Siasatan 1MDB: Agensi Anti Rasuah Malaysia Tahan Bekas Pegawai Najib Razak

Hadi Azmi
2018.06.25
Kuala Lumpur, Malaysia
180625-MY-1mdb-620.jpg Suspek yang memakai kemeja t berwarna jingga diiringi para pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia semasa di mahkamah di Putrajaya, 25 Jun 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Bekas pembantu bekas Perdana Menteri Najib Razak ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan berhubung skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata pegawai anti rasuah mengenai orang pertama yang ditahan di Malaysia berkaitan dengan siasatan itu.

Dengan diiringi oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Amhari Efendi Nazaruddin, 42, dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi Isnin bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Sumber berkata, dia dipanggil ke ibu pejabat SPRM pada lewat Ahad untuk memberi keterangan dalam penyiasatan wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB, dana pelaburan negara yang ditubuhkan oleh Najib pada 2009.

Dua sumber di SPRM mengesahkan penangkapan dan tahanan reman lelaki itu kepada BeritaBenar, tetapi enggan nama mereka disiarkan.

Amhari pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada perdana menteri dan sejak 2009, bekerja dengan Najib mengenai dasar-dasar ekonomi dan belanjawan tahunan negara, menurut profil yang dimuat naik dalam laman web LinkedIn dan laman web Eisenhower Fellowships, sebuah organisasi Amerika Syarikat yang memberikan biasiswa kepada Amhari pada 2013.

Dia akan ditahan sehingga 1 Julai dan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM kerana menerima rasuah, kata seorang pegawai SPRM.

Sebelum ini, Najib dan isterinya, Rosmah Mansor, hadir di ibu pejabat SPRM untuk disoal siasat berhubung penyiasatan skandal yang berkaitan dengan SRC International, sebuah anak syarikat 1MDB yang menyaksikan RM2.2 bilion (AS$647.1 juta) diselewengkan daripada syarikat itu dan dimasukkan ke dua akaun bank peribadi perdana menteri ketika itu.

Amhari dikenali umum buat pertama kalinya pada April 2017 apabila dia mewakili Malaysia dalam rundingan mengenai pertikaian antara 1MDB dan syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC), bersama-sama dengan Pengerusi 1MDB Mohd Irwan Siregar Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Namanya kembali menjadi tumpuan apabila Rafizi Ramli, naib presiden parti pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR), mendakwa bahawa sebanyak RM2 juta ($498,000) daripada akaun peribadi Najib telah dipindahkan ke akaun sebuah syarikat milik Amhari pada 2014 .

Firma itu, Orb Solutions Sbd Bhd, yang telah didaftarkan sebagai syarikat "penyelesaian pengurusan laman web dan komunikasi strategik", dimiliki bersama oleh Amhari dan bekas eksekutif kanan rangkaian TV satelit Malaysia, Astro.

Najib dan Barisan Nasional telah ditumbangkan dalam pilihan raya umum bulan lalu oleh pakatan pembangkang yang diketuai oleh bekas mentornya, Mahathir Mohamad, yang dalam kempennya banyak memberi tumpuan kepada Najib dan skandal 1MDB.

Sejak itu, kerajaan baru yang diketuai oleh Mahathir telah mengkaji semula projek-projek dan perjanjian-perjanjian yang ditandatangani oleh Najib dan pentadbirannya. Ini telah membawa, antara lain, langkah untuk mengkaji semula perjanjian keretapi berkelajuan tinggi yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura, selain peletakan jawatan beberapa pegawai tinggi kerajaan dan ketua korporat yang berkaitan dengan politik, termasuk bekas ketua hakim dan peguam negara.

Dan pada Khamis, kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa ia terpaksa menyuntik RM2.8 bilion ($697 juta) untuk menyiapkan projek pencakar langit yang dimulakan oleh pentadbiran Najib untuk mengelakkan kerugian lanjut setelah dana yang diperuntukkan bagi pembangunannya didakwa disalahgunakan oleh 1MDB untuk tujuan lain.

Skandal 1MDB telah membawa kepada penyiasatan pengubahan wang haram di Amerika Syarikat dan negara-negara lain.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menggambarkan dakwaan pencurian wang yang dikatakan berbilion ringgit daripada  1MDB itu sebagai "skandal kleptokrasi paling buruk sejak sekian lama."

Najib, yang dilarang meninggalkan negara sejurus selepas tewas pada pilihan raya umum 9 Mei, menafikan beliau melakukan salah laku jenayah berkaitan dengan dana pelabura negara itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.