Agong Tolak Cadangan Perdana Menteri Isytihar Darurat di Malaysia

Hadi Azmi & Muzliza Mustafa
2020.10.25
Kuala Lumpur, Malaysia
201025-MY-king-car-1000.jpg Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah melambai kepada media semasa baginda tiba di pintu gerbang ke Istana Negara menjelang pertemuan bersama Raja-Raja Melayu, di Kuala Lumpur 25 Oktober 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

KEMASKINI pada 2.30 petang waktu tempatan ETS - 2020-10-25

Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada Ahad menolak permohonan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mendapatkan perkenan Seri Paduka bagi mengisytiharkan darurat di seluruh negara di tengah-tengah gelombang baru jangkitan COVID-19, selepas Seri Paduka mengadakan pertemuan dengan Raja-Raja Melayu untuk membincangkan perkara tersebut, kata Istana Negara.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah menolak permohonan Perdana Menteri untuk mendapatkan perkenan Seri Paduka bagi mengisytiharkan darurat itu, yang berkemungkinan menjadi yang pertama di negara itu sejak 51 tahun lalu, dan boleh menyebabkan penggantungan Parlimen dan menambah lagi kuasa eksekutif kerajaan.

Langkah untuk mengisytiharkan darurat tidak diperlukan walaupun berlakunya krisis kesihatan umum yang berpunca daripada peningkatan penularan jangkitan pandemik itu serta menyebabkan masalah ekonomi, demikian titah Yang di-Pertuan Agong dalam kenyataan Istana Negara itu.

“Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia,” menurut kenyataan itu yang memetik titah Yang di-Pertuan Agong.

“Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik, mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam membantu Kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung wabak COVID19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara yang kita cintai bersama ini,” menurut kenyataan itu.

Pegawai istana mengeluarkan kenyataan itu sejurus selepas Yang di-Pertuan Agong mengadakan pertemuan khas selama tiga jam pada Ahad petang dengan tujuh sultan yang menganggotai Majlis Raja-Raja. Badan yang merangkumi sultan dan Yang Dipertua Negeri mewakili 13 negeri dalam Malaysia itu juga memilih Yang di-Pertuan Agong secara giliran setiap lima tahun.

Yang di-Pertuan Agong mengadakan perbincangan khas dengan Raja-raja Melayu berkenaan di Istana Negara, Kuala Lumpur, dua hari selepas Seri Paduka menerima menghadap Muhyiddin bagi mempersembahkan permohonannya untuk mendapat perkenan bagi pengisytiharan darurat mengikut Perkara 150 (1) Perlembagaan Malaysia.

Muhyiddin menghadap Seri Paduka pada Jumaat petang di istana Seri Paduka di negeri Pahang selepas beliau mempengerusikan mesyuarat khas Jemaah Menteri untuk membincangkan rancangannya memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat, menurut laporan media.

Kenyataan Istana Negara pada Ahad menyatakan bahawa Muhyiddin telah memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan darurat bagi "memerangi ancaman wabak COVID-19 di negara itu."

“Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu serta melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan,” kata kenyataan itu.

Kerajaan yang diterajui Muhyiddin, perdana menteri yang tidak dipilih tetapi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang berikutan pertelingkahan dalaman lapan bulan lalu, bergantung kepada majoriti tipis Parlimen tatkala ia berdepan dengan gelombang baru kes jangkitan koronavirus, kemerosotan ekonomi berikutan pandemik itu dan kegoyahan politik dalam kerajaan gabungannya selain cabaran rebutan kuasa oleh pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim.

"Meskipun begitu, Seri Paduka ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politicking’ (mainan politik) yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara," menurut kenyataan istana pada Ahad. "Al-Sultan Abdullah berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.”

Media pada Jumaat melaporkan Muhyiddin mengadakan mesyuarat khas Jemaah Menteri dan menghadap Yang di-Pertuan Agong sebagai antara langkah beliau dalam mendapatkan perisytiharan darurat beliau berisiko kehilangan undi Parlimen  bagi pembentangan Belanjawan 2021 yang akan dibahaskan awal bulan November ini.

Kegagalan rancangan belanjawannya itu akan dianggap sebagai undi tidak percaya terhadap Muhyiddin yang, sebaliknya, boleh mengadakan pilihan raya mengejut, menurut laporan agensi berita Reuters

“Seri Paduka menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang adalah amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara,” menurut kenyataan Istana Negara itu. “Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.”

