Ahli Parlimen PAS dikritik hebat selepas bangkit isu pakaian jururawat “terlalu ketat”
2023.06.16
Kuala Lumpur

Persatuan berkaitan profesyen perubatan dan pengguna media sosial pada Jumaat tampil mengkritik Ahli Parlimen Parti Islam Se-Malaysia (PAS) selepas beliau dengan kerasnya berhujah di Dewan Rakyat dengan berkata bahawa pakaian seragam jururawat “terlalu ketat”, “mengikut bentuk badan” dan tidak mematuhi syariat Islam.
Wan Razali Wan Nor, Ahli Parlimen Kuantan mewakili Perikatan Nasional, blok pembangkang berhujah demikian semasa membahas usul Kertas Putih Kesihatan pada sidang Dewan Rakyat pada Khamis.
Kenyataan Wan Razali itu disifatkan oleh Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Muruga Rajathurai sebagai membimbangkan dan menyedihkan kerana banyak lagi isu berkaitan penjagaan kesihatan yang perlu diberikan keutamaan.
“Adalah menyedihkan apabila di tengah-tengah kegusaran seluruh negara terhadap masa depan dan kemampanan sistem penjagaan kesihatan kita, seorang ahli parlimen lebih mengambil berat tentang kod pakaian jururawat.
“Semua jururawat di sektor awam mematuhi etika berpakaian penjawat awam. Kami percaya pakaian seragam jururawat Kementerian Kesihatan sekarang adalah praktikal kerana ia tidak menyekat pergerakan semasa jururawat menjalankan tugas mereka.
"Dalam penjagaan kesihatan, semua orang perlu cepat bergerak dan ada kalanya, mesti bersedia untuk memecut demi menyelamatkan nyawa," kata Muruga dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, susulan etika pemakaian jururawat wanita di klinik dan hospital kerajaan dipersoalkan oleh ahli parlimen pembangkang tersebut.
Acuan Barat
Wan Razali mendakwa pakaian seragam jururawat di fasiliti kesihatan awam yang mengikut acuan Barat adalah terlalu ketat hingga menampakkan bentuk badan, sekaligus tidak mematuhi tuntutan Islam.
“Saya ingin membangkitkan pemakaian (uniform) jururawat wanita iaitu kebanyakan berpakaian ketat dan menampakkan bentuk badan, di mana ia tidak patuh syariah.
“Saya ingin bertanya, adakah kita masih berterusan mahu mengikut acuan Barat dalam etika pemakaian ini? Apakah ia tidak boleh diubah dan diberi kelonggaran?" soalnya ketika sesi perbahasan pada Khamis.
Wan Razali menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil contoh beberapa hospital lain yang memberi pilihan kepada kakitangan wanita mereka untuk mengenakan pakaian yang lebih sesuai.
Kenyataan itu disokong oleh Salamiah Mohd Nor, Ahli Parlimen Temerloh, juga dari PAS.
Tidak adil
Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) Nor Hayati Abd Rashid menyifatkan kenyataan Wan Razali sebagai “tidak adil dan melukakan hati” para jururawat KKM.
Nor Hayati menjelaskan garis panduan pemakaian kakitangan KKM ditetapkan berdasarkan perbincangan bersama golongan agamawan sejak penghujung tahun 1980-an lagi dan telah berubah dan lebih mematuhi syariah.
“Mana boleh KKM keluarkan panduan pemakaian tanpa ada perbincangan. Ini adalah negara Islam. Mesti sudah ada perbincangan dengan pihak tertentu.
“Sebelum tahun 80-an kita pakai skirt tapi atas kesedaran agama, kita pun dah nampak (pakaian) ini tidak patuh syariah, kita kemudian tukar kepada seluar.
“Kalau betul ada yang cakap pakaian kami terlalu ketat, pasti sukar untuk kami buat kerja dengan baik sebab sentiasa bergerak, mengangkat pesakit, ‘squat down’ ambil barang dan sebagainya, mana boleh pakai baju ketat,” katanya kepada sebuah portal berita tempatan pada Jumaat.
“Mana boleh pakai ketat sangat, tak boleh buat kerja kalau macam itu. Anda melukakan kami, bagi saya sangat tidak adil apabila bercakap macam tu.
