Sokong IS, Juruteknik Dihukum Penjara Tujuh Tahun Lagi
2017.05.16
Kuala Lumpur

Seorang juruteknik sebuah kilang besi, yang sedang menjalani hukuman bagi kesalahan pembiayaan keganasan, sekali lagi dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun pada Selasa kerana memberi sokongan kepada kumpulan militan Negara Islam [IS] dan perbuatan pengganas membabitkan penggunaan bahan letupan.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Azman Abdullah, menjatuhkan hukuman itu ke atas Bukhori Che Noor selepas tertuduh mengaku melakukan kedua-dua kesalahan.
Bagi pertuduhan pertama, Bukhori didakwa memberi sokongan kepada kumpulan IS dengan berikrar sumpah setia terhadap kumpulan itu melalui aplikasi Telegram dalam kumpulan perbualan yang dipanggil "Gagak Hitam" di sebuah rumah di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 30 Mac tahun lepas.
Gagak Hitam adalah sel pengganas yang ditumpaskan pihak polis melalui penangkapan 14 ahlinya pada September dan Oktober tahun lepas.
Menurut Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar, sel berkenaan bertanggungjawab terhadap letupan di Kelab Malam Movida di Puchong, Selangor pada Jun tahun lepas, yang mencederakan lapan orang dan merupakan serangan pertama didakwa dilakukan IS di bumi Malaysia.
Bagi pertuduhan kedua, Bukhori mengaku memberi sokongan kepada perbuatan pengganas yang melibatkan penggunaan bahan letupan antara 25 Mac dan 30 Jun tahun lepas.
Tertuduh ditahan di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 30 Jun 2016.
Juruteknik itu didakwa mengikut Seksyen 130 J (1)(a) dan 130 J (1)(b) Kanun Keseksaan yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan hukuman maksimum penjara 30 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Azman bagaimanapun memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh bapa kepada dua anak itu ditahan, iaitu pada 30 Jun tahun lepas.
Bukhori merupakan rakyat Malaysia pertama yang didakwa atas kesalahan pembiayaan keganasan di negara itu, dan pada 10 April lepas, dia dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh hakim yang sama.
Semasa prosiding mahkamah ketika itu, Bukhori mengaku bersalah atas pertuduhan menyediakan perkhidmatan kewangan dengan membenarkan akaun banknya digunakan bagi tujuan pengeluaran dan deposit untuk memberi manfaat kepada militan Malaysia Muhammad Wanndy Mohamed Jedi yang berpangkalan di Syria.
Muhammad Wanndy, yang merupakan perekrut utama pejuang IS bagi Asia Tenggara, telah dilaporkan terbunuh dalam serangan ‘drone’ di Syria baru-baru ini.
Perlu menyara keluarga
Dalam penghakimannya pada Selasa, Hakim Azman berkata beliau membuat keputusan itu selepas mempertimbang fakta bahawa tertuduh sedang menjalani hukuman penjara tujuh tahun.
Bukhori dalam rayuannya berkata, dia kesal dengan tindakannya dan memohon supaya mahkamah membenarkan dia menjalani hukuman serentak dengan tempoh penjara tujuh tahun terdahulu.
"Saya perlu menyara isteri dan dua anak kecil," kata Bukhori yang tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pendakwa Mohd Izhanuddin Alias telah meminta mahkamah mengenakan hukuman lebih berat ke atas tertuduh untuk memberi pengajaran kepada pengikut IS yang lain.
Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan kira-kira 300 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, yang mana 66 daripadanya telahpun dibebaskan, demikian menurut angka terkini yang diperoleh BeritaBenar.
Menurut angka yang diperoleh BeritaBenar daripada kerajaan Malaysia, sekurang-kurangnya 31 pejuang IS dari Malaysia, termasuk Muhammad Wanndy, telah terbunuh di Syria atau Iraq sejak 2014.