201030-MY-King.jpg

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah (tengah) berkenan memberi tabik hormat semasa istiadat pembukaan penggal ketiga sesi ke-14 Parlimen di Kuala Lumpur, 18 Mei 2020. [AP]

Kenyataan Muhyiddin

Lewat Ahad malam, selepas bertemu dengan sekurang-kurangnya dua anggota jemaah menterinya di kediaman beliau di Kuala Lumpur, Muhyiddin mengeluarkan kenyataan di laman Facebook rasminya.

“Jemaah menteri mengambil maklum kenyataan Istana Negara mengenai pendapat Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian di Malaysia,” kata Muhyiddin, yang menjelaskan bahawa keutamaan kerajaannya pada masa ini ialah untuk melindungi rakyat daripada pandemik itu.

"Saya menjunjung kasih di atas kepercayaan Seri Paduka Baginda kepada kerajaan pimpinan saya dan menyambut baik nasihat supaya kestabilan kerajaan tidak diganggu-gugat," katanya.

Kerajaan yang diterajui Muhyiddin, perdana menteri yang tidak dipilih tetapi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang berikutan pertelingkahan dalaman lapan bulan lalu, bergantung kepada majoriti tipis Parlimen.

Selain daripada gelombang baru kes jangkitan koronavirus, kemerosotan ekonomi berikutan pandemik itu, perdana menteri juga berdepan kegoyahan politik dalam kerajaan gabungannya selain cabaran rebutan kuasa oleh pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim, yang mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan yang baru.

Pada petang Ahad, Anwar menyambut baik keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong itu. Keputusan dan ketetapan Yang di-Pertuan Agong dalam menolak usul perdana menteri “jelas memperkukuh sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen” serta memastikan sistem demokrasi Malaysia "tidak tercemar," kata pemimpin pembangkang itu dalam satu kenyataan.

Ahmad Zahid Hamidi, presiden parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti utama dalam gabungan kerajaan Muyhiddin namun mempunyai hubungan goyah dengan perdana menteri, membayangkan bahawa beliau tidak berunding dengan semua pihak dalam gabungan itu sebelum memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk pengisytiharan darurat.

“Ibrah episod ini jelas mendidik kita bahawa dalam melaksanakan sebarang langkah besar memerlukan musyawarah dan penglibatan secara konsensus semua pihak,” kata Zahid.

Azmi Hassan, penganalisis politik di Universiti Teknologi Malaysia, berkata keputusan Yang di-Pertuan Agong adalah satu "tamparan buat  Muhyiddin" tetapi itu adalah lebih baik daripada beberapa alternatif lain.

"Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan itu memandangkan kerajaan masih dapat menangani pandemik itu walaupun tanpa kuasa darurat," kata Azmi kepada BeritaBenar.

Media pada Jumaat melaporkan Muhyiddin mengadakan mesyuarat khas Jemaah Menteri dan menghadap Yang di-Pertuan Agong sebagai antara langkah beliau dalam mendapatkan perisytiharan darurat beliau berisiko kehilangan undi Parlimen bagi pembentangan Belanjawan 2021 yang akan dibahaskan awal bulan November ini.

Kegagalan rancangan belanjawannya itu akan dianggap sebagai undi tidak percaya terhadap Muhyiddin yang, sebaliknya, boleh mengadakan pilihan raya mengejut, menurut laporan agensi berita Reuters

Bagaimanapun, kenyataan Istana Negara pada Ahad menekankan pentingnya membantu rakyat Malaysia menerusi Belanjawan yang akan dibentangkan oleh kerajaan Muhyiddin.

“Seri Paduka menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang adalah amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara,” menurut kenyataan Istana Negara itu.

Azmi berkata walaupun Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan Muhyiddin bagi pengisytiharan darurat, Seri Paduka pada masa sama menunjukkan keyakinan terhadap kepimpinan perdana menteri dalam menangani krisis kesihatan itu sambil menggesa ahli-ahli politik supaya memberi ruang kepada Muhyiddin untuk menerajui negara.

"Seri Paduka… secara khusus mengingatkan Ahli-ahli Parlimen kita supaya tidak menjadikan rang undang-undang belanjawan sebagai alat untuk membawa undi tidak percaya terhadap perdana menteri kerana peruntukan belanjawan adalah berkait rapat dengan usaha kerajaan untuk memerangi virus itu," kata Azmi.

"Sekiranya ada ahli politik yang dilihat tidak mematuhi perintah Yang di-Pertuan Agong, nasib mereka akan ditentukan rakyat yang secara aktif menunjukkan rasa tidak senang terhadap isu darurat. Tanpa ragu lagi, rasa tidak senang itu akan dipamerkan lagi jika ahli parlimen menggunakan pembentangan belanjawan itu sebagai alat bagi membawa undi tidak percaya,” kata penganalisis berkenaan.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.