Menteri, Pembangkang Malaysia Bersolidariti Isu Wariskan Kerakyatan Anak

Diskriminasi terhadap wanita tempatan masih wujud dalam masyarakat, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.
Hadi Azmi & Noah Lee
2021.09.15
Kuala Lumpur
Menteri, Pembangkang Malaysia Bersolidariti Isu Wariskan Kerakyatan Anak Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim semasa membahaskan isu diskriminasi terhadap wanita Malaysia berhubung kerakyatan anak yang dilahirkan di luar negara pada sidang Dewan Rakyat, di Parlimen, Kuala Lumpur, 14 September, 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Pemimpin Malaysia, daripada kerajaan atau pembangkang telah menyuarakan solidariti mereka bersama kumpulan wanita tempatan yang mengkritik Putrajaya selepas kerajaan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi yang memutuskan supaya diskriminasi berhubung kerakyatan anak yang dilahirkan di luar negara dengan pasangan warga asing dihentikan.

Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Komunikasi Annuar Musa mahu isu tersebut dibawa ke Kabinet dan dibincangkan dengan teliti manakala Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pula berkata tindakan rayuan difailkan oleh Peguam Negara itu memberi isyarat tidak baik serta secara jelas "diskriminasi terhadap wanita masih wujud dalam masyarakat."

"Saya berpandangan suara para ibu di Malaysia harus kita dengari. Oleh kerana ia menyentuh soal dasar dan perundangan, saya percaya kabinet adalah forum paling sesuai meneliti hal ini mengambil kira semangat Keluarga Malaysia," kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang semasa di Parlimen sambil merujuk kepada slogan ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri berkata "Saya tidak faham kenapa Perdana Menteri yang sentiasa bercakap mengenai keluarga, tetapi beliau mengizinkan Peguam Negara merayu keputusan yang dibuat oleh mahkamah.

“Beliau (Ismail Sabri) memberikan isyarat yang sangat tidak baik, ini bermakna diskriminasi terhadap ibu yang melahirkan anak."

"Jadi saya ingat, satu hal yang asas bagi negara di zaman sekarang ini yang lebih bertamadun untuk tidak mengambil sikap diskriminasi terhadap wanita," tambah Anwar.

Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa anak yang dilahirkan di luar negara kepada pasangan yang mana ibunya adalah warga Malaysia manakala bapa pula warga asing adalah layak untuk diberikan kerakyatan Malaysia secara automatik, iaitu hak yang sama seperti diberikan kepada anak lelaki Malaysia yang berkahwin dengan wanita asing.

Kes tersebut mencatat sejarah penting dalam menegakkan perlembagaan persekutuan Malaysia yang meletakkan larangan terhadap diskriminasi jantina mengatasi sebarang peruntukan lain dalam undang-undang tertinggi negara itu.

Hakim Akhtar Tahir dalam penghakimannya mendapati bahawa peruntukan perlembagaan mengenai kerakyatan "mesti dibaca secara harmoni dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan, yang melarang diskriminasi berdasarkan jantina."

Kerajaan Malaysia kemudiannya telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan hakim tersebut, satu tindakan yang mendapat kecaman daripada para plaintif serta masyarakat sivil.

Satu petisyen telah dilancarkan untuk menggesa kerajaan menarik balik rayuan mereka, dan ia telah menerima lebih 17,000 tandatangan setakat Rabu.

Wan Junaidi, menteri undang-undang yang menjadi antara orang yang memuji keputusan mahkamah tinggi pada Khamis lepas, menyifatkannya keputusan mahkamah sebagai "memberi sinar".

"Saya bersimpati dengan mereka. Perkara ini bukan di bawah kementerian saya, ianya di bawah Kementerian Dalam Negeri.

"Akan tetapi, sekiranya Kementerian Dalam Negeri menyuarakan isu ini secara rasmi dalam kabinet, saya pastinya akan memberikan pandangan," Wan Junaidi memberitahu agensi media tempatan Malaysiakini pada Selasa.

