Penjara Lapan Dan Enam Tahun Bagi Dua Ahli Sel Tempatan IS
2017.07.12
Kuala Lumpur

Dua mahkamah berasingan Malaysia pada Rabu menjatuhkan hukuman enam dan lapan tahun penjara terhadap seorang tukang masak dan seorang pekerja kilang atas empat pertuduhan berkaitan keganasan termasuk memberi sokongan terhadap sel tempatan kumpulan Negara Islam (IS) melalui aplikasi Telegram pada tahun lalu.
Rosmizan Che Din, 28, seorang tukang masak dan Wan Mohammad Nur Firdaus, 22, pekerja kilang masing-masing menerima hukuman penjara itu selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan keganasan menyokong dan memiliki pelbagai bahan berkaitan kumpulan militan IS di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Mengangkat sumpah taat setia kepada IS ialah satu tindakan yang salah dan mengisyaratkan yang kamu sanggup melakukan apa sahaja untuk IS, termasuk menggadai nyawa sendiri”, kata Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Sofian Abd Razak ketika membuat keputusan terhadap Rosmizan.
Tambahnya, tertuduh sudah matang untuk menilai bahawa kumpulan itu mampu mengganggu ketenteraman awam dan kestabilan sesebuah negara.
Peguam tertuduh, Mohd Yusoff Ag. Lah merayu agar mahkamah memberikan hukuman ringan kerana anak guamnya tidak tahu identiti pentadbir kumpulan aplikasi Telegram itu.
Anggota kumpulan yang dikenali sebagai Gagak Hitam diketuai oleh Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, seorang pejuang IS yang berpangkalan di Syria, yang terbunuh di negara itu, tiga bulan lepas.
Bagi pertuduhan pertama, Rosmizan didakwa menyokong pergerakan keganasan dalam aplikasi Telegram dari sebuah rumah di Subang sekitar jam 12.33 pagi pada 30 Mac 2016.
Hakim menjatuhkan hukuman penjara enam tahun di bawah Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan bagi pertuduhan tersebut.
Tertuduh juga mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 34 gambar dan dua video berkaitan IS di dalam telefon bimbit miliknya di tempat letak kereta berhampiran pasaraya Da’Men, Persiaran Subang Permai sekitar jam 1.30 tengahari pada 15 Julai tahun yang sama.
Bagi pertuduhan itu, Hakim Mohd Sofian menjatuhkan hukuman dua tahun penjara di bawah Seksyen 130JB(1)(a) kanun yang sama.
Rozaimin diarahkan menjalankan hukuman tersebut serentak bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 15 Julai tahun lepas.
Taat setia kepada Gagak Hitam
Sementara itu, di mahkamah yang lain, pekerja kilang Wan Mohamad Nur Firdaus mengaku bersalah terhadap tuduhan berikrar taat setia melalui aplikasi kumpulan yang sama di sebuah rumah di Shah Alam sekitar jam 7.32 pagi pada 30 Mac tahun lepas.
Wan Mohamad juga dituduh memiliki 23 gambar berkaitan IS di dalam telefon bimbitnya di tempat yang sama pada 25 September tahun lepas.
Hakim Ab Karim Ab Rahim telah menjatuhkan hukuman lapan tahun penjara bagi pertuduhan pertama dan lima tahun penjara bagi pertuduhan kedua.
Kedua-dua hukuman tersebut diarahkan supaya berjalan serentak bermula dari tarikh Wan Mohamad ditangkap, iaitu 25 September tahun lalu.
Angkat sumpah seminit
Ramai dikalangan anggota baru yang direkrut di Malaysia mempercepatkan upacara angkat sumpah untuk menyertai kumpulan militan IS melalui aplikasi Telegram, kata Ketua Anti-Keganasan Polis DiRaja Malaysia [PDRM] kepada BeritaBenar dalam satu laporan eksklusif pada Februari.
Sumpah kesetiaan dikenali sebagai "Bai'ah", dalam Bahasa Arab bermaksud "kesetiaan" - hanya mengambil masa kira-kira seminit melalui aplikasi seperti Telegram, dan ini membolehkan IS meningkatkan jumlah anggota barunya dengan lebih cepat kerana mereka tidak perlu lagi mengangkat sumpah secara tradisional di hadapan seorang pemimpin IS, kata Ayob Khan Mydin Pitchay.
Penyiasat mendakwa akaun kumpulan Telegram yang dikenali sebagai Gagak Hitam yang digunakan oleh sel militan tempatan disertai sekurang-kurangnya 66 anggota, menurut siasatan.
Kumpulan Gagak Hitam itu diketuai oleh Muhammad Wanndy yang juga merancang serangan bom yang mencederakan lapan pelanggan di kelab malam yang terletak di Puchong, berhampiran Kuala Lumpur tahun lepas.
Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia memberkas 310 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, dan daripada jumlah itu, seramai 66 anggota telah dibebaskan, demikian menurut statistik kerajaan yang diperolehi BeritaBenar.
Selain itu, sejumlah 31 anggota militan rakyat Malaysia telah terbunuh ketika berjuang bagi pihak IS di Syria dan Iraq manakala 56 lagi dipercayai masih bertempur di negara terbabit, kata Ayob Khan.