Malaysia Dakwa Enam Suspek Terlibat Aktiviti Keganasan IS
2016.08.11
Pulau Pinang

Enam individu yang dipercayai anggota kumpulan pengganas Negara Islam (IS) telah didakwa di lima buah mahkamah di empat negeri di Malaysia atas 15 tuduhan berbeza berkaitan keganasan termasuk memiliki bahan letupan.
Individu tersebut masing-masing didakwa di mahkamah berasingan pada Khamis termasuk mahkamah majistret George Town, Ipoh, Tapah, Shah Alam, Selayang.
Tertuduh termasuk seorang peniaga berusia 28 tahun yang didakwa atas empat pertuduhan di Mahkamah Majistret Shah Alam kerana memiliki bahan letupan yang mengandungi campuran 'sodium chlorate' dan sucrose yang berfungsi sebagai 'oxidizer' dan 'fuel' yang tersenarai dalam Seksyen 2 Akta Bahan Letupan 1957. Jika disabit kesalahan tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Tuduhan lain terhadap peniaga itu termasuk penggunaan bahan letupan, dan perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk melanjutkan perjuangan ideologi bagi mengugut orang awam di Malaysia melalui aplikasi telegram atas nama Putra Zulkarnain dan 'anonymous.'
Tertuduh juga memiliki sehelai baju sejuk dan bendera yang mempunyai lambang kumpulan IS dan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan. Kesemua kesalahan itu dilakukan di No 3, Lorong Indah 1, Kampung Sri Indah B, Sungai Buloh antara 25 Mac dan 22 Julai lepas.
Tertuduh yang berbaju kelabu pula mengangguk tanda faham sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtaruddin. Tiada pengakuan direkodkan.
Siti Shakirah menetapkan 20 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Tertuduh diwakili peguam K. A Ramu manakala pendakwaan dijalankan oleh Cheng Heng Kher.
Penjaga Zoo terlibat IS
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Selayang, seorang penjaga Zoo Mohd Sharullizam Ramli, 30, dan pemandu teksi Nor Mizan Panijian, 37, didakwa dengan lima pertuduhan berkaitan kesalahan keganasan berkaitan IS.
Mohd Sharullizam didakwa dengan dua pertuduhan keganasan, yang pertama memberi sokongan kepada IS melalui aplikasi Telegram antara 25 Mac dan 29 Jun manakala yang kedua kerana memiliki pelekat kereta, bendera dan pengikat kepala kumpulan itu pada 19 Julai lepas.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pangsapuri di Batu 11, Gombak, Selangor.
Manakala rakannya, Nor Mizan pula didakwa menggunakan aplikasi Telegram dengan bertujuan menyokong IS di pangsapuri yang sama antara 25 Mac dan 29 Jun.
Bagi pertuduhan kedua, Nor Mizan didakwa memiliki maklumat-maklumat berkaitan IS dalam dua telefon bimbitnya dan tablet di kediaman yang sama pada Julai 15.
Nor Mizan juga menghadapi pertuduhan ketiga iaitu menguruskan harta pengganas secara tidak langsung dengan memasukkan RM90 kedalam dua akaun Maybank di antara 1 Feb dan 4 April di Menara Hup Seng, Kuala Lumpur.
Kedua-dua tertuduh mengangguk kepala ketika pertuduhan-pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret Iriane Isabelo. Tiada pengakuan direkodkan dan mahkamah menetapkan 26 September untuk sebutan kes.
Sementara itu, tiga suspek IS telah didakwa di tiga buah mahkamah di utara Semenanjung, iaitu seorang di Pulau Pinang dan dua lagi di Perak.
Di Mahkamah Majistret Ipoh , Perak seorang wanita yang juga bekas pengawal keselamatan Zilah Tajuddin, 43, didakwa atas dua pertuduhan memberi sokongan dan menggalakkan perbuatan kumpulan militan pada Julai lalu.
Bagi pertuduhan pertama, Zilah didakwa memberi sokongan dengan memuat naik aktiviti kumpulan pengganas “Tauhid State” dalam aplikasi Telegram. Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 4 hingga 17 Julai di alamat No 79602, Jalan Cenderawasih, Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2, Ipoh.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggalakkan perbuatan kumpulan IS melalui aplikasi Telegram pada masa serta lokasi yang sama.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Suhaima Mohd Noor. Tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Suhaima menetapkan 20 September untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dijalankan oleh Fadhli Ab Wahab.
Manakala di Mahkamah Majistret Tapah, seorang lelaki yang bekerja sendiri Zairosfitri Jainuddin Azhar, 24, didakwa kerana memberi sokongan kepada IS antara 25 Mac hingga 30 Jun di kediamannya, Blok A Perumahan Awam 2 di Chenderiang, Tapah.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripadanya dengan Majistret Ahmad Asyraf Mohamed Kamal menetapkan 20 September untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dijalankan oleh Fatin Farahiyah Nadzri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Di Pulau Pinang, seorang penganggur, Mohamad Saufi Ibarahim, 21, didakwa di Mahkamah Majistret George Town atas dua pertuduhan menyokong IS dan memiliki barangan berunsur keganasan kumpulan itu.
Bagi pertuduhan pertama, Mohamad Saufi didakwa memberi sokongan melalui aplikasi Telegram dengan menggunakan nama 'saufiibrahim' di 600A-1-14, Pangsapuri Tanjung Bungah, antara 25 Mac hingga 29 Jun.
Mohamad Saufi juga didakwa memiliki barangan berkaitan IS iaitu 1 pelekat IS dan 2 buah buku bertajuk 'Tarbiyah Jihadiyah' jilid 1-6 dan jilid 7-11 di alamat sama, pada 15 Julai lalu.
Tertuduh mengangguk faham selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majisret Mohamad Amin Shahul Hamid yang menetapkan 4 Oktober sebagai sebutan kes. Tertuduh tidak diwakili manakala Noor Azura Zulkiflee menjalankan pendakwaan.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Anti-Keganasan Cawangan Khas PDRM, Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, seramai 230 individu yang dipercayai pengganas IS termasuk 200 rakyat Malaysia telah ditahan pihak berkuasa Malaysia.