Agong Sokong Kerajaan Malaysia Gubal Akta Tangani Berita Palsu

Ray Sherman
2018.03.05
Kuala Lumpur
1803055-my-agung1000.jpg Perdana Menteri Najib Razak mempersembahkan teks ucapan diraja kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada istiadat pembukaan persidangan Parlimen di Kuala Lumpur, 5 Mac 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada Isnin menzahirkan sokongan terhadap rancangan kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang bagi mengekang penyebaran berita palsu di media sosial, beberapa bulan sebelum negara itu menghadapi pilihan raya umum yang penting.

Seri Paduka bertitah bahawa semua rakyat Malaysia perlu memainkan peranan mereka dalam mempertahankan budi pekerti dan nilai moral melalui media sosial.

"Dalam hal ini, beta amat menyokong cadangan untuk menggubal undang-undang bagi menangani penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial," titah baginda ketika merasmikan pembukaan Persidangan Parlimen, yang disiarkan secara langsung di televisyen.

Kenyataan Yang di-Pertuan Agong itu dibuat di tengah-tengah pengumuman kerajaan Malaysia bahawa ia telah membentuk sebuah jawatankuasa khas untuk menggubal undang-undang bagi menangani berita palsu, pada sidang Parlimen itu, yang merupakan persidangan terakhir sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) negara diadakan.

Sultan Muhammad V juga menzahirkan kebimbangan terhadap ancaman keamanan dan keselamatan di negara itu.

"Beta menggesa kerajaan untuk terus berjaga-jaga, terutamanya dalam menguatkuasakan keselamatan ruang siber, meningkatkan keupayaan risikan, meningkatkan rondaan sempadan dan perairan, serta memerangi pemerdagangan manusia.

"Beta juga berharap tiada pihak yang menjadikan isu keselamatan negara sebagai bahan sendaan dan mainan politik,” titah Seri Paduka.

Jawatankuasa khas itu terdiri daripada menteri, polis, wakil dari Jabatan Peguam Negara, serta pertubuhan bukan kerajaan dan ahli parlimen. Bagaimanapun, tiada wakil media dalam jawatankuasa itu.

Pengkritik undang-undang yang dicadangkan, termasuk pembangkang, mengatakan bahawa cadangan itu bertujuan menyekat mereka daripada bersuara tentang skandal dan isu yang berkaitan dengan kerajaan pemerintah seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain mengekang kenyataan yang menentang kerajaan menjelang pilihan raya umum itu.

Berita palsu sebenarnya?


Perdana Menteri Najib Razak, yang merupakan presiden parti pemerintah Barisan Nasional (BN) berkata, undang-undang itu perlu digubal kerana berita palsu boleh mempengaruhi rakyat untuk membenci Kerajaan.

"Kami tidak mahu berita palsu disebarkan. Ini bukanlah bermaksud kami mahu mengawal internet tetapi kebebasan juga perlu ada unsur tanggungjawab,” kata Najib pada 28 Jan.

Pemimpin pembangkang, Mahathir Mohamad, membantah langkah itu dengan berkata, kerajaan sebenarnya mahu mengekang berita-berita yang mengkritik seperti tentang 1MDB.

"Undang-undang baru ini baik jika ia hanya digunakan untuk berita palsu yang sebenarnya."

"Kita perlu memisahkan apa yang benar dan apa itu berita palsu. Jangan gunakan undang-undang ini untuk menutup kebenaran," kata pengerusi Pakatan Harapan itu yang juga calon perdana menteri, dalam satu siaran video di laman Facebook pada 6 Feb.

Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang pula berkata, kerajaan dan gabungan parti BN adalah punca utama maklumat palsu di negara ini.

"Ia seperti meminta pencuri untuk menangkap pencuri," katanya dalam satu kenyataan pada 4 Feb.

Gabungan parti pemerintah Malaysia telah menyatakan bahawa banyak berita palsu disiarkan pada pilihan raya 2013 dalam usaha untuk menjatuhkan pemerintahan BN.

"Adakah membawa masuk 40,000 rakyat Bangladesh ke Malaysia bukan berita palsu? Apakah itu suatu kebenaran yang kita mahu tonjolkan lagi?" kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid pada bulan lalu, dengan merujuk dakwaan tular oleh pembangkang bahawa ramai rakyat Bangladesh mengundi BN pada pilihan raya umum yang lalu.

Ombudsman media

Di tengah-tengah langkah untuk memperkenalkan undang-undang baru itu, sebuah kumpulan yang mewakili persatuan media Malaysia, baru-baru ini mengumumkan bahawa ia sudah mula berusaha untuk menubuhkan ombudsman bagi mengawal selia media.

Pengerusi Jawatankuasa Kebebasan Media Malaysia (MFC Malaysia) Persatuan Akhbar dan Penerbit Berita Dunia (Wan-IFRA), Ram Anand, memberitahu BeritaBenar bahawa mempunyai undang-undang membendung berita palsu akan menjejaskan kredibiliti wartawan dan organisasi mereka, dengan cara menyaring ‘bising’ dan membezakan berita sebenar dari yang lain.

Bagaimanapun, kebimbangan yang lebih besar dalam konteks Malaysia, adalah  sama ada undang-undang sedemikian akan digunakan terhadap organisasi berita dan media, katanya.

"Taktik penyebar propaganda yang menyebarkan berita palsu juga sengaja merosakkan persepsi orang ramai terhadap media, yang hanya melakukan tugasnya. Ini juga harus diambil kira dalam menetapkan garis antara media dan penyebar berita palsu," katanya.

Menurutnya, Malaysia sudah mempunyai banyak undang-undang untuk membanteras berita palsu seperti Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan sebahagian daripada Kanun Keseksaan.

Ram berkata, kerajaan perlu memasukkan pihak berkepentingan yang relevan, dan dalam hubungan ini - wakil media, dalam jawatankuasa undang-undang berita palsu bagi membincangkan perkara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal undang-undang, Azalina Othman, berkata, undang-undang baru itu akan dibentangkan kepada kabinet tidak lama lagi.

"Dalam masa beberapa minggu, kami akan mengemukakan draf itu kepada Kabinet untuk dimuktamadkan sebelum ia boleh dibentangkan di Parlimen," katanya pada Isnin sambil menambah kata bahawa beberapa faktor akan dipertimbangkan sebelum undang-undang itu boleh dibentangkan di Parlimen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.