.
Tian, 53, berkata mereka berharap dibenarkan untuk berada di Taiwan berbanding Thailand sementara menunggu penempatan semula di negara ketiga di mana pihak berkuasa negara itu telah bertindak menghantar pulang beberapa individu yang dikehendaki oleh China beberapa tahun lepas.
Bagaimanapun, Jabatan Imigresen Taiwan telah mengesahkan bahawa ketiga-tiga individu telah dihantar semula ke Malaysia pada Khamis pagi.
“Penumpang asing yang sedang transit di Taiwan sepatutnya meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya berdasarkan jadual asal mereka,” kata pihak jabatan itu kepada Radio Free Asia.
“Sesiapa yang gagal meneruskan perjalanan mereka ke destinasi seterusnya dan tidak memiliki visa atau permit sah untuk memasuki Taiwan akan dihantar semula ke destinasi sebelum itu yang selari dengan amalan penerbangan antarabangsa serta undang-undang sedia ada,” katanya.
Meskipun kerajaan Taiwan dilihat begitu lantang menyokong gerakan prodemokrasi di Hong Kong, rekod pulau itu dalam menawarkan perlindungan sementara kepada individu dikehendaki dan pelarian agak tidak konsisten di tengah-tengah peningkatan desakan bagi mewujudkan undang-undang yang mengawal selia layanan terhadap pelarian.
Kes-kes terdahulu
Chen Siming, individu yang dikehendaki di China, enggan menaiki penerbangan ke republik itu semasa transit di Taiwan pada September namun beliau telah diberikan suaka politik di Kanada dan tiba di Vancouver pada Oktober.
Chen, seorang aktivis lantang yang baru-baru ini menerbitkan sepucuk surat terbuka bagi memperingati insiden pembunuhan beramai-ramai di Dataran Tiananmen pada 1989, topik yang diharamkan di China, telah melarikan diri dari republik itu ke Laos pada Julai sebelum ke Thailand. Bimbang akan ditahan oleh polis Thailand, beliau telah membeli tiket ke Guangzhou melalui laluan Taiwan dan enggan menaiki penerbangan seterusnya.
Ketika ditanya oleh pemberita mengapa Chen dibenarkan ke Kanada manakala ketiga-tiga beranak itu dihantar semula ke negara di mana mereka berlepas sebelum itu, seorang pegawai imigresen berkata ini kerana Chen telah menghubungi pihak kerajaan Kanada untuk memohon suaka sebelum tiba di Taiwan.
Dalam satu lagi kes, Xiao Yuhui dari Guangdong berkata pada awal bulan ini, beliau telah berada di Taiwan selama setahun selepas melarikan diri dengan sebuah bot kecil pada malam hari ke Pulau Kinmen yang dikuasai Taiwan di mana beliau menjalani hukuman penjara tiga bulan bagi kesalahan menyeberangi sempadan secara haram.
Xiao, yang tidak dihantar pulang ke negara asal selepas pembebasannya, berkata beliau kini terkandas di Taiwan tanpa pasport dan tidak boleh bekerja atau meninggalkan negara itu.
“Taiwan tidak memiliki undang-undang berkaitan pelarian atau hubungan diplomatik dengan negara seperti Amerika Syarikat dan Kanada,” katanya sambil menambah beliau hanya dibebaskan untuk menetap di Taiwan kerana kumpulan hak asasi manusia di sana telah menawarkan untuk menjadi penjaminnya.
Xiao mula dikenali sebagai aktivis hak asasi manusia selepas memperjuangkan hak ibu bapa yang memiliki anak kedua dan melanggar dasar perancangan keluarga satu anak yang ditamatkan pada 2015.
Xiao Yuhui, yang kelihatan dalam gambar tidak bertarikh ini, kini terkandas di Taiwan tanpa pasport. (Ihsan Xiao Yuhui)
Xiao memaklumkan RFA bahawa beliau telah membantu keluarga terbabit memfailkan hampir 300 saman pentadbiran terhadap kerajaan dalam usaha mendapatkan status rasmi bagi membantu kesemua kanak-kanak ini.
Xiao telah dimaklumkan bahawa beliau perlu berada di negara ketiga untuk dipertimbang bagi permohonan mendapatkan suaka politik di sana.
