Tiga bekas pelajar sekolah menengah menang kes saman terhadap guru tidak hadir kelas

Dalam kes yang tidak pernah berlaku sebelum ini, Mahkamah Tinggi turut memerintahkan supaya kesemua pelajar itu dibayar ganti rugi berjumlah RM150,000 oleh lima defendan termasuk guru dan Kerajaan.
Iman Muttaqin Yusof & Noah Lee
2023.07.19
Kuala Lumpur
Tiga bekas pelajar sekolah menengah menang kes saman terhadap guru tidak hadir kelas Pelajar memakai topeng muka dan mengekalkan penjarakan sosial di bilik darjah untuk membendung COVID-19 semasa hari pertama pembukaan semula sekolah menengah di Putrajaya, Malaysia, 24 Jun 2020.
[Vincent Thian/AP]

Dalam kes yang tidak pernah berlaku sebelum ini, tiga bekas pelajar sekolah menengah berjaya menyaman bekas guru mereka kerana gagal menghadiri kelas untuk mengajar bagi satu tempoh yang lama.

Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di Sabah memerintahkan semua bekas pelajar itu dibayar ganti rugi berjumlah RM150,000 (AS $33,021) bagi kecederaan psikologi akibat daripada ketidakhadiran guru Bahasa Inggeris itu selama hampir tujuh bulan.

Guru Bahasa Inggeris itu dan Kerajaan Malaysia adalah antara lima defendan yang perlu bersama-sama membayar ganti rugi tersebut.

Para bekas pelajar itu berkata bahawa keadilan dapat ditegakkan dan satu duluan telah ditetapkan, selain keputusan mahkamah itu memberi pengajaran kepada kalangan pelajar bahawa mereka perlu berani bersuara.

Hakim Mahkamah Tinggi Leonard David Shim memutuskan bahawa kesemua defendan tersebut telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka mengikut Akta Pendidikan 1996.

“Setiap pelajar akan menerima RM30,000 (AS$6,604) sebagai pampasan nominal atas kehilangan peluang untuk memperoleh gred yang baik dalam subjek Bahasa Inggeris serta kehilangan peluang yang baik dalam kehidupan mereka untuk menerima pendidikan yang lebih baik pada masa hadapan,” kata Hakim Shim dalam penghakiman setebal 74 muka surat, yang dapat dilihat menerusi e-semakan pada Rabu.

"Dan sebanyak RM20,000 (AS$4,402) perlu dibayar untuk kos teruk, dengan mengambil kira trauma emosi dan psikologi yang berpunca daripada ketidakhadiran guru itu, sehingga membawa kepada perasaan kecewa dan malu."

Tiga lagi defendan ialah Pengetua SMK Taun Gusi, Kota Belud di Sabah, Ketua Pengarah Pendidikan dan Menteri Pendidikan Persekutuan.

BenarNews cuba menghubungi Menteri Pendidikan Persekutuan Fadhlina Sidek bagi mendapatkan komennya namun beliau tidak segera membalas panggilan itu.

Bekas pelajar yang memfailkan saman tersebut ialah Rusiah Sabdarin, Nur Natasha Allisya Hamali dan Calvina Angayung yang kini berusia 22 tahun.

Mereka memfailkan saman itu pada Disember 2020 dengan mendakwa guru mereka tidak hadir mengajar selama tujuh bulan pada 2017, ketika mereka berumur 16 tahun dan berada di Tingkatan Empat, yang bersamaan dengan gred 10.

Menurut tuntutan saman mereka, para bekas pelajar itu berkata bahawa ketidakhadiran guru tersebut menyebabkan mereka gagal dalam peperiksaan Bahasa Inggeris.

Sebelum mereka membawa kes itu ke mahkamah, para pelajar berkenaan telah membangkitkan perkara tersebut kepada pengetua sekolah, pentadbiran negeri dan Kementerian Pendidikan pada 2017 tetapi tiada tindakan yang diambil, kata mereka.

SEKOLAH2.jpeg

(Dari kiri) Bekas pelajar sekolah menengah Calvina Angayung, Nur Natasha Allisya Hamali dan Rusiah Sabdarin, yang memenangi kes saman terhadap bekas guru Bahasa Inggeris mereka kerana kegagalan menghadiri kelas secara berpanjangan, dilihat dalam satu gambar tidak bertarikh bersama-sama peguam bela mereka Sherzali Herza Asli. [Facebook@officialtiadaguru]

Rusiah, seorang daripada tiga pelajar itu, berkata beliau berharap pihak defendan akan mengambil serius aduan pelajar.

"Saya berharap semua pelajar mempunyai keberanian untuk menyuarakan rasa bimbang dan tidak puas hati apabila hak mereka sebagai pelajar dicabul," katanya dalam satu kenyataan selepas keputusan mahkamah itu.

“Saya berharap semua pihak yang terlibat sama ada pihak sekolah mahupun pihak berkuasa pendidikan akan sentiasa memantau kehadiran guru di sekolah-sekolah,” katanya.

Calvina, seorang lagi pelajar yang menyaman defendan, berkata keadilan dapat ditegakkan dan satu duluan telah ditetapkan untuk kes serupa.

“Saya masih ingat ketidakhadiran guru telah menyebabkan ramai di antara kami yang gagal dalam subjek Bahasa Inggeris,” katanya dalam satu kenyataan.

"Dengan keputusan ini, saya berasa bersyukur kerana tahu bahawa hak saya telah diperakui dan dihormati oleh mahkamah."

Saman ketiga-tiga bekas pelajar itu adalah satu daripada dua tindakan undang-undang yang dibawa oleh bekas pelajar terhadap guru yang sama.

Siti Nafirah Siman, bekas pelajar sekolah yang sama dengan bekas pelajar berkenaan, telah memfailkan saman pemula pada Oktober 2018. Perbicaraan kes itu diadakan di Mahkamah Tinggi pada 16 Ogos.

Saman itu difailkan sebagai sebahagian daripada kempen yang dikendalikan oleh Tiada.Guru, yang menganggap dirinya sebagai organisasi diterajui pemberi maklumat. Ia memperjuangkan hak pelajar untuk mendapat pendidikan yang berkualiti dan meningkatkan kesedaran tentang ketidakhadiran guru khususnya di kawasan luar bandar Sabah, satu daripada negeri termiskin di Malaysia.

"Kemenangan bekas pelajar ini iaitu Rusiah, Calvina dan Nur Natasha telah membuka satu laluan baharu untuk keadilan, perpaduan dan kemajuan di Malaysia," menurut kempen Tiada.Guru dalam satu kenyataan pada Rabu.

“Pemberi maklumat mempertaruhkan nyawa mereka untuk memastikan kerajaan mematuhi undang-undangnya sendiri. Rakyat Malaysia di mana-mana jua, terutamanya yang berada dalam komuniti luar bandar, gagal mendapat kemajuan selama beberapa dekad berikutan siasatan dalaman dan penguatkuasaan dalaman.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.