Warga Indonesia di Penjara Lebih Tiga Tahun Miliki Gambar IS
2018.03.01
Kuala Lumpur

Seorang peniaga pasar malam warga Indonesia pada Khamis telah dijatuhkan hukuman penjara selama 42 bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah memiliki 34 keping gambar berkaitan Negara Islam (IS) pada tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Sofian Abdul Razak menjatuhkan hukuman tiga tahun setengah itu terhadap tertuduh Tonny Indra Prayitna yang sudah bermastautin di Malaysia sejak tahun 2000, kerana memiliki kesemua gambar berkenaan dalam telefon bimbitnya.
Hakim Mohd Sofian memerintahkan Tonny supaya menjalani hukuman itu dari tarikh beliau ditangkap iaitu pada 25 Ogos tahun lalu.
Bapa kepada empat orang anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di daerah Petaling Jaya pada jam 11.45 pagi, pada tarikh beliau ditangkap.
Tertuduh didakwa dibawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda jika disabit kesalahan.
Hakim Mohd Sofian sebelum menjatuhkan hukuman terhadap Tonny memberitahunya bahawa beliau tidak sepatutnya menyimpang dari matlamat asal beliau untuk mencari rezeki bagi keluarga.
Hakim itu menambah, jika aktiviti beliau terus dibiarkan, Tonny boleh bertindak menyertai kumpulan pengganas IS kerana mempunyai perasaan simpati.
Tonny yang tidak diwakili oleh peguam tidak dapat menahan sebak semasa memohon supaya hukuman keatasnya diringankan
Beliau yang kesal atas perbuatannya itu memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak menyangka dengan menyimpan gambar berkaitan keganasan merupakan satu kesalahan.
Tonny berkata isteri dan ibunya terpaksa keluar bekerja selepas dia ditahan pihak polis enam bulan lalu.
Pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwaraya Azlina Rasdi walaubagaimanapun meminta supaya hukuman yang setimpal diatas keseriusan perkara tersebut dan juga atas peningkatan kes pengganas di dalam negara.
Juruteknik mengaku tidak bersalah
Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang rakyat tempatan Mohd Fairul Azhar Jaafar, 34, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan kerana memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas IS di dalam pemacu pena [USB] pada Mei tahun lepas.
Beliau didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS itu di perkarangan Pejabat Sumber Manusia ICHOR System Malaysia Sdn Bhd di Shah Alam, Selangor pada 1.15 petang, 25 Mei tahun lalu.
Bagi kesalahan pertama Mohd Fairul Azhar dituduh mengikut Seksyen 130J (1) (a) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda.
Bagi kesalahan kedua, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki 34 keping gambar berkaitan kumpulan pengganas IS di dalam pemacu pena di tempat dan waktu sama.
Tertuduh tidak diwakili peguam berdepan dengan hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda bagi setiap pendakwaan itu.
Mahkamah menetapkan 23 Julai depan untuk perbicaraan.
IS berjaya melakukan serangan pengganas pertamanya di bumi Malaysia - letupan bom tangan yang mencederakan lapan pelanggan sebuah kelab malam berhampiran Kuala Lumpur pada Jun 2016.
Sehingga kini, 382 orang telah ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia kerana disyaki mempunyai kaitan dan hubungan dengan kumpulan pengganas dalam tempoh empat tahun yang lalu, menurut pengiraan yang dibuat oleh BeritaBenar.