Anwar Mengadap Agong, Persembah Dokumen Sokongan Bentuk Kerajaan

Hadi Azmi
2020.10.13
Kuala Lumpur, Malaysia
201013-MY-Anwar1000.jpg Pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim mengangkat tangan kepada media semasa meninggalkan Istana Negara selepas bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong di Kuala Lumpur, 13 September, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

KEMASKINI pada 7.30 petang waktu tempatan ETS - 2020-10-13

Dalam usaha terbaru untuk menjadi perdana menteri, pemimpin pembangkang Malaysia Anwar Ibrahim pada Selasa berkata beliau telah mempersembahkan dokumen yang menunjukkan sokongan majoriti ahli parlimen terhadapnya kepada Yang di-Pertuan Agong namun kenyataan Istana Negara bahawa Anwar tidak menyatakan identiti ahli parlimen terbabit menimbulkan keraguan terhadap dakwaan itu.

Sementara itu, ketidakpastian politik semakin meruncing apabila UMNO, parti utama yang menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, pada lewat Selasa mengumumkan bahawa parti Melayu itu sedang menimbangkan untuk menarik diri daripada pakatan pemerintah diterajui pemimpin tersebut, yang boleh menyebabkan pentadbiran negara ketika ini tumbang.

“UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional [PN] dan akan memberikan syarat baharu kepada kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik, secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin,” kata Ahmad Maslan, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu tidak menyebut sama ada UMNO kini mempertimbang kerjasama dengan Anwar, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun memberi alasan bahawa kestabilan politik adalah antara faktor yang memungkinkan parti itu menarik diri.

“UMNO berpandangan bahawa kestabilan politik sangat penting dan pertumbuhan ekonomi mesti ditingkatkan. Sebarang keputusan yang UMNO lakukan adalah untuk manfaat rakyat, agama, bangsa dan negara,” kata Ahmah Maslan merujuk kepada situasi ekonomi negara yang sedang dilanda kelembapan akibat pandemik koronavirus.

Pada sidang media selepas pulang dari Istana Negara, Anwar berkata dokumen yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah jelas menunjukkan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti dalam kalangan Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata lebih 120 daripada 222 Ahli Parlimen di Malaysia menyokong usahanya untuk menjatuhkan pemerintahan selama tujuh bulan Muhyiddin, perdana menteri yang tidak dipilih melalui pilihan raya itu.

"Dokumen ini sangat jelas bahawa kami telah mendapat majoriti yang kukuh serta meyakinkan dalam kalangan Ahli Parlimen,” kata Anwar.

“Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah kehilangan majoriti dan oleh itu adalah wajar baginya untuk mengundurkan diri," kata Anwar pada sidang media Selasa setelah pertemuan dengan Agong.

Bagaimanapun, Anwar tidak mengedarkan atau menunjukkan salinan dokumen yang didakwanya telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bulan lepas, semasa pemimpin pembangkang itu mengumumkan bahawa beliau telah memperoleh sokongan ahli parlimen yang besar untuk membentuk kerajaan baharu, beliau enggan menyatakan jumlah mereka yang menyokongnya.

Anwar: "Beri Agong masa satu atau dua hari"

Blok pemerintah pimpinan Muhyiddin bertahan dengan majoriti kecil di Parlimen namun gabungan Perikatan Nasional pimpinan beliau telah menerima sokongan moral apabila menang tipis pada pilihan raya negeri Sabah bulan lalu.

PKR dan sekutu lamanya, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP), memiliki 91 kerusi di parlimen yang sekali gus bermaksud Ketua Pembangkang itu hanya kekurangan 21 kerusi untuk mendapat sokongan majoriti.

Mengikut Perlembagaan Malaysia, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak untuk melantik perdana menteri baharu jika baginda yakin bahawa individu itu mempunyai majoriti di parlimen, atau baginda boleh membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya atas nasihat perdana menteri.

Pada Selasa juga, Anwar meminta rakyat Malaysia supaya bersabar dan memberi masa kepada Yang di-Pertuan Agong selama beberapa hari untuk meneliti dokumen tersebut.

“Beri Yang di-Pertuan Agong satu atau dua hari untuk memeriksa dokumen-dokumen tersebut dan untuk mendapat maklum balas daripada pemimpin parti politik lain mengenai hal ini,” kata Anwar.

Istana Negara, dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, mengesahkan pertemuan antara Yang di-Pertuan Agong dan Anwar pada sebelah pagi selepas pertemuan yang dijadualkan pada 22 Sept terpaksa ditunda kerana baginda gering.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan jumlah Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau. Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan itu.