“Kita bercakap kena logik. Bukannya hanya sebab anda nak kritik pihak lain tapi dalam masa yang sama anda melukakan hati kami. Saya rasa tersinggung. Saya dah buat kerja ni berpuluh-puluh tahun dan tiada siapa terkoyak baju ketika bekerja,” bidasnya lagi.
Ahkbar Berita Harian pula melaporkan Nor Hayati sebagai berkata isu pakaian jururawat ketat hanyalah kes terpencil, membabitkan segelintir kakitangan yang berkemungkinan menghadapi kenaikan berat badan dan bukan disengajakan.
“Soal pakaian ketat itu lebih kepada individu dan sebenarnya jururawat itu sendiri kena sedar, sekiranya uniform itu dirasa sudah ketat, dia perlu membuat yang baharu,” ujar Nor Hayati seperti dilaporkan akhbar berkenaan.
Utamakan isu mendesak
Kenyataan Wan Razali turut dibidas oleh para penggubal undang-undang lain antaranya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dari Parti Ikatan Demokratik Muda (MUDA).
Syed Saddiq, Ahli Parlimen Muar berkata banyak lagi isu lebih mendesak dalam sektor kesihatan yang boleh dibawa ke Dewan Rakyat berbanding isu pakaian seragam jururawat.
Mantan Menteri Belia dan Sukan itu berkata antara masalah dalam sektor kesihatan yang perlu diberi perhatian adalah kekurangan jururawat dengan nisbah seorang perlu rawat 454 pesakit dalam satu masa.
“Kekurangan 2,500 doktor psikiatri seluruh negara; lebih 20,000 doktor kontrak tanpa jaminan pekerjaan; fasiliti klinik yang daif dan ketinggalan; kesesakan wad di hospital kerajaan, termasuk di zon utama dan zon kecemasan.
“Sebagai Ahli Parlimen, lebih wajar untuk kita sama-sama cari jalan penyelesaian dari peringkat dasar. Banyak lagi isu yang perlukan perhatian Dewan Rakyat,” ujarnya dalam status yang dimuatnaik di Facebook pada Jumaat.
Ahli Parlimen Pakatan Harapan dari Tebrau Jimmy Puah Wee Tse dengan nada sinis menasihatkan Wan Razali untuk menundukkan pandangannya jika tidak berpuas hati dengan pakaian seragam jururawat.
“Kita seharusnya menghargai pengorbanan dan usaha yang disumbangkan oleh jururawat dalam menyelamatkan nyawa dan berkhidmat kepada negara dan bukannya mempersoalkan pakaian mereka,” katanya dalam satu kenyataan, sambil mendesak Wan Razali menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada jururawat di Malaysia.
Rakan sekutu PAS dalam Perikatan Nasional, Gerakan turut mendesak Wan Razali untuk menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada para jururawat.
“Orang ramai pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan, untuk menyelamatkan nyawa. Tiada siapa yang akan memainkan peranan sebagai ‘polis moral’ dengan perspektif agama ekstremis seperti ahli parlimen itu untuk mengambil tahu tentang pakaian pekerja penjagaan kesihatan,” tegas Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kenyataan Wan Razali turut dibidas oleh pengguna media sosial di Malaysia.
“…Cuma yang saya ingin persoalkan 33 bulan kamu menjadi kerajaan nurse (jururawat) di Malaysia ini pakai jubah ke? Kenapa tak bangkitkan isu ini semasa kamu berkuasa?” soal Norman Radzuan dalam status yang dimuatnaik di Facebook.
Seorang lagi pengguna Facebook, Rozy Razit berkata: “Baju nurse itu dibuat macam tu ada sebab. Peraturan untuk pakaian seragam adalah tidak terlalu ketat dan labuh baju mestilah melebihi punggung. Ada garis panduan yang mesti diikuti.
“Semua hospital di seluruh dunia pakaian jururawat memang macam tu. Kat Saudi (Arab Saudi) pun pakai macam tu.. Takde pun pakai jubah labuh,” ujarnya lagi.
Zoizite Ruby Sue Kevin pula dalam status Facebook berkata: “Sibuk dengan isu uniform jururawat. Cuba buat inisiatif majukan hospital, peralatan hospital, katil pesakit terutama bilik bersalin dan banyak lagi isu penting.”