Remaja Malaysia Lapor Gurauan Lucah Guru Berdepan Siasatan Polis

Guru tersebut, yang tidak pernah dinamakan secara umum, turut memfailkan saman malu dan menuntut ganti rugi RM1 juta daripada gadis itu.
Hadi Azmi & Nisha David
2021.08.05
Kuala Lumpur
Remaja Malaysia Lapor Gurauan Lucah Guru Berdepan Siasatan Polis Ain Husniza Saiful Nizam (duduk) dan bapanya Saiful Nizam Ab Wahab membaca komen dimuatnaik netizen mengenainya di rumah mereka di Puncak Alam, Selangor, Malaysia, 9 Mei 2021.
[Hadi Azmi/BenarNews]

Polis Malaysia telah memanggil remaja yang mendapat liputan meluas berita antarabangsa selepas memuatnaik video TikTok yang mendakwa seorang gurunya membuat gurauan mengenai isu rogol pada April lepas, untuk siasatan, susulan satu laporan polis telah dibuat terhadapnya oleh guru tersebut, demikian kata bapa remaja itu pada Khamis.

Guru itu turut memfailkan saman malu terhadap Ain Husniza Saiful Nizam, 17, atas dakwaan menfitnah dan menuntut RM1 juta (AS$237,000) sebagai ganti rugi, kata bapanya Saiful Nizam Ab Wahab. Walaupun Ain tidak pernah menamakan guru berkenaan kepada umum, dan telah membuat laporan polis terhadap guru terbabit sebelum ini.

Awal Khamis, Shafa'aton Abu Bakar, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh di negeri Selangor, memberitahu BenarNews bahawa Pendakwa Raya yang mengendalikan kes terhadap guru berkenaan telah membuat keputusan supaya tidak ada tindakan susulan akan diambil, dengan pegawai polis itu tidak menyatakan sebab di sebalik keputusan berkenaan.

"Terdapat laporan polis dibuat terhadap saya dan Ain oleh guru Pendidikan Jasmani. Kami akan ke balai polis esok pada jam 5 petang," kata Saiful Nizam kepada BenarNews.

Ain dan bapanya akan ditemani peguam mereka serta dua Anggota Parlimen Maria Chin dan Teresa Kok yang menyokong keluarga tersebut dalam kes tersebut.

"Tolong doakan supaya semua urusan kami dipermudahkan," kata Saiful Nizam.

Bapa Ain itu berkata beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan sebarang maklumat lanjut mengenai laporan yang difailkan terhadap mereka kerana tidak dimaklumkan oleh polis.

BenarNews telah menghubungi beberapa pegawai polis yang memanggil dua beranak itu, seperti yang dimaklumkan oleh Saiful Nizam, tetapi semua panggilan dan pesanan tidak dijawab.

Pegawai Kementerian Pendidikan serta Pengetua Sekolah di mana gurauan mengenai rogol dibuat juga tidak memberikan sebarang respon.

Tashny Sukumaran, seorang pakar kesaksamaan jantina dan penganalisa di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, Malaysia berkata bahawa apabila seorang Pendakwa Raya menyatakan 'tidak ada tindakan lanjut' (NFA) untuk sesuatu kes, ia tidak bermakna tidak ada kesalahan yang berlaku.

"Saya sendiri pernah memfailkan laporan gangguan seksual sebelum ini, dan ia turut diklasifikasikan sebagai NFA disebabkan kekurangan bukti. Oleh itu, ia tidak sepatutnya diambil kira sebagai tanda bahawa seseorang itu tidak bersalah," Tashny memberitahu BenarNews.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata tindakan polis itu bukanlah satu cara yang sesuai dalam mengendalikan isu tersebut. Sebaliknya, kata beliau, perkara berkenaan patut diselesaikan oleh Kementerian Pendidikan dan pihak sekolah, yang sepatutnya mengambil tindakan terhadap guru berkenaan.

"Pihak sekolah dan kementerian mesti dipertanggungjawabkan - hentikan perbuatan mengganggu Ain dan keluarganya. Seluruh ahli keluarga itu telah merana akibat kes ini," Maria memberitahu BenarNews.

