Ahli Parlimen Utus Surat Kepada Yang di-Pertuan Agong Mohon PM Berundur
2021.08.10
Kuala Lumpur

Kesemua Ahli Parlimen pembangkang, bersama wakil rakyat Bebas dan 14 dari UMNO yang tidak lagi menyokong kerajaan gabungan Perikatan Nasional telah mengutuskan surat kepada Istana Negara dengan harapan supaya Yang di-Pertuan Agong akan meminta Muhyiddin Yassin melepaskan jawatannya semasa sesi mengadap mingguan Perdana Menteri itu dengan Seri Paduka pada Rabu.
Surat yang diutuskan kepada Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada minggu ini dikatakan mengandungi tandatangan kesemua 105 wakil rakyat dari pembangkang dan dua lagi Ahli Parlimen Bebas yang secara terangan menyatakan mereka tidak menyokong kepimpinan Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang juga Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat Fahmi Fadzil pada Selasa telah mengesahkan kepada BenarNews mengenai perutusan surat dengan 105 tandatangan Ahli Parlimen pembangkang daripada pelbagai gabungan parti dalam blok tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong.
"Ya, kami telah menghantar surat kepada Tuanku. Jumlah 105 orang Ahli Parlimen (pembangkang) telah menandatanganinya, terdiri daripada 88 Ahli Parlimen Pakatan Harapan, lapan parti Warisan, empat dari Pejuang, serta lima orang lagi dari Parti Sarawak Bersatu, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu serta bebas," kata Fahmi kepada BenarNews semasa dihubungi.
Sehari sebelumnya pula, Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah memuatnaik di laman media sosial Facebook rasminya, salinan surat 14 nama Ahli Parlimen parti itu yang telah bersetuju menarik balik sokongan terhadap Perikatan Nasional kepada Seri Paduka Baginda.
Satu sumber turut mengesahkan kepada BenarNews yang dua Ahli Parlimen Bebas iaitu bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik dan bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengutuskan surat kepada Seri Paduka Baginda menyatakan tidak menyokong kepimpinan Perdana Menteri itu.
Dewan Rakyat ketika ini mempunyai 220 Ahli Parlimen, sekaligus bermakna seseorang Perdana Menteri memerlukan sokongan daripada sekurang-kurangnya 111 Ahli Parlimen untuk kekal berkuasa.
Pada 4 Ogos lepas, Muhyiddin dalam satu perutusan khas mendakwa bahawa dirinya masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen, dengan turut memberitahu yang satu undi percaya terhadap kedudukannya akan dibuat semasa sesi sidang Parlimen pada September depan bagi membuktikan keabsahan kerajaan pimpinan beliau dan Seri Paduka telah memberikan keizinannya.
Perutusan tersebut dibuat sehari selepas Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penarikan sokongan parti itu terhadap kerajaan Perikatan Nasional, dengan mendakwa tindakan menarik balik sokongan menjadikan kerajaan pimpinan Muhyiddin tidak lagi mempunyai keabsahan.
Tentangan hebat
Muhyiddin yang baru-baru ini berjanji untuk membawa usul undi percaya terhadapnya semasa sidang Parlimen pada September bagaimanapun telah mendapat tentangan hebat dari parti-parti politik yang tidak sehaluan dengannya, yang berkata bahawa isu keabsahan kerajaan bukan sesuatu yang patut dilewatkan.
Ahli-ahli Parlimen pembangkang turut mendakwa tindakan tersebut merupakan satu taktik oleh Perdana Menteri untuk membeli masa dalam usahanya menarik lebih banyak sokongan terhadapnya.
Dalam pada itu, beberapa penganalisis politik percaya langkah mengutus surat kepada Al-Sultan Abdullah adalah bertujuan untuk menguji keabsahan Muhyiddin selaku Perdana Menteri supaya dapat dibuat sesegera mungkin tanpa perlu menunggu sehingga September, sekaligus dapat menghalang usaha membeli Ahli-ahli Parlimen untuk menyokong Muhyiddin.