Istana Negara bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada Yang di-Pertuan Agong akan mengambil langkah selanjutnya seperti bertemu dengan pemimpin parti lain, untuk mengesahkan dakwaan Anwar itu.

'Tipu helah'

Menjelang pilihan raya negeri Sabah bulan lepas, Muhyiddin dengan tegas menyatakan bahawa jika gabungan tempatan yang bersekutu dengan blok pemerintah pimpinannya memperoleh keputusan memuaskan semasa pengundian, beliau akan ‘segera’ mengadakan pilihan raya umum dengan harapan mendapat keputusan memberangsangkan yang akan mengesahkan kepemimpinannya.

Pilihan raya negeri Sabah dilihat sebagai referendum pemerintahan Muhyiddin. Kemenangan itu "merampas keyakinan Anwar," kata Oh Ei Sun, seorang felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, kepada Associated Press bulan lalu selepas pilihan raya itu berakhir.

Bagaimanapun pada Selasa, Muhyiddin berkata beliau menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskan dakwaan Anwar itu.

"Saya tidak mahu mengulas apa yang dilakukan Anwar di Istana. Saya menyerahkannya kepada pertimbangan terbaik oleh Agong, yang merupakan orang yang paling layak,” kata perdana menteri pada sidang media.

Bagaimanapun Bersatu, parti pimpinan Muhyiddin, berkata Anwar sepatutnya bersara daripada politik jika usaha beliau untuk membentuk kerajaan menemui kegagalan.

"Ini bukan kali pertama Anwar cuba mengancam kestabilan pemerintah dengan menggunakan tipu helah yang sama," kata Wan Saiful Wan Jan, ketua jurucakap Bersatu.

"Jika ini adalah strategi terdesak yang ingin beliau gunakan, saya sarankan beliau bersara daripada politik negara dan biarkan tokoh lain mengambil alih kepemimpinan pembangkang sehingga pembangkang negara boleh menjadi pihak yang konstruktif."

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang meletakkan jawatan secara mengejut pada Februari sehingga menyebabkan berlakunya krisis politik dan membawa kepada perlantikan Muhyiddin, dalam klip video berdurasi seminit pada Selasa menafikan bahawa beliau menyokong seseorang dalam usaha mereka untuk menjadi pemerintah.

Walaupun beliau tidak menyebut nama Anwar dalam kenyataan itu, sumber dalam partinya berkata bekas PM tersebit merujuk kepada Anwar.

“Tuan-tuan dan puan-puan, saya diberitahu bahawa kononnya saya menyokong seseorang daripada calon yang ingin menjadi perdana menteri. Saya ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah memberi sokongan kepada sesiapapun sebagai calon untuk menjadi perdana menteri,” kata Mahathir.

"Parti baharu saya, Pejuang, adalah parti bebas, tidak ada kaitan dengan mana-mana parti atau individu yang mempunyai cita-cita mendapat sesuatu jawatan [dalam kerajaan]. Saya harap tidak ada lagi percubaan yang mengatakan saya telah menyokong si polan dan si polan. Tidak ada sokongan," katanya.

Menjelang pilihan raya umum bersejarah pada 2018, Mahathir dan Anwar - yang meringkuk dalam penjara ketika itu – mencapai kata sepakat yang menyaksikan Mahathir bersetuju menyerahkan kuasa kepada Anwar dalam tempoh dua tahun. Bagaimanapun, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan yang berkuasa pada 2018 tumbang pada Februari lalu susulan berlaku pertikaian mengenai isu pengganti Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Walaupun Yang di-Pertuan Agong tidak memberi perkenan kepada Anwar untuk membentuk kerajaan, Muhyiddin akan tetap berada di bawah tekanan terutama semasa sesi Belanjawan Negara tidak lama lagi kerana beliau mempunyai majoriti tipis di Parlimen, kata ahli sains politik Wong Chin Huat kepada BeritaBenar.

"Dari 9 Nov hingga 10 Dis, iaitu sepanjang tempoh lima minggu belanjawan itu dibahaskan, terdapat banyak masa yang mungkin menyaksikan belanjawan itu sama ada ditolak sebahagian atau sepenuhnya," kata Wong.

"Jika semua 109 ahli parlimen pembangkang menentang belanjawan itu dan sekurang-kurangnya 5 ahli parlimen pemerintah tidak hadir atas alasan apa pun, belanjawan tersebut tidak akan dapat diluluskan dan implikasinya adalah sama seperti Muhyiddin tewas kepada undi tidak percaya."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.