"Kita tidak sepatutnya mempunyai guru yang mengeluarkan perkataan sedemikian di sekolah. Adakah messej sebegini yang mahu kita sampaikan kepada anak-anak kita?"

Aktivis muda Ain Husniza bercerita tentang diri dan seninya semasa ditemui BenarNews di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor, 21 Mei, 2021 [Wartawan dan jurukamera Hadi Azmi/BenarNews]

‘Tidak akan tunduk pada tuntutan’

Sementara itu, Ain dan bapanya berkata pada Rabu bahawa mereka telah menerima notis tuntutan dari peguam guru berkenaan, yang meminta mereka untuk memberikan maklumbalas dalam tempoh seminggu.

"Kami menerima notis tuntutan guru Pendidikan Jasmani itu melalui sebuah firma guaman. Mereka menamakan Ain, saya dan isteri sebagai responden," kata Saiful Nizam.

"Saya masih berbincang dengan peguam. Sudah tentu kami tidak akan tunduk dengan tuntutan mereka dan akan meneruskan dengan tindakan mahkamah selepas tujuh hari."

Ain turut memuatnaik ciapan di Twitter mengenai notis diterimanya.

"Hi. Hari ini Ain tiba-tiba terima surat tuntutan atas "pernyataan-pernyataan fitnah". Dalam surat ini Ain diberi tujuh hari untuk semua tuntutan ini, antaranya untuk membayar RM1 juta sebagai gantirugi.

"Apa saya minta hanya untuk semua doakan urusan Ain dipermudahkan," kata pelajar itu.

Pada 24 April, Ain, seorang pelajar senior di sekolah, menjadi bualan hangat selepas beliau memuatnaik satu video di TikTok, mendakwa bahawa seorang gurunya telah membuat gurauan berbaur lucah ketika mereka berada dalam kelas Pendidikan Jasmani.

Dalam videonya, Ain mengulangi perkataan yang didakwa telah disebut guru berkenaan "Kalau kamu hendak merogol seseorang, jangan rogol mereka yang berusia bawah 18 tahun, tapi rogol mereka yang berusia 18 tahun ke atas."

Guru lelaki itu dilaporkan telah membuat kenyataan tersebut di dalam kelas pendidikan kesihatan, ketika sesi perbincangan mengenai undang-undang yang melindungi kanak-kanak bawah umur dari gangguan seksual, kata Ain.

Video Tiktok itu telah menjadi viral sehingga mencetuskan perdebatan mengenai pendidikan seks dan institusi misogini di seluruh negara. Ramai gadis yang berdepan dengan insiden serupa telah mula bersuara, dengan Ain turut dikritik teruk atas tindakannya itu.

Ramai yang memberitahunya bahawa mereka takut dipinggirkan rakan sekolah sekiranya mereka mengadu, katanya. Ada yang telah melaporkan insiden berunsur seksis tetapi tidak ada tindakan yang diambil, kata Ain lagi.

Selepas itu, Ain mula dipinggirkan oleh rakan-rakan sekolahnya setelah dia membuat laporan polis mengenai gurunya itu dan beliau juga menerima ugutan memperkosanya daripada seorang pelajar lain.

Kedua ibubapanya kemudiannya memutuskan untuk memindahkannya ke sekolah baru.

Media tempatan pula melaporkan yang guru terbabit telah dipindah tugas ke Jabatan Pendidikan Negeri sementara kesnya disiasat, dengan status tugas terkini beliau tidak diketahui.

Pakar kesaksamaan jantina Tashny menyifatkan tindakan undang-undang sivil dan jenayah yang diambil oleh guru berkenaan terhadap Ain adalah satu bentuk intimidasi terhadap mereka yang membuat pendedahan mengenai gangguan seksual.

"Tindakan undang-undang fitnah sebagai respon terhadap aduan gangguan seksual sepatutnya tidak dibenarkan, kerana terdapat kelompongan dalam undang-undang dalam melindungi pengadu gangguan seksual. Kita memerlukan undang-undang bagi melindungi para pengadu," kata beliau.

"Jika tidak, ia akan selalu menjadi situasi di mana laporan dibuat mangsa akan diklasifikasikan

Noah Lee di Kuala Lumpur turut membantu kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.