Anggota Militan Dikatakan Terbunuh Kembali Dalam Senarai Paling Dikehendaki

Zam Yusa
2019.01.07
Kota Kinabalu, Malaysia
190107-MY-PH-abu-sayyaf-620.jpg Jurucakap Angkatan Tentera Filipina Kolonel Restituto Padilla sedang menonton video yang menunjukkan dua rakyat Kanada yang diculik kumpulan militan Abu Sayyaf dari sebuah resort sebelum kepala mereka dipenggal oleh kumpulan militan berkenaan, 14 Okt 2015.
[AP]

Seorang pemimpin Abu Sayyaf yang dipercayai memenggal kepala dua rakyat Kanada di selatan Filipina pada 2016 kembali dalam senarai penjenayah dikehendaki di Malaysia setahun selepas pihak berkuasa mengeluarkan namanya apabila terdapat laporan bahawa dia telah terbunuh.

Dalam senarai yang dikeluarkan pada hujung minggu, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menamakan anggota Abu Sayyaf Ben Tatoh Quirino bersama 17 lagi rakyat Filipina lain yang mempunyai kaitan dengan jenayah rentas sempadan seperti penculikan maritim dan penculikan. ESSCOM pernah menyenaraikan Tatoh dalam rekod 2017 agensi keselamatan Malaysia itu.

"Ben Tatoh dan beberapa orang lagi dalam senarai 2019 pernah berada dalam rekod kami sebelum ini, tetapi pada tahun 2018, nama mereka dikeluarkan selepas kami percaya bahawa mereka telah terbunuh," kata Komander ESSCOM Hazani Ghazali kepada BeritaBenar. Terkini  apabila kami menerima pengesahan daripada rakan sejawat dari Filipina bahawa mereka masih hidup, jadi kami menyenaraikan nama mereka semula dalam senarai terbaru. "

Pada Disember, kumpulan penyelidikan Kanada iBRABO menyatakan Tatoh masih hidup selepas imejnya muncul di media sosial. Lelaki yang menjadi buruan itu sebelum ini telah menyembunyikan diri lebih dua tahun selepas dipercayai memenggal kepala pelancong Kanada John Ridsdel dan Robert Hall.

Penganalisis kanan iBRABO, Jeff Weyers berkata siasatan pihaknya mendapati Tatoh masih bersembunyi dan sering dilihat menggunakan laman sosial Facebook, termasuk semasa dia cuba menayangkan gambarnya memakai pakaian seragam Anti-Pemberontakan Polis Nasional Filipina (PNP).

"Melihat dia dan hampir kesemua anggota sel Abu Sayyafnya muncul di laman sosial Facebook amat menyebalkan. Tetapi kami juga menyedari bahawa ini merupakan satu peluang yang amat besar untuk mengumpul maklumat sumber terbuka sebanyak mungkin,"kata Weyers dalam satu laporan yang disiarkan di laman sesawang iBRABO.

Pegawai PNP berkata gambar itu tidak sahih.

"Tidak, dia tidak pernah menjadi ahli PNP. Kami tidak mempunyai nama dalam pangkalan data kakitangan kami - bekas, aktif atau AWOL, " kata jurucakap PNP Benigno Durana Jr kepada BeritaBenar.

Durana tidak menjawab soalan sama ada militan itu boleh disenaraikan dalam pangkalan data di bawah nama yang berbeza.

"ASG terus diburu oleh pihak berkuasa kerajaan," kata Durana, menggunakan akronim bagi Kumpulan Abu Sayyaf ketika ditanya apakah pihak berkuasa sedang memburu Ben Tatoh.

Weyers memberitahu BeritaBenar bahawa imej Ben Tatoh muncul di laman Facebook pada  Oktober 2018 dan kemas kini telah dimuatkan baru-baru ini iaitu pada November lalu sebelum profil itu diturunkan kerana dia didapati beraksi bersama kumpulan pengganas Negara Islam (IS).

"Sejak itu, profil Facebooknya yang dipercayai menggunakan nama samaran lain, seperti Bhen Tatuh, telah muncul," kata Weyers.

Senarai gambar 18 penjenayah paling dikehendaki 2019 yang dikeluarkan oleh Komander Keselamatan Timur Sabah, 7 Jan 2019. (Ihsan Esscomm)

Senarai 2019

ESSCOM menambah enam nama baharu dalam senarai penjenayah dikehendaki. Mereka ialah Salip Mura Kayawan, Sibih Pisih, Titing Alihasan (juga dikenali sebagai Iyot Panday), Roger Saji, Long Sahirin dan Jul Aksan Abdurajan (dikenali sebagai Halimaw).

"Selepas siasatan terbaru kami dan juga pengesahan daripada pasukan keselamatan Filipina, individu terbaru yang disenaraikan adalah kerana mereka dipercayai telah merancang beberapa jenayah rentas sempadan serta masih aktif dan bersembunyi,” kata Hazani dalam satu kenyataan.

Media Malaysia melaporkan bahawa Salip dilihat pada 21 Dis di Pulau Sibutu Tawi Tawi di Filipina, yang terletak berhampiran sempadan laut di daerah Semporna dan Lahad Datu, Sabah.

Sebelas nama lain telahpun tersenarai dalam rekod terdahulu.

Mereka ialah Hatib Hajan (juga dikenali sebagai Sawadjaan), Apo Mike (Majan Sahidjuan), Indang Susukan (Abu Jihad), Al Munjir Yadah, Raden Abuh, Marajan (Manajan Asiri), Sangbas (dikenali sebagai Anjang), Hamsan Pakkan (Black Cobra), Sabri Madrasul (Salip Jul), Jul (Jun Hasan) dan Tampi (Bunju).

Media Malaysia melaporkan bahawa Al Munjir telah dilihat bersama Salip. Hatib Hajan pula adalah seorang lagi komander Abu Sayyaf dan antara anggota kumpulannya termasuk Al Munjir.

Dua nama dalam senarai 2018, pengganas dari Malaysia Mahmud Ahmad dan Amin Baco telah dikeluarkan selepas pihak berkuasa keselamatan negara itu menegaskan bahawa mereka terbunuh dalam pertempuran selama lima bulan di bandar Marawi, Filipina.

"Kami tahu terdapat laporan bahawa kedua-duanya telah terbunuh tetapi kami belum menerima pengesahan rasmi kematian mereka melalui ujian DNA," kata Hazani kepada BeritaBenar sambil menambah "Kami telah menyenaraikan mereka dalam senarai paling dikehendaki pada 2018 kerana tiada pengesahan, tetapi untuk senarai terkini, kami telah mengeluarkan nama mereka."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.