Yang di-Pertuan Agong Temui Anggota Parlimen Sebelum Namakan PM Seterusnya

Nisha David, Hadi Azmi & Noah Lee
2020.02.25
Kuala Lumpur, Malaysia
200225-MY-Agong1000.jpg Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengagihkan makanan kepada pengamal media yang menunggu di luar pintu Istana Negara pada kira-kira jam 1 tengah hari, Kuala Lumpur, 25 Feb 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

KEMASKINI pada 4.45 petang waktu tempatan ETS - 2020-02-25

Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada Selasa bertitah bahawa baginda telah memanggil menghadap setiap Ahli Parlimen dalam usaha memilih perdana menteri yang berikutnya bagi negara itu, dengan pelbagai petanda menunjukkan Mahathir Mohamad mungkin kembali mengisi kekosongan jawatan tertinggi kerajaan itu selepas meletak jawatan semalam.

Tetapi, parti-parti pembangkang dan kumpulan aktivis terkemuka menggesa Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen bagi membuka laluan kepada pilihan raya umum, setelah menolak kemungkinan menubuhkan "kerajaan perpaduan" selepas Mahathir mengumumkan bahawa beliau mengadakan pertemuan dengan pemimpin semua parti politik utama.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah berkenan tampil di hadapan pintu Istana Negara di Kuala Lumpur untuk menyerahkan makanan segera kepada para wartawan yang menunggu sambil bertitah meminta mereka bersabar dengan proses menemu bual kesemua Ahli Parlimen itu, yang dilakukan buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, dan mungkin berakhir pada Khamis.

"Kita bimbang, ya, saya tahu. Bersabarlah. Pertama sekali, biarlah saya laksanakan tanggungjawab. Saya harap kita akan menemui penyelesaian terbaik untuk negara." kata baginda kepada sekumpulan wartawan.

"Ada sedikit makanan untuk kamu semua," kata Yang di-Pertuan Agong sambil menyerahkan burger, kentang goreng dan minuman dari restaurant makanan segera McDonald.

Sehari sebelum itu, baginda telah menerima peletakan jawatan Mahathir dan kemudiannya melantik pemimpin berusia 94 tahun tersebut sebagai Perdana Menteri sementara.

Terdahulu, dalam satu sidang berita, jurucakap Yang di-Pertuan Agong berkata negara kekal berada dalam keadaan "aman dan terkawal" walaupun berlaku kejutan susulan tindakan Mahathir meletak jawatan perdana menteri selain berlakunya perpecahan dalam gabungan parti pemerintah pada Isnin.

"Perkara 42 dan 43 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang di-Pertuan akan memilih seorang Ahli Parlimen yang pada hemat baginda menerima majoriti tertinggi Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri," kata Ahmad Fadil Shamsuddin kepada wartawan.

“Semua Ahli Parlimen dijemput untuk sesi temu bual dengan Yang di-Pertuan Agong ... tiga minit diperuntukkan bagi setiap sesi," katanya sambil memberitahu seramai 90 Ahli Parlimen akan ditemu bual pada Selasa.

Agensi berita Malaysia, Bernama, mengesahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah menerima menghadap 90 Ahli Parlimen setakat  6 petang.

Dalam keadaan biasa, perdana menteri adalah pemimpin yang perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya 112 daripada 222 Anggota Parlimen Malaysia.

Mahathir dipilih menerajui pentadbiran berdasarkan sokongan gabungan PH - 50 Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat [PKR], 42 dari DAP [Parti Tindakan Demokratik], 26 dari Bersatu [Parti Pribumi Bersatu Malaysia] dan 21 dari pihak parti yang bersekutu dengan gabungan tersebut.

Perdana Menteri, yang menjadi Pengerusi Bersatu telah menghantar surat perletakan jawatannya sebagai Pengerusi Bersatu juga pada Isnin iaitu selepas perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Gabungan pembangkang Barisan Nasional pula mempuyai 39 Anggota Parlimen daripada Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO], 18 daripada Parti Islam Se-Malaysia [PAS] dan 26 daripada beberapa buat parti yang bersekutu dengan BN atau sebagai calon bebas tetapi memberi sokongan kepada BN.

Ahli Parlimen Petra Jaya di negeri Sarawak, Fadillah Yusof, berkata setiap Ahli Parlimen diberi satu borang untuk memilih Perdana Menteri pilihan mereka pada sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong itu.

"Saya menulis nama Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Tiada perbincangan, hanya satu borang untuk memilih siapa yang mahu dijadikan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita ketika beliau beredar keluar dari sesi temu bual itu.

Fadillah adalah ahli parti Pesaka Bumiputera Bersatu [PBB], sebuah parti dari Kepulauan Broneo yang berdalam dalam gabungan BN.

Mahathir Mohamad sedang bekerja di pejabatnya di Putrajaya, sehari selepas beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia, dan kemudiannya dilantik sebagai Perdana Menteri interim oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, 25 Februari, 2020. [Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Kembali seperti biasa

Semasa Yang di-Pertuan Agong bertemu dengan Anggota-anggota Parlimen di Istana Negara, pejabat Perdana Menteri pula mengeluarkan gambar Mahathir, yang dilantik sebagai perdana menteri interim, sedang menjalankan tugas di pejabatnya, dalam satu cubaan untuk menggambarkan keadaan yang stabil di tengah-tengah ketidakpastian.

