Malaysia Luaskan Kuasa Majlis Keselamatan Negara Yang Kini Berkuatkuasa

Staf BeritaBenar
2016.08.01
Washington DC
160801-my-mkn Perdana Menteri Malaysia Najib Razak menawarkan doa semasa Sambutan Hari Pahlawan di Putrajaya, di luar Kuala Lumpur, 31 Julai, 2016.
AFP

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak memperkuatkan kedudukannya pada Isnin apabila undang-undang baru, yang memperluaskan jangkauan kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang dipengerusikan beliau, mula berkuatkuasa.

Di bawah Akta MKN, Perdana Menteri yang dilanda masalah itu, diberi kuasa untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan keselamatan selama enam bulan, tertakluk kepada pembaharuan. MKN kemudian boleh memerintahkan penempatan mana-mana pasukan keselamatan atau kakitangan kerajaan di kawasan berkenaan.

Undang-undang itu juga memberi kuasa kepada MKN untuk menahan, mencari maklumat dan menangkap individu, dan juga untuk masuk, dan juga menggeledah mana-mana premis dan merampas harta tanpa waran, kata pakar undang-undang.

“Ada sebab yang munasabah untuk kita berasa takut bahawa akta itu akan satu lagi alat kerajaan untuk melumpuhkan protes aman demi keselamatan negara," kata Josef Benedict, Timbalan Pengarah Asia Tenggara dan Pasifik bagi Amnesty International, dalam satu kenyataan pada Isnin.

"Kerajaan Najib semakin cenderung kepada undang-undang baru yang menindas, yang dikatakan untuk melindungi keselamatan negara tetapi amalan itu sebaliknya boleh membahayakan hak asasi manusia."

Majlis Keselamatan Negara Malaysia itu terdiri daripada Perdana Menteri, yang mempengerusikan majlis itu, Timbalannya, yang berkhidmat sebagai naib pengerusinya, Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara dan Ketua Setiausaha Negara.

Najib dan pegawai tertinggi lain telah berhujah bahawa langkah itu adalah perlu kerana ancaman yang ditimbulkan oleh kumpulan pengganas Negara Islam (IS) dan kumpulan pengganas transnasional.

"Saya memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan akan terus mengambil segala langkah yang diperlukan untuk melindungi anda. Daesh (nama lain bagi IS) yang kejam dengan ideologi sesat, tidak ada tempat dalam Islam, tidak juga di negara yang aman, dengan masyarakat majmuk, dan bertolak ansur, "kata Najib dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web beliau minggu lepas.

"Sekarang adalah masa untuk kita bersatu dan memainkan peranan yang lebih besar bersama-sama masyarakat dunia dalam usaha memerangi keganasan."

Sejak tahun lepas, pihak berkuasa Malaysia telah menahan berpuluh-puluh individu yang disyaki menjadi ahli IS, dan telah memberi amaran bahawa mereka yang kembali daripada pertempuran dengan IS di Syria atau Iraq boleh melancarkan serangan di tanah air sendiri.

Polis percaya IS di belakang serangan bom yang mencederakan beberapa orang di kelab malam di pinggir Kuala Lumpur bulan lepas.

Sangat luar biasa

Diluluskan oleh Parlimen Malaysia tanpa sebarang pindaan pada Disember lepas, akta MKN itu juga tidak mendapat pekenan Majlis Raja-Raja Melayu – iaitu sebuah majlis yang dianggotai oleh Sultan, Raja dan Gabenor, yang biasanya memberikan perkenan diraja terhadap sesuatu Rang Undang-undang yang dibawa ke majlis itu 30 hari selepas ia dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ini adalah sesuatu yang sangat luar biasa, menurut peguam kebebasan sivil Syahredzan Johan.

"Saya sendiri tidak tahu mengapa Majlis Raja-Raja Melayu meminta Undang-undang itu disemak semula, tetapi undang-undang ini akan membolehkan kerajaan untuk memintas Yang di-Pertuan Agong sama sekali,"  dalam mengisytiharkan keadaan kecemasan, kata Syahredzan kepada BeritaBenar.

Najib berhadapan dengan gesaan untuk meletak jawatan sejak setahun lalu berhubung skandal berterusan yang melibatkan lebih daripada AS$1 bilion dalam bentuk dana dicuri dari syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berada dibawah penyeliaannya.

Pada tahun lepas, kerajaan telah menyekat laman web organisasi berita tempatan yang melaporkan mengenai skandal 1MDB serta laman web milik kumpulan-kumpulan tempatan yang menganjur demonstrasi jalanan besar-besaran di mana mereka mendesak Najib meletakkan jawatan.

Laurent Meilan, pemangku wakil kawasan Asia Tenggara Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (OHCHR) yang berpejabat di Bangkok, melahirkan kebimbangan terhadap penguatkuasaan undang-undang baru itu yang boleh menghakis hak asasi manusia dan menyekat kebebasan bersuara dan berhimpun.

"Kami amat bimbang bahawa peruntukan berkenaan dengan imuniti dalam undang-undang itu ada potensi untuk menggalakkan pencabulan terhadap hak asasi manusia,” kata beliau dalam satu kenyataan akhbar pada Jumaat lepas.

“Kami menggesa kerajaan Malaysia supaya menyemak semula undang-undang berkenaan supaya ia selari dengan standard hak asasi manusia antarabangsa. Kami juga menggalakkan kerajaan membenarkan proses perundingan terbuka dan telus mengenai peruntukan dalam akta itu dengan semua pihak yang berkepentingan dan berkaitan.”



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.