Pindaan kewarganegaraan, siapa yang paling mendapat manfaat?
2024.10.22
Kuala Lumpur

Parlimen Malaysia minggu lalu meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 yang membabitkan beberapa pindaan mengenai hak kewarganegaraan antaranya membenarkan anak kepada wanita tempatan yang lahir di luar negara diberikan taraf kewarganegaraan berbanding sebelum ini hanya melibatkan bapa.
Rang undang-undang itu diluluskan oleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada 17 Oktober, menamatkan ketidakseimbangan undang-undang yang telah lama wujud tetapi pengkritik mengatakan beberapa pindaan adalah "mengecewakan" dan "regresif," dalam apa yang mereka katakan ia mungkin tidak memberi manfaat sama rata kepada semua pihak terbabit.
Rang Undang-Undang tersebut selepas ini perlu diluluskan di Dewan Negara dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum ia berkuat kuasa sebagai undang-undang.
BenarNews melihat lebih dekat siapa yang mendapat manfaat daripada perubahan baharu itu dan siapa yang mungkin menghadapi lebih banyak cabaran.
Penerima manfaat:
Anak lahir di luar negara
Perubahan yang paling ketara ialah memasukkan ibu warga Malaysia untuk membolehkan anaknya yang lahir di luar negara untuk menerima taraf kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang atau automatik.
Sebelum ini, hak itu hanya diberikan kepada bapa, menyebabkan ramai ibu warga Malaysia terpaksa berjuang di mahkamah untuk mendapatkan hak kewarganegaraan bagi anak mereka.
Kumpulan hak asasi manusia berkata selama bertahun-tahun, ibu warga Malaysia mengalami ketidakpastian selama bertahun-tahun sementara menunggu permohonan kewarganegaraan diproses.
"Pindaan itu akan meringankan beban emosi dan birokrasi yang dihadapi oleh ibu-ibu warga Malaysia yang tidak terkira banyaknya yang telah lama bergelut dalam ketidaktentuan dan tekanan mengenai status kewarganegaraan anak-anak mereka," kata Presiden Family Frontiers Adlyn Adam Teoh dalam kenyataan pada Khamis.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail telah memproses lebih 32,000 permohonan kewarganegaraan sejak memegang jawatan pada Disember 2022, menurutnya.
Beliau menggelar kelulusan rang undang-undang itu sebagai "kemenangan kerajaan" dan berjanji untuk menyelesaikan semua permohonan kewarganegaraan yang tertunggak menjelang Oktober tahun depan.
"Kami memproses lebih 19,000 permohonan pada tahun ini sahaja, 80 peratus daripadanya telah tertangguh selama lebih lima tahun," kata Saifuddin kepada Parlimen.
Pihak terjejas:
Anak pemastautin tetap
Salah satu perubahan yang paling dikritik ialah pembatalan kerakyatan automatik bagi anak-anak pemastautin tetap yang dilahirkan di Malaysia.
Kanak-kanak itu kini perlu membuat permohonan ‘pendaftaran’ untuk mendapat taraf kewarganegaraan.
Aktivis hak kanak-kanak Hartini Zainuddin berkata pembatalan kerakyatan itu memberi kesan kepada anak yatim dan anak luar nikah, menjadikan mereka pemastautin tetap tanpa sebarang bantuan.
“Saya mempunyai kes begitu ramai anak yatim atau anak yatim berumur 16, 17 dan 18 tahun yang mana bapa mereka adalah warga Malaysia yang mungkin atau mungkin tidak mengenali mereka - anak luar nikah atau yang tidak tahu siapa ibu bapa mereka,” kata Hartini kepada BenarNews.
“Apa yang kita ada hanyalah janji yang samar-samar. Kepastian dan jaminan yang diberikan oleh perlembagaan telah dihapuskan.”
