Indeks Persepsi Rasuah: Malaysia Jatuh Tujuh Anak Tangga

Hata Wahari
2018.02.22
Kuala Lumpur
180222-my-corruption620.jpg Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Akhbar Satar dan Setiausaha pertubuhan itu Mohamad Mohan menunjukkan laporan Indeks Persepsi Rasuah 2017 di Kuala Lumpur, 22 Februari, 2018.
[Hata Wahari/BeritaBenar]

Malaysia mencatatkan skor Indeks Persepsi Rasuah terburuk sejak lima tahun lalu, dengan jatuh sebanyak tujuh anak tangga bagi tahun 2017, sejak sebuah badan pemantau rasuah antarabangsa memulakan indeks rasuahnya pada tahun 1994, demikian menurut Transparency International [TI] Malaysia pada Khamis.

Tahun sebelum ini, Malaysia berada di kedudukan ke-55 dan laporan 2017 menunjukkan negara itu berada pada anak tangga ke-62.

Presiden TI-Malaysia, Akhbar Satar memberitahu, Malaysia menduduki tangga ke-62 daripada 180 buah negara dengan 47 mata dan berkongsi kedudukan dengan negara Cuba bagi Indeks Persepsi Rasuah 2017.

“Ini merupakan pencapaian skor terburuk Malaysia sejak lima tahun lepas dan merupakan ranking terburuk (jatuh tujuh tangga) sejak CPI diperkenalkan pada tahun 1994,” katanya pada Khamis.

Akhbar memberitahu dari segi kedudukan di Asia Tenggara, Malaysia berada di kedudukan ketiga iaitu selepas Singapura (kedudukan ke-6) dan Brunei (kedudukan ke-32) tetapi berada di atas Indonesia dan Thailand yang berada di kedudukan ke-96 dengan 37 mata.

Sementara itu, negara Vietnam berada di kedudukan ke-107, Filipina (111), Myanmar (130), Laos (135) dan Kemboja (161).

Laporan tahunan CPI berdasarkan tinjauan oleh mereka yang terlibat dalam industri perniagaan, termasuk penganalisis risiko dan orang awam yang bekerja di negara yang dinilai. Ia berdasarkan sekurang-kurangnya tiga tinjauan bebas berkenaan persepsi di setiap negara.  

Akhbar tidak menolak kenyataan bahawa kedudukan Malaysia dalam indeks itu semakin teruk kerana disebabkan kegagalan kerajaan untuk menyelesaikan skandal rasuah berskala besar seperti 1Malaysia Development Berhad [1MDB], Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Kemajuan Tanah  Persekutuan [Felda].

“Skandal ini memberi kesan kepada kedudukan negara dalam CPI dan selagi skandal ini tidak diselesaikan ia akan memberi kesan kepada CPI pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Akhbar lagi, jika tidak kerana tindakan agresif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] yang telah membuat banyak tangkapan sejak beberapa tahun lalu, kedudukan Malaysia mungkin jauh lebih rendah.

Kes profil tinggi

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low yang bertanggungjawab ke atas usaha memerangi rasuah memberitahu, beberapa tangkapan kes berprofil tinggi pada tahun lalu menyebabkan kedudukan Malaysia jatuh sebanyak tujuh anak tangga.

“Pendedahan dan publisiti secara besar-besaran yang diberikan kepada SPRM bagi beberapa kes berprofil tinggi pada tahun lepas mungkin telah mewujudkan persepsi negatif yang menyumbang kepada kedudukan negara dalam CPI,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kerajaan Malaysia bagaimanapun, katanya, menerima CPI terbaru itu sebagai sesuatu yang adil mengenai tahap persepsi keadaan rasuah di negara itu dan bertekad untuk terus mengambil perhatian serius mengenai kedudukan tersebut.

Beliau menegaskan, kedudukan dalam CPI ini tidak akan menghalang SPRM untuk melaksanakan penguatkuasaan yang agresif dengan kerajaan Malaysia membuat perubahan  tranformasi jangka panjang yang diperlukan.

“Kerajaan tidak akan mengenepikan komitmen untuk memerangi rasuah dan meningkatkan tadbir urus dalam sektor awam dan percaya inisiatif yang sedang dilaksanakan akan menyaksikan hasil yang diingini bagi tempoh jangka panjang dengan kedudukan Malaysia yang lebih baik dalam CPI,” tegas beliau.

Pesuruhjaya SPRM terkejut


Dalam pada itu, Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad pada Khamis melahirkan rasa terkejut dengan kemerosotan kedudukan Malaysia dan menyatakan negara itu sepatutnya berada di kedudukan lebih baik atas tindakan agresif yang telah diambil oleh suruhanjaya berkenaan.

“Bagi saya indeks pada tahun ini kalau mengikut realiti yang berlaku dalam negara dan tindakan yang sudah diambil oleh SPRM, maka sepatutnya indeks tersebut berada pada kedudukan yang lebih baik daripada 2016. Ini adalah jangkaan saya tapi saya tidak boleh kata di kedudukan tangga mana.

“Sebab itu saya katakan yang saya agak terkejut dengan laporan yang dikeluarkan kerana ia tak selaras dengan realiti, tindakan, pencegahan dan pendidikan yang agresif, yang telah SPRM laksanakan pada tahun 2017,” tambah Dzulkifli.

Dengan itu, beliau turut mencadangkan untuk mewujudkan Indeks Rasuah Khas bagi Malaysia dalam mengenal pasti prestasi dan situasi sebenar rasuah di negara itu.

“Satu analisis akan dibuat dalam masa dua atau tiga bulan lagi sebelum diserahkan kepada jemaah menteri. Satu badan bebas akan membuat kajian berhubung indeks itu, termasuk pakar akademik atau pihak berkaitan agar memberi keputusan yang benar-benar sahih,” katanya.

Tindakan memperbaiki kedudukan


Transparency International Malaysia juga mahu Malaysia memperbaiki faktor lain yang turut menyumbang kepada kejatuhan skor kedudukan oleh negara itu dalam CPI seperti sekatan kebebasan media, kekurangan akses kepada maklumat dan ketelusan dalam perolehan kerajaan dan dasar pemberi maklumat yang cacat.

Akhbar berkata, "Pemberi maklumat yang melaporkan kes rasuah kepada media tidak dilindungi oleh undang-undang dan telah didakwa. Ini perlu diubah jika Malaysia serius mahu membanteras rasuah," sambil merujuk kepada kes melibatkan Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat [PKR] dan bekas kerani bank Johari Mohamad.

Dua pemberi maklumat tersebut baru-baru ini dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan kerana melanggar Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) kerana mendedahkan skandal salah guna kuasa National Feedlot Corp (NFC) .

Akhbar menegaskan, adalah salah bagi kerajaan untuk memberi kontrak kepada kroni dan saudara-mara yang tidak kompeten dan bukannya berdasarkan merit.

Sebelum ini Peguam Negara Mohamed Apandi Ali telah membebaskan Perdana Menteri Najib Razak daripada dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan skandal dana negara 1MDB melibatkan deposit RM2.6 bilion [AS$681 juta] ke dalam akaun bank persendiriannya semasa berlangsung pilihanraya umum 2013.

Najib menafikan yang beliau mengambil wang 1MDB untuk keuntungan peribadi.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.