“Saya tiada pilihan kecuali meninggalkan Taiwan,” katanya ketika ditemu bual oleh RFA pada 11 Jan lepas.
Zeng Jianyuan, chairman of the overseas-based New School for Democracy, said Xiao is stranded because of the lack of legislation on refugees in Taiwan.
Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa Taiwan agar menangani situasi itu.
“Saya fikir pihak yang berkaitan di Taiwan perlu memahami bahawa kita tidak memberikan sebarang bantuan kepada Xiao Yuhui dan sebilangan kecil pelarian yang datang ke sini,” katanya. “Sebuah negara yang didirikan atas prinsip memperjuangkan hak asasi manusia perlu memikul tanggungjawabnya di peringkat antarabangsa.”
Dituduh membocorkan rahsia
Tian, yang kini kembali ke Malaysia, adalah aktivis hak asasi manusia dan beliau sebelum ini menjadi sukarelawan di laman sesawang 64 Tianwang Rights, yang menyaksikan pengasasnya Huang Qi kini meringkuk dalam penjara kerana “membocorkan rahsia negara,” selain laman sesawang Weiquanwang dan Civil Rights serta Livelihood Watch, kedua-duanya bertanggungjawab mengesan pencabulan hak asasi yang dilakukan oleh Parti Komunis yang memerintah China.
Pihak berkuasa China mula mengawasi Tian pada 2005 ketika beliau menziarahi kediaman bekas Perdana Menteri Zhao Ziyang yang digulingkan daripada kuasa susulan kebangkitan insiden pembunuhan beramai-ramai di Dataran Tiananmen 1898 dan diletakkan dibawah tahanan rumah selama 16 tahun.
Selepas itu, Tian dihalang daripada mencari pendapatan dan sering dipanggil untuk disoal siasat oleh pihak polis kerana menulis artikel atau mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan jalanan dan aktiviti lain.
RFA belum dapat mengesahkan cerita Tian dan rakannya namun mereka telah menghantar imej kad pengenalan yang disediakan untuk mereka oleh agensi pelarian PBB.
“Saya telah ditahan dua kali bagi kesalahan ‘melakukan kegiatan subversi terhadap pemerintah’ pada 2009 dan 2011,” kata Tian. “Kali pertama, saya telah memberikan bahan berkaitan kepada pihak pempetisyen, dan saya telah dikatakan menyimpan rahsia negara secara haram.”
Dua lagi individu iaitu Wei Yani, 53, dan Huang Xingxing, 17, adalah ibu dan anak. Mereka tidak berkaitan dengan Tian dan bertemu beliau ketika mereka tiba di Thailand pada akhir November. Mereka kemudiannya membuat rancangan untuk melakukan perjalanan bersama.
Wei berkata beliau telah dipenjara empat kali di China selama 10 tahun kerana memfailkan petisyen bagi hak asasi untuk diri sendiri dan rakan-rakan. Pihak berkuasa menuduh beliau “sengaja mencari pasal dan melakukan provokasi” serta melakukan kegiatan subversi terhadap pemerintah,” katanya kepada RFA.
Katanya beliau berdepan masalah untuk mencari kerja selepas dibebaskan dari penjara pada Jun selain perlu menghadiri perbicaraan bagi satu kes jenayah.
Penyingkiran Tian dilakukan selepas beliau merakam sebuah video di Lapangan Terbang Taoyuan di Taiwan di mana menurut beliau adalah lebih selamat berbanding di Thailand.
Wartawan China Li Xin dan pejuang hak asasi manusia Tang Zhishun pula masing-masing telah diculik di Thailand dan Myanmar manakala penjual buku di Hong Kong iaitu Gui Minhai telah dilarikan dari rumah percutiannya di Phuket.
Seorang lagi warga China, Wang Jianye, telah dibunuh semasa diekstradisi dari Thailand pada 1995 meskipun mendapat jaminan bahawa beliau tidak akan berdepan hukuman mati.
Pada Julai 2018 pula, pihak berkuasa di bandar Chongqing telah menghumban aktivis hak asasi manusia Dong Guangping dan kartunis politik Jiang Yefei ke dalam penjara selepas mereka dihantar pulang dari Thailand ketika menunggu penempatan semula sebagai pelarian politik, yang telah mencetuskan bantahan di peringkat antarabangsa.