Masyarakat Orang Asal
Dengan membatalkan kerakyatan automatik, ia turut memberi kesan kepada komuniti Orang Asal yang kebanyakannya telah tinggal di Malaysia selama beberapa generasi tanpa kerakyatan rasmi, kata pengkritik.
Azrul Khalib, Ketua Pegawai Eksekutif Galen Centre, sebuah kumpulan pemerhati penjagaan kesihatan berkata bahawa ramai penduduk tetap yang terjejas susulan perubahan itu bukanlah "orang asing," tetapi individu yang harus diiktiraf sebagai rakyat Malaysia.
“Ini termasuk komuniti Orang Asli dan Orang Asal di Semenanjung dan Malaysia Timur serta individu yang berasal dari keturunan Cina dan India," kata Azrul.
"Komuniti ini adalah antara yang paling terpinggir."
Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri Saifuddin berkata pindaan berkenaan tidak akan menjejaskan masyarakat orang asal kerana mereka sememangnya dilindungi oleh Perlembagaan dan pendaftaran dilakukan seperti biasa iaitu dilengkapkan dengan dokumen kelahiran anak dan perkahwinan.
Perkara 160 dan 161 Perlembagaan Persekutuan melindungi hak Orang Asli dan keistimewaan negeri Borneo.

Anak wanita tempatan sedia ada yang lahir di luar negara
Undang-undang baharu itu tidak terpakai secara retroaktif, bermakna kanak-kanak yang dilahirkan sebelum pindaan tidak akan mendapat kerakyatan secara automatik. Ini telah menyebabkan banyak keluarga dan pengkritik kecewa.
“Malangnya, bagi mereka yang lebih tua, mereka akan terlepas peluang,” kata Sue Haina, ibu kepada seorang anak tanpa kerakyatan kepada BenarNews.
"Lebih teruk lagi jika mereka sudah menetap di Malaysia."
Sue berkata bagi ibu sepertinya, mereka perlu memohon, menunggu kelulusan, mendaftar dan mengangkat sumpah untuk diiktiraf sebagai warganegara Malaysia.
Kanak-kanak tanpa negara
Had umur bagi kanak-kanak tanpa kerakyatan untuk memohon kewarganegaraan telah dikurangkan daripada 21 kepada 18, mengurangkan tiga tahun daripada tempoh yang tersedia untuk mereka mendapatkan kewarganegaraan.
Perubahan ini menjejaskan proses yang sudah diketahui mengambil masa beberapa tahun untuk diselesaikan, kata kumpulan aktivis sebelum ini.
Selain itu, had umur baharu akan dikenakan ke atas mereka yang sebelum ini memperoleh kewarganegaraan melalui cara yang sah, kini mesti mengangkat sumpah kewarganegaraan sebelum mencapai umur 18 tahun untuk mengekalkan status Malaysia mereka.
Pasangan warga asing kepada lelaki Malaysia
Rang undang-undang itu memasukkan peruntukan membolehkan kerajaan membatalkan kewarganegaraan isteri warga asing kepada lelaki Malaysia jika perkahwinan mereka berakhir dalam tempoh dua tahun selepas mendapat kewarganegaraan dan bukannya selepas dua tahun berkahwin.
Pengkritik sebelum ini berhujah bahawa pindaan ini boleh menyebabkan wanita kekal dalam perkahwinan yang terdapat penderaan dan keganasan selain bimbang kemungkinan menjadi individu tanpa negara kerana Malaysia tidak membenarkan dua kewarganegaraan.
Saifuddin dalam penggulungannya di Parlimen ketika menjawab isu tersebut berkata, peruntukan asal digugurkan kerana ia sudah tidak releven kerana tidak mungkin seseorang isteri warga asing mendapat kewarganegaraan dalam tempoh dua tahun berkahwin.
Beliau berkata terdapat peruntukan bahawa penarikan balik taraf kewarganegaraan tidak boleh dilakukan sekiranya ia membuatkan isteri warga asing tersebut menjadi rakyat tanpa negara.