Bapa dan Anak Dipenjara Setahun Sembunyi Maklumat Pengganas

N. Nantha
2018.03.30
Kuala Lumpur
filipina.jpeg Tentera Filipina berdiri bersama senjata di sebuah kem tentera di Jolo, wilayah Sulu, di tengah-tengah persediaan oleh pasukan kerajaan untuk menggiatkan operasi terhadap kumpulan militan Abu Sayyaf, 5 September 2016.
AFP

Sebuah Mahkamah Tinggi di Malaysia pada Jumaat menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara keatas dua keluarga yang berasal dari Indonesia kerana menyembunyikan maklumat mengenai seorang warganegara asing yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Abu Sayyaf dari pihak berkuasa Malaysia.

Ahmad Omar, 53 dan anak lelakinya Jaffar, 27 dijatuhkan hukuman tersebut oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Azman Abdullah setelah kedua-duanya mengaku bersalah pada sebutan semula kes tersebut di mahkamah berkenaan pada Jumaat.

Kegagalan untuk melaporkan sebarang maklumat mengenai pengganas merupakan satu kesalahan mengikut undang-undang di Malaysia yang boleh didakwa dibawah Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Hakim Azman, sebelum menjatuhkan hukuman ke atas kedua-dua tertuduh mengingatkan untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama di masa akan datang.

Abu Sayyaf merupakan kumpulan pengganas tempatan Filipina yang mempunyai hubungan erat dengan pengganas antarabangsa Negara Islam (IS) yang berpengkalan di Syria.

Ahmad dan Jaffar didakwa dengan sengaja menyembunyikan maklumat berkenaan Hajar Abdul Mubin @ Abu Asri yang merupakan anggota kanan kumpulan pengganas Abu Sayyaf.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Persiaran Pangsa Baiduri, Taman Desa Baiduri, Hulu Langat antara 1 Mac 2017 dan 30 Ogos 2017.

Menurut fakta pertuduhan, kedua-dua tertuduh berpengetahuan mengenai aktiviti keganasan Hajar yang pernah menjalani latihan meggunakan senjata api dan juga pernah terlibat dalam peperangan di Filipina.

Hajar, warganegara Filipina memasuki Malaysia pada tahun 2011 dan pernah bekerja dengan Ahmad sebagai buruh binaan. Ahmad dan Jaffar juga tahu mengenai penglibatan Hajar dalam kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang terkenal dengan kegiatan menculik pelancong asing di Filipina dan Sabah tetapi tidak berkongsi maklumat tersebut dengan pihak berkuasa.

Hajar ditahan sehari sebelum Malaysia menyambut kemerdekaan yang ke 60 pada 31 Ogos 2017.

Turut ditahan bersama beliau adalah Abraham Embung, 29 yang juga merupakan warganegara Filipina dan enam lagi dari Sabah yang berketurunan Filipina.

Dalam menjalankan hukuman, hakim berkata alasan bahawa mereka berasal dari satu rumpun bangsa yang sama tidak boleh digunakan untuk melindungi pengganas.

“Yang kamu lindungi adalah pengganas, kalau kita kerjasama lapor (pengganas), sudah tentu aktiviti keganasan dapat dibanteras. Kalau kamu tidak ada kesanggupan untuk melaporkan kepada pihak polis jangan bawa mereka (penjenayah) bekerja dengan kita,” Hakim Azman berkata seperti dilaporkan oleh agensi Berita Nasional Bernama.

Hakim Azman turut memerintah supaya hukuman penjara berlangsung dari tarikh tangkapan berlaku iaitu Ogos 2017.

Ahmad yang sudah berada di Malaysia selama 28 tahun sebelum dijatuhkan hukuman, menitiskan airmata, meminta simpati dari hakim supaya dapat dikurangkan hukuman penjara kerana mengenangkan nasib anak seramai enam orang yang masih di dalam tanggungan beliau.

Timbalan Pendakwa Raya Nurfaida Mohd Rashidee walaubagaimanapun meminta supaya hukuman yang sewajarnya diberikan terhadap Ahmad dan anaknya sebagai satu pengajaran dan lambang keseriusan kes melibatkan pengganas yang semakin ketara di dalam negara.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Hajar dikatakan telah memasuki Malaysia selepas melakukan perjumpaan dengan pengganas yang paling dikehendaki di Malaysia Dr Mahmud Ahmad, Mohd Najib Hussein dan Muhammad Joraimee di Basilan, Filipina.

Mohd Najib dan Muhammad Joraimee telah meninggal dunia dalam pertempuran di Filipina selepas melarikan dari dari Malaysia pada tahun 2014. Manakala nasib bekas pensyarah Universiti Malaya Dr Mahmud masih tidak diketahui selepas terlibat dalam pentempuran dengan tentera Filipina di bandar Marawi, Mindanao.

Ketua Abu Sayyaf Isnilon Hapilon yang bertempur bersama Dr Mahmud telah meninggal dunia. Walaupun pihak berkuasa Filipina mengatakan bahawa Dr Mahmud telah meninggal dunia, tiada bukti kukuh yang dapat menyokong dakwaan itu kerana mayat beliau masih belum dijumpai sehingga hari ini.

Serangan ke atas Marawi di lihat sebagai satu usaha kumpulan pengganas Negara Islam untuk melebarkan sayap organisasi tersebut dalam menjadikan Asia Tenggara sebagai pusat khalifah bagi kumpulan tersebut.

Konflik berdarah di Marawi melibatkan lebih kurang 1,200 kematian termasuk orang awam. Hampir 200,000 penduduk terpaksa melarikan diri manakala 2,000 lagi terperangkap tanpa bekalan makanan, air dan elektrik ketika konflik berlangsung.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.