Polis Malaysia Serbu Pejabat Al Jazeera Berhubung Siasatan Dokumentari

Noah Lee & Nisha David
2020.08.04
Kuala Lumpur , Malaysia
200804-MY-AlJazeera1000.jpg Kakitangan Al Jazeera beredar keluar dari ibu pejabat polis di Kuala Lumpur selepas disoal siasat berhubung satu dokumentari berita yang disiarkan oleh stesen penyiaran itu yang berpusat di Qatar mengenai tindakan Malaysia menahan pendatang tanpa dokumen semasa pandemik COVID-19, 10 Julai 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Polis Malaysia pada Selasa merampas komputer dan peralatan lain dari pejabat Al Jazeera Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung satu dokumentari yang disiarkan stesen penyiaran itu, yang berpusat di Qatar, mengenai keadaan pekerja asing tanpa izin semasa perintah kawalan pergerakan dilaksanakan berikutan pandemik koronavirus, kata pihak berkuasa.

Serbuan di premis Al Jazeera dan dua stesen penyiaran tempatan iaitu Astro dan Unifi TV adalah berkaitan dengan siasatan mengenai kemungkinan adanya kes hasutan dan fitnah oleh Al Jazeera susulan penyiaran dokumentari itu pada awal Julai sehingga membangkitkan kemarahan pihak kerajaan, kata pegawai.

Dalam serbuan yang dilakukan pada Selasa, beberapa peralatan dirampas dari stesen penyiaran tempatan untuk dianalisis oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kata para pegawai.

"Polis Diraja Malaysia melakukan serbuan di tiga lokasi berbeza yang melibatkan stesen penyiaran Al-Jazeera, Astro dan Unifi TV berdasarkan waran geledah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan Sepang," kata pengarah jabatan siasatan jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed.

"Tindakan yang dilaksanakan ini adalah berlandaskan undang-undang, dan tiada individu atau pun entiti yang akan terlepas daripada sebarang tindakan jika mereka jelas mencabuli undang-undang yang berkuat kuasa di Malaysia," katanya.

Awal bulan lalu, polis mengunjungi pejabat biro tempatan Al Jazeera berhubung kes itu sebelum Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengumumkan bahawa pihaknya memanggil pekerja-pekerja stesen penyiaran itu, termasuk pasukan yang menghasilkan dokumentari tersebut, untuk disoal siasat.

Pada 7 Julai, semasa beliau membuat pengumuman itu, Abdul Hamid menyatakan bahawa agensinya bertanggungjawab  "untuk mengetahui sama ada terdapat unsur hasutan atau kesalahan dari sudut undang-undang."

Dokumentari berdurasi 25 minit itu yang berjudul "Locked up in Malaysia’s Lockdown" menggambarkan tindakan ala tentera semasa menahan pekerja asing tanpa izin bagi melakukan saringan koronavirus ke atas mereka. Program itu mendakwa bahawa pendatang asing tanpa izin iti ditahan dan ditempatkan di pusat-pusat tahanan yang sesak dan menjadi tempat tumpuan jangkitan COVID-19.

Pihak berkuasa Malaysia menyangkal laporan itu dan mendakwanya sebagai "tidak berasas," dengan menyatakan bahawa ia boleh mencemarkan imej Malaysia.

‘Peningkatan membimbangkan’

Pada Selasa, Al Jazeera sekali lagi mempertahankan laporannya itu semasa ia mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan serbuan di pejabatnya di Kuala Lumpur sebagai serangan terhadap kebebasan akhbar.

"Al Jazeera menggesa pihak berkuasa Malaysia untuk menghentikan siasatan jenayah terhadap wartawan kami. Serbuan yang dilakukan di pejabat kami dan merampas komputer adalah peningkatan membimbangkan terhadap tindakan pihak berkuasa untuk menyekat kebebasan media dan menunjukkan sejauh mana mereka sedia bertindak untuk menakut-nakutkan wartawan," kata pengarah urusan Al Jazeera English, Giles Trendle, dalam kenyataan.

Beliau menyangkal dakwaan pihak berkuasa Malaysia bahawa laporan itu tidak tepat, menyeleweng dan berat sebelah sambil menggesa supaya wartawan dibenarkan membuat laporan dengan bebas tanpa merasa takut.

Sementara itu, pejabat tempatan bagi pertubuhan pemerhati hak asasi global, Amnesty International, mengecam serbuan yang dilakukan di stesen-stesen media itu.

"Tindakan kerajaan terhadap pekerja dan pelarian asing serta mereka yang bersuara untuk membela diri, jelas bertujuan untuk menutup mulut dan menakut-nakutkan mereka, tindakan ini patut dikecam," kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan.

Rakyat Bangladesh mungkin dihantar pulang

Dua minggu selepas pihak berkuasa menyoal siasat wartawan Al Jazeera di Bukit Aman, pegawai imigresen Malaysia pada 24 Julai menahan rakyat Bangladesh, Md Rayhan Kabir, yang dipaparkan bercakap tentang dakwaan tindakan pihak berkuasa semasa menahan pendatang asing tanpa izin dalam dokumentari itu.

Dia direman selama 14 hari oleh polis selepas dapat ditahan setelah menjadi buruan pihak berkuasa.

Pada 25 Julai, agensi berita Associated Press memetik ketua pengarah imigresen Malaysia sebagai berkata, "rakyat Bangladesh ini akan dihantar pulang dan disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia selama-lamanya."

Sehingga Selasa, masih belum jelas Kabir ditahan mengikut undang-undang mana dan apakah kesalahan jenayah yang dilakukannya. Pihak polis dan imigresen tidak memberi maklum balas sejak 28 Julai terhadap beberapa pertanyaan BeritaBenar mengenai kes Kabir.

Semasa persidangan Dewan Rakyat pada Selasa, menteri dalam negeri Malaysia memberi penjelasan mengenai penangkapan dan penahanan Kabir.

“Di bawah Akta Imigresen 1959/63, ketua pengarah Imigresen boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana warga asing yang dirasakan tidak diingini di negara kita. Itulah penjelasan saya,” kata menteri berkenaan Hamzah Zainuddin semasa menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen lain mengenai kes Kabir.

“Kita boleh menghantar pulang sesiapa sahaja yang tidak diingini. Dia tidak diingini,” kata menteri itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.