Mohd Azizuddin Mohd Sani, seorang Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata Sultan Abdullah mempunyai pilihan sama ada untuk menyerahkan kepada Parlimen untuk menentukan keabsahan Perdana Menteri, atau berbuat seperti tahun lepas ketika memilih Perdana Menteri selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.
“Semuanya terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong sama ada mahu campurtangan... Selepas pertemuan Baginda dengan Muhyiddin pada 4 Ogos lepas, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan pihak Istana Negara. Jadi sekarang ini UMNO, Pakatan Harapan dan lain-lain parti hendak supaya proses menguji keabsahan itu dipercepatkan.
"Mereka katakan bahawa jelas Muhyiddin tidak mempunyai cukup majoriti, jadi mereka mahu proses undi percaya itu dibuat lebih awal, dan mereka mahu campurtangan dari Istana untuk itu, kalau boleh dalam bulan ini juga.
"Tapi kali ini, nampaknya Yang di-Pertuan Agong mungkin tidak mahu berbuat seperti tahun lepas, dan menyerahkan kepada Parlimen untuk membuat keputusan," kata Mohd Azizuddin kepada BenarNews.
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya turut memberikan pandangan serupa, dan berkata bahawa antara kebimbangan oleh pembangkang adalah kemungkinan berlakunya jual beli Ahli Parlimen sekiranya proses membuktikan keabsahan tidak diselesaikan dengan segera.
"Tindakan Ahli-ahli Parlimen UMNO dan pembangkang menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai isu sokongan mereka kerana mahukan soal keabsahan kuasa Muhyiddin dapat diselesaikan dengan kadar segera.
"Selagi tidak diselesaikan dengan segera, mereka bimbang akan berlakunya ‘horse trading’, pemujukan, tawar menawar yang membawa kepada kebimbangan berlakunya politik wang untuk meraih sokongan. Jika ini berlaku maka Pakatan Harapan atau pembangkang lain tidak mempunyai kelebihan untuk terus bertahan dengan kerusi yang ada," kata beliau kepada BenarNews.
Krisis di antara kerajaan pimpinan Muhyiddin dengan Istana Negara menjadi buruk susulan keengganan Perdana Menteri itu untuk membenarkan usul mengenai Ordinan Darurat dibahaskan semasa Sidang Khas Parlimen yang berlangsung selama lima hari bermula 25 Julai lalu.
Sebelum itu, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan menggesa supaya Parlimen Malaysia dibuka semula bagi membahaskan isu-isu penting negara terutama berkaitan pandemik COVID-19, selepas ia ditangguhkan susulan Proklamasi Darurat pada 11 Januari.
Keengganan membawa usul Ordinan Darurat telah membawa kepada pertikaian secara terbuka, dengan Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan telah mengelirukan Dewan Rakyat apabila ia mengumumkan bahawa ordinan tersebut telah ditamatkan pada 21 Julai dan tidak perlu dibahaskan.
Ketika hubungan antara Putrajaya dan Istana Negara menjadi semakin tegang, sidang khas Parlimen yang sepatutnya berakhir pada 2 Ogos, secara tiba-tiba terpaksa ditangguhkan pada hari keempat apabila pihak berkuasa kesihatan menyatakan terdapat penularan wabak COVID-19, dengan tarikh sambungan sidang khas itu tidak diketahui.
Pada Selasa pula, Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon dilaporkan memberitahu agensi berita kerajaan BERNAMA bahawa jumlah kapasiti individu termasuk Ahli Parlimen yang akan menghadiri sidang yang akan bermula pada 6 September nanti akan diteliti untuk mencegah penularan koronavirus.
Sehingga kini seramai 97 orang yang dikaitkan dengan mesyuarat khas Parlimen pada hujug Julai telah disahkan positif COVID-19 manakala seorang daripada mereka meninggal dunia.