Penjara Empat Tahun Miliki Video & Gambar IS

Hata Wahari & Ray Sherman
2017.10.10
Kuala Lumpur
171010-my-Hasbullah620.jpg Hasbullah Hassan, 38, mengaku bersalah memiliki video dan imej yang punyai kaitan keganasan, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 10 Okt 2017.
[Ihsan PDRM]

Sebuah mahkamah di Malaysia pada Selasa telah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap seorang gelandangan kerana memiliki 13 salinan video dan lapan keping gambar berkaitan kumpulan pengganas Negara Islam yang di simpan dalam telefon bimbitnya, awal tahun ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman itu selepas Hasbullah Hassan, 38, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya terhadap kesalahan memiliki video dan imej yang punyai kaitan keganasan,  semasa ditahan di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur, pada Januari lepas.

Hakim Mohd Sofian Abdul Razak memerintahkan hukuman itu berjalan mulai tarikh tertuduh ditangkap, iaitu pada 29 Januari lalu.

Hasbullah didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak ke atas mana-mana bahan yang  digunakan untuk melakukan kesalahan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu kepada mahkamah agar memberikan hukuman yang ringan, atas alasan beliau menderita penyakit ketumbuhan di saraf tunjangya, dan dia tidak mengetahui bahawa apa yang dilakukannya adalah satu kesalahan.

"Saya tidak tahu yang memiliki barang (video dan gambar) berkaitan IS adalah satu kesalahan. Saya baru tahu mengenai perkara ini selepas ditangkap polis. Ini adalah sebuah pengajaran buat saya untuk tidak mengulangi kesalahan ini," rayu duda beranak dua itu seperti dilaporkan agensi berita nasional Malaysia Bernama.

Timbalan Pendakwa Raya Munirah Shamsudin @ Baharum, bagaimanapun memohon mahkamah memberi hukuman setimpal kerana kesalahan seumpama itu, boleh menjadi barah yang merosakkan masyarakat jika tidak dicegah.

Dalam menjatuhkan hukuman, Hakim Mohd Sofian berkata memiliki bahan berkaitan IS adalah kesalahan, kerana tertuduh boleh terpengaruh dan mungkin terjebak untuk menjadi anggota kumpulan berkenaan.

“Mahkamah berpendapat  bahawa tertuduh tidak boleh menggunakan alasan ‘hanya ingin tahu’ kerana perbuatan ini merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang dan harus dijatuhkan hukuman setimpal,” katanya.

Sementara itu, seorang pegawai perubatan dihadapkan ke mahkamah yang sama atas pertuduhan memiliki bahan berunsur keganasan berkaitan IS dalam akaun Facebook “Khairulazhar Hassan”.

Tertuduh Mohd Khairul Azhar Hasan mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan melakukan kesalahan itu di Cawangan Khas Bukit Aman pada 3 April lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak ke atas mana-mana bahan yang digunakan untuk melakukan tersebut, jika sabit kesalahan

Mahkamah menetapkan 23 Oktober untuk sebutan kes.

Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 347 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, di mana 66 orang daripada mereka telah dibebaskan, menurut angka kerajaan yang dikumpulkan oleh BeritaBenar.

Selain itu, sejumlah 31 anggota militan rakyat Malaysia juga telah dilaporkan terbunuh ketika berjuang bagi pihak IS di Syria dan Iraq manakala 56 lagi dipercayai masih bertempur di negara terbabit.

IS berjaya melakukan serangan pengganas pertamanya di bumi Malaysia - letupan bom tangan yang mencederakan lapan pelanggan sebuah kelab malam berhampiran Kuala Lumpur pada Jun 2016.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.