Minggu lepas menteri undang-undang itu berkata, "Saya percaya bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dibaca secara berasingan. Ia perlu dibaca bersekali dengan peruntukan lain yang berkaitan dengan sesuatu subjek."

Beliau turut memuji keberanian hakim-hakim lain yang membuat keputusan serupa dalam kes membabitkan peruntukan yang mendiskriminasi dengan membaca undang-undang secara harmoni dengan prinsip asas perlembagaan.

"Para hakim mesti berani untuk membuat pertimbangan yang waras dan harmoni.

"Sebarang peruntukan yang bersifat mendiskriminasi hendaklah diterjemah secara harmoni dengan prinsip asas, dan sebarang perkara yang tidak konsisten mesti diketepikan melalui interpretasi harmoni," kata menteri itu.

Pendirian tidak konsisten

Wakil rakyat pembangkang pula telah mempersoalkan mengenai pendirian Anggota Kabinet yang tidak konsisten, dan menyeru Perdana Menteri supaya mengarahkan Peguam Negara untuk menarik semula rayuan dan menghormati keputusan mahkamah tinggi.

"Episod ini sahaja sudah cukup menggambarkan terdapat begitu banyak keputusan yang tidak konsisten dalam kabinet beliau dan kelemahan yang paling ketara adalah kegagalan Kerajaan ini melindungi wanita dan kanak-kanak.

"Konsep keluarga besar Malaysia perdana menteri kini sedang diuji dan tercemar dengan keputusan yang tidak masuk akal dan kejam oleh Peguam Negara sehingga menimbulkan kesengsaraan dan kekecewaan kepada ramai ibu dan keluarga mereka," kata bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Hannah Yeoh dalam satu kenyataan.

Peguam Joshua Andran yang mewakili kumpulan ibu dalam kes tersebut berkata masih belum ada tarikh ditetapkan untuk pendengaran rayuan oleh kerajaan

"Belum ada tarikh," kata Joshua kepada BenarNews pada Rabu.

Usaha untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan notis rayuan yang difailkan itu daripada Peguam Negara Idrus Harun oleh BenarNews ada Selasa dan Rabu gagal.

"Kami melihat ini adalah satu bentuk pengkhianatan kerajaan terhadap hak yang sudah lama tertangguh bagi kaum wanita Malaysia. Kerajaan mempunyai kesempatan untuk menerima keputusan Mahkamah Tinggi tersebut, dan memastikan hak wanita tidak ditindas dan mereka juga mendapat keadilan dan kesaksamaan yang sepatutnya," kata Family Frontiers, kumpulan sokongan keluarga yang mengetuai usaha mencabar undang-undang tersebut.

Sebaliknya, kerajaan telah memilih untuk terus melakukan ketidakadilan terhadap wanita Malaysia menerusi undang-undang yang mendiskriminasi, kata kumpulan tersebut.

Pada 18 Disember lepas, kumpulan enam wanita tempatan bersama Presiden Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers), Suriani Kempe telah memfailkan tindakan undang-undang di mahkamah memohon satu deklarasi bahawa wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing turut berhak mendapatkan kerakyatan secara automatik bagi anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Mereka menuntut enam perintah mahkamah khusus termasuk perisytiharan pada beberapa Seksyen dalam Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan ibu-ibu Malaysia sebagai syarat bagi anak-anak yang lahir di luar negara diberi kewarganegaraan Malaysia secara automatik.

Kerajaan Malaysia kemudiannya telah memfailkan permohonan kepada mahkamah sama pada April untuk membatalkan saman kumpulan itu dengan memberi alasan saman yang difailkan secara saman pemula adalah remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Permohonan itu bagaimanapun telah ditolak oleh Hakim Akhtar Tahir pada 6 Mei 2021. Beliau berkata kerajaan perlu memberikan penjelasan mengapa anak hasil perkahwinan lelaki Malaysia dengan wanita asing boleh diberikan kerakyatan tetapi layanan sama tidak terpakai untuk anak wanita Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.