Rakyat Filipina Turut Terbabit Rancangan Keganasan IS di Malaysia: FBI
2017.10.09
Kuala Lumpur

KEMASKINI pada 2.00 a.m ET - 2017-10-10
Seorang doktor Filipina, yang ditangkap kerana disyaki membiayai rancangan keganasan yang dapat digagalkan di Amerika Syarikat (IS), turut menghantar wang kepada seorang lelaki yang terlibat dalam satu-satunya serangan dan yang pertama oleh Negara Islam (IS) di Malaysia, demikian menurut dokumen FBI.
Russel Salic, seorang pakar bedah ortopedik yang berpejabat di bandar Cagayan de Oro, selatan Filipina, telah mengirim $426 kepada seorang lelaki bernama Jasanizam Bin Rosni di Johor, Malaysia, pada 26 Jun 2016, dua hari sebelum satu letupan bom tangan mencederakan lapan pelanggan di kelab malam Movida di Puchong, menurut FBI.
Pada Ogos 2016, pihak berkuasa Malaysia menangkap Jasanizam, antara beberapa suspek lain, dan mendakwanya sebagai seorang daripada pelaku yang terlibat dalam serangan bom tangan itu.
Salic, yang ditangkap pada April 2017 di Filipina, sedang menunggu untuk diekstradisi ke Amerika Syarikat selepas pihak berkuasa persekutuan mengenakan pertuduhan terhadapnya dan dua lelaki lain pada Jumaat kerana didakwa merancang untuk menyerang sasaran di kota raya New York.
Pihak berkuasa itu berkata, mereka telah menggagalkan serangan New York itu selepas ejen FBI, yang menyamar sebagai penyokong IS, telah menghubungi tiga suspek melalui aplikasi pesanan elektronik. Suspek berkenaan merancang untuk meletupkan bom dan melepaskan tembakan ke sasaran di Times Square dan venue konsert atas nama Negara Islam semasa bulan puasa suci Ramadan tahun lalu, kata pendakwa.
Dokumen mahkamah A.S. yang diperoleh oleh BeritaBenar menyatakan Salic juga mengirim $423 (kira-kira 21,650 peso) dari Cagayan de Oro kepada ejen yang menyamar itu dengan menggunakan kad pengenalan Suruhanjaya Peraturan Profesional Filipina (PRC) yang mengenalpastinya sebagai seorang doktor. Ia turut mengandungi gambarnya, kata para pegawai.
Salic menggunakan dokumen yang sama dan mengirimkan wang dari cawangan Western Union yang sama kepada orang hubungannya di Malaysia, menurut dokumen mahkamah itu.
"Saya percaya bahawa [dana untuk] Malaysia yang dikirim Salic empat hari sebelum serangan kelab malam di Malaysia ... adalah konsisten dengan kenyataan [Salic] yang menunjukkan bahawa dia terlibat dalam membiayai bukan sahaja rancangan di NYC, tetapi juga aktiviti penyokong ISIL di negara-negara lain, "kata Ejen Khas FBI Cody Haven dalam affidavit itu, yang merujuk IS kepada singkatan lain.
Dokumen mahkamah menyatakan Salic mengirim dana kepada suspek pengganas di Syria, Australia, Lubnan dan Palestin. Semua pemindahan wang itu dihantar dari cawangan Western Union yang sama di bandar Cagayan de Oro.
Salic menghadapi tujuh pertuduhan, termasuk konspirasi untuk melakukan tindakan keganasan, yang membawa hukuman penjara seumur hidup.
Di Manila hujung minggu lalu, ketua tentera Filipina Jeneral Eduardo Año berkata, Salic telah membiayai suspek pengganas di beberapa negara.
"Dia terlibat dalam kegiatan keganasan dengan menyediakan dana dan sumbangan kepada suspek pengganas di Timur Tengah, A.S. dan Malaysia dari 2014 hingga 2016," kata Año kepada pemberita, menurut laporan Rappler, sebuah portal berita Filipina.
"Dia telah diawasi dan di bawah risikan oleh penyelarasan bersepadu agensi-agensi risikan asing berikutan kegiatannya yang mencurigakan," kata beliau.
Ketua Polis Malaysia, Mohamad Fuzi Harun, berkata, pihaknya sedang menyiasat laporan mengenai dakwaan pembabitan pakar bedah Filipina berusia 37 tahun itu dalam serangan kelab malam di Malaysia, tetapi berkata bahawa beliau tidak tahu sama ada kerajaan Malaysia akan meminta Salic diekstradisi ke negara itu.
"Kami akan menyemak dan menyiasat perkara ini kerana ia adalah satu dakwaan, perkara yang sangat serius," kata Fuzi kepada Malay Mail Online. "Saya tidak dapat mengesahkannya buat masa ini."
"Itu satu proses yang panjang, bukan proses yang mudah," katanya, yang merujuk kepada ekstradisi itu.
Lapan ditahan
Sementara itu, lima anggota kumpulan militan Abu Sayyaf ditahan pihak berkuasa Malaysia di Sandakan dalam operasi anti-keganasan, kerana dipercayai terlibat dalam sindiket menyeludup pengganas ke Selatan Filipina melalui perairan Sabah, demikian menurut seorang pegawai tinggi pasukan keselamatan negara itu kepada BeritaBenar.