Ia juga mengeluarkan satu kenyataan yang menyatakan bahawa Mahathir pada Selasa telah mengadakan mesyuarat dengan pemimpin hampir setiap parti politik termasuk parti musuh, UMNO, yang dapat ditumbangkan oleh gabungan parti Pakatan Harapan pada pilihan raya umum 2018 yang mencatatkan sejarah, serta PAS iaitu parti Muslim konservatif di Malaysia.

Berikutan pertemuan itu, pemimpin UMNO dan PAS, yang disertai beberapa lagi wakil dari parti pembangkang, meminta supaya pilihan raya baru diadakan.

“Kita tidak akan menyertai kerajaan perpaduan kerana kami tidak boleh bekerja dengan DAP. Kembalikan mandat kepada rakyat, bubarkan parlimen dan biarlah rakyat yang putuskan," kata Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa kepada pemberita. "Kerajaan perpaduan adalah kepura-puraan."

Kebanyakan keahlian parti DAP adalah kaum etnik Cina dan parti itu menyokong keadilan sosial dan pelbagai kaum.

"Mahathir mengetuai empat parti dan ia runtuh, apa yang akan berlaku jika dia mengetuai gabungan 12 parti," kata Annuar. "Ia tidak adil kepada rakyat dan kita tidak akan menyertai kerajaan perpaduan.

Wee Ka Siong, Anggota Parlimen dari Johor yang mewakili parti Persatuan Cina Malaysia (MCA) juga berkata, kerajaan perpaduan tidak akan berfungsi.

"Demokrasi tanpa pembangkang tidak dapat berkembang," katanya kepada pemberita. "Perlu ada pemeriksaan dan pengimbangan."

Selain itu, antara suara lain yang memihak kepada pembubaran parlimen dan diadakan pilihan raya baru adalah badan bukan kerajaan Bersih 2.0 - yang dikenali sebagai Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil.

Ia mengeluarkan kenyataan yang menyatakan kebimbangan mengenai sama ada Mahathir sedang mempertimbangkan untuk membentuk kerajaan perpaduan di mana, sebagaimana yang dijelaskan oleh Bersih, semua pihak utama akan diwakili.

Jika kerajaan sebegitu, ianya sangat "bertentangan dengan semangat demokrasi," kata Bersih.

"Demokrasi adalah mengenai membenarkan parti politik dengan ideologi yang berbeza untuk bersaing antara satu sama lain terhadap hak dalam mentadbir dan melaksanakan dasar berlandaskan ideologi."

"Kerajaan perpaduan akan bermakna tidak ada pembangkang kepada kerajaan hari ini. Tidak akan ada pihak untuk melakukan pemeriksaan dan pengimbangan yang berkesan, untuk memikul tanggungjawab kerajaan," tambah Bersih.

Defektor sokong Mahathir

Sekumpulan 11 defektor PKR pada Selasa mengulangi sokongan mereka terhadap Mahathir untuk kekal berkuasa sebagai perdana menteri. PKR diketuai oleh Anwar Ibrahim, bersama Mahathir telah mencatat kemenangan bersejarah pada pilihan raya umum Mei 2018 berikutan perjanjian bahawa beliau akan melepaskan jawatan perdana menteri dalam masa dua tahun dan menyerahkan kepimpinan negara kepada Anwar, iaitu sebelum akhir tempoh lima tahun.

Mahathir, yang pernah menjadi presiden UMNO, membuat perjanjian itu dengan Anwar selepas kedua-duanya bersetuju untuk bergabung parti dan menerajui PH menentang gabungan BN.

Anwar pada masa itu masih dipenjarakan bagi persabitan kes liwat dan selepas pilihan raya tersebut beliau telah dibebaskan dari penjara apabila mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Kami mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri untuk sepenuh penggal Parlimen Ke-14. Ini telah kami tegaskan dalam mesyuarat tertutup parti dan secara terbuka,” kata kumpulan itu yang diketuai oleh bekas Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

“Tindakan yang kami ambil adalah berpaksikan aspirasi rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang stabil, perpaduan yang kukuh dan penumpuan kepada usaha untuk memulihkan serta menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan.”

Juga pada Selasa, para pemimpin Pakatan Harapan tanpa disertai wakil daripada Bersatu dan juga Mahathir sebagai Pengerusi telah mengadakan mesyuarat majlis presiden.

Bercakap kepada wartawan selepas tamatnya pertemuan tersebut di luar Ibupejabat PKR di Petaling Jaya, dua pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) berkata tidak perlu untuk diadakan pilihan raya yang baru.

"Tidak, kami tidak membincangkan pilihan raya baru," kata pengarah komunikasi Amanah Khalid Samad mengenai pertemuan itu. "Kenapa kita harus membazirkan wang pada pilihan raya baru apabila kita boleh mendapatkan majoriti yang jelas?"

Majlis Presiden Pakatan juga mencapai persetujuan mengenai siapa yang mahu disokong untuk memerintah negara.

"Kami telah buat keputusan," kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub. "Keputusan itu akan diumumkan esok."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.