Menurut pegawai yang enggan dikenali itu, pihak berkuasa Malaysia juga mendapati kesemua mereka merupakan orang penting dalam sindiket penyeludupan manusia yang menjadi salah satu sumber kewangan untuk membiayai kumpulan Abu Sayyaf [ASG] yang kini sedang digempur habis-habisan oleh pihak berkuasa Filipina.
"Menurut risikan pihak keselamatan, lima suspek yang ditahan di Sandakan pada 27 September adalah anggota gerila Abu Sayyaf, yang berpangkalan di Selatan Filipina.”
"Kami percaya mereka turut bertanggungjawab menyeludup ramai pengganas yang menjadikan Malaysia sebagai transit untuk ke Selatan Filipina termasuk Kepulauan Marawi, samada bagi menjalani latihan atau menyertai kumpulan Abu Sayyaf," kata pegawai terbabit, yang enggan namanya disiarkan di dalam BeritaBenar pada Isnin.
Terbunuh
Dalam pada itu pihak berkuasa Filipina mengesahkan pada Isnin bahawa seorang militan Malaysia yang dikenali sebagai Joraimee Awang Raimee adalah antara pengganas yang terbunuh dalam pertempuran di Marawi, selatan Filipina baru-baru ini.
Panglima Tentera Wilayah Mindanao Barat, Lt. General Carlito Galvez mengenal pasti rakyat Malaysia itu sebagai Joraimee Awang Raimee, 42, yang merupakan antara 15 anggota militan yang terbunuh dalam serangan udara baru-baru ini, di mana mereka menjadikan sebuah masjid sebagai kubu kuat militan berlindung.
"Selepas ujian DNA, Malaysia mengesahkan kepada kami bahawa Joraimee sudah mati. Lebih daripada 50 militan asing berada di Mindanao sebelum pengepungan bermula, "kata Galvez merujuk kepada pengepungan Marawi oleh tentera Filipina sehingga tercetusnya pertempuran kumpulan yang dikaitkan dengan IS dan kegiatan penculikan di laut oleh suspek ASG yang bersenjata.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun telah mengumumkan penangkapan lapan individu, di Selangor, Perak dan Sabah yang berusia diantara 37 dan 53 tahun, oleh Bahagian Anti-Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman antara 27 Sept hingga 6 Okt.
Beliau berkata, kelima-lima suspek yang dipercayai terbabit dalam sindiket menyeludup manusia ke selatan Filipina itu adalah dua orang rakyat Malaysia, seorang memilik status pemastautin tetap Malaysia tetapi berasal dari Filipina, manakala dua lagi adalah rakyat Filipina.
Kata Fuzi, kelima-lima mereka ditangkap berikutan penahanan tujuh anggota Abu Sayyaf di Kuala Lumpur pada 14 September lalu.
"Susulan penangkapan tujuh lelaki terlibat dalam Abu Sayyaf pada 14 Sept, pihak polis menahan lima lagi yang disyaki terbabit dalam membantu penyusupan masuk anasir pengganas kumpulan Abu Sayyaf ke Malaysia melalui Sabah, “ kata Mohamad Fuzi dalam kenyataan pada Sabtu.
Ketua Polis Negara itu pada Sabtu turut mengumumkan penangkapan seorang pensyarah universiti warga Albania berusia 35 tahun di Selangor dan dua bekas banduan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012 di Tapah Perak.
Menurut Fuzi, pensyarah tersebut yang merupakan pensyarah perundangan di sebuah universiti awam, telah ditangkap pada 1 Oktober kerana disyaki mempunyai hubungan dengan anggota kumpulan Daesh di luar negara, terma lain yang digunakan untuk Negara Islam (IS).
Kesemua enam suspek yang ditangkap kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), satu undang-undang pencegahan yang digubal Malaysia bagi menangani ancaman keganasan.
Di bawah akta tersebut, pihak berkuasa Malaysia diberi kebenaran menahan seseorang yang dipercayai pengganas selama 28 hari bagi membantu siasatan, sebelum dihadapkan ke mahkamah.
Sementara itu, dua lagi suspek berusia 53 and 37 tahun yang ditahan kerana disyaki merekrut rakyat Malaysia bagi menyertai kumpulan Tandzim Al- Qaeda Malaysia (TAQM).
“Mereka pernah ditangkap pada 7 Februari 2013 kerana terlibat dalam aktiviti keganasan dan sedang menjalani hukuman penjara tujuh tahun bermula 27 Januari tahun lalu, dan kini ditahan dibawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA) kerana disyaki cuba merekrut banduan di Penjara Tapah bagi menganggotai kumpulan pengganas dan merancang melancarkan serangan ke atas rumah ibadat Islam, Kristian dan Hindu bertujuan mencetuskan konflik,” tambah beliau.
Katanya lagi, individu yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, yang kini telah dimansuhkan, juga disyaki menyimpan maklumat mengenai seorang ahli TAQM yang dikehendaki polis dan masih bebas
Manakala, seorang lagi individu berusia 37 tahun dipercayai merekrut dua rakyat Malaysia bagi menyertai kumpulan TAQM bersama suspek berusia 53 tahun itu.
Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 347 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, di mana 66 orang daripada mereka telah dibebaskan, menurut angka kerajaan yang dikumpulkan oleh BeritaBenar. IS berjaya melakukan serangan pengganas pertamanya di bumi Malaysia - letupan bom tangan yang mencederakan lapan pelanggan sebuah kelab malam berhampiran Kuala Lumpur pada Jun 2016.