Kerajaan Malaysia Fail Rayuan Terhadap Keputusan Benarkan Guna Kalimah ‘Allah’ Dalam Penerbitan Kristian

Isu itu menarik perhatian meluas di negara yang mempunyai majoriti penduduk Muslim, di mana penganut Kristian telah menggunakan perkataan Arab sejak berabad-abad lalu.
Hadi Azmi & Noah Lee
2021.03.15
Kuala Lumpur
Kerajaan Malaysia Fail Rayuan Terhadap Keputusan Benarkan Guna Kalimah ‘Allah’ Dalam Penerbitan Kristian Seorang lelaki Muslim menunggu di luar mahkamah ketika hakim menyampaikan penghakiman berhubung kes melarang penganut Kristian menggunakan kalimah "Allah" dalam penerbitan bahan agama mereka di Putrajaya, di pinggir Kuala Lumpur, 23 Jun 2014.
[Reuters]

Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi minggu lalu yang menarik balik larangan penerbitan Kristian menggunakan kalimah "Allah" bagi merujuk kepada Tuhan, kata peguam negara kepada BeritaBenar pada Isnin.

Isu itu mendapat perhatian meluas di Malaysia yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam, di mana penganut Kristian telah menggunakan perkataan tersebut sejak berabad-abad lalu.

Parti-parti politik utama telah mendesak kerajaan Malaysia supaya membuat rayuan terhadap keputusan itu, yang menurut beberapa kumpulan Muslim, ia boleh menyebabkan umat Islam yang "keliru" meninggalkan agama itu dan menerima "pemikiran pluralis."

Peguam Negara Idrus Harun mengesahkan bahawa notis rayuan yang bertarikh 12 Mac telah difailkan di Mahkamah Rayuan pada Isnin, tetapi beliau tidak memberikan butiran lanjut.

"Permohonan rayuan itu dibuat pada hari ini [Isnin]," kata Idris kepada BeritaBenar menerusi pesanan teks.

Salinan permohonan rayuan itu, seperti yang dilihat oleh BeritaBenar, menyatakan bahawa kerajaan dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin memutuskan untuk memfailkan rayuan kerana mereka tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada minggu lalu.

"Ambil perhatian bahawa para perayu iaitu Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia, yang tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Nor Bee Ariffin yang disampaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021, dengan ini mengemukakan rayuan bagi keseluruhan penghakiman itu kepada Mahkamah Rayuan Malaysia,” menurut salinan permohonan rayuan kerajaan itu.

Pada 11 Mac, Nor Bee mengakhiri larangan puluhan tahun apabila beliau memutuskan bahawa penganut Kristian Malaysia dibenarkan mengguna kalimah "Allah" untuk merujuk kepada Tuhan, dan tiga perkataan Arab yang lain, dalam penerbitan mereka.

Arahan Kementerian Dalam Negeri 1986 yang melarang penggunaan "Allah", "Baitullah" dan "Kaabah" serta "solat" dalam penerbitan Kristian adalah tidak berperlembagaan kerana ia menyekat kebebasan beragama, kata Nor Bee. Arahan itu juga tidak sah dan tidak rasional kerana penganut Kristian Malaysia telah menggunakan perkataan tersebut sejak lebih 400 tahun lalu, katanya.

PEMBELA, sebuah kumpulan induk yang mewakili NGO Muslim, menyambut baik langkah kerajaan mengemukakan rayuan terhadap penghakiman itu.

"Tahniah kepada Kementerian Dalam Negeri kerana mengemukakan rayuan. Ini adalah hasil tekanan yang dibuat PEMBELA dan NGO lain,” kata Aminuddin Yahaya, ketua kumpulan itu, kepada BeritaBenar pada Isnin.

Aminuddin, yang turut menerajui kumpulan pendesak Muslim, ISMA, juga menggesa kerajaan supaya memastikan tiada "campur tangan politik" dalam proses rayuan itu. Namun, beliau meminta semua pihak berkuasa Islam negeri supaya turut campur tangan dalam kes tersebut.

"Mahkamah perlu membenarkan mereka untuk campur tangan kerana isu ini adalah sensitif terhadap masyarakat Islam," katanya.

BeritaBenar menghubungi peguam bela Annou Xavier, yang mewakili wanita Kristian Jill Ireland Lawrence Bill dalam kes tersebut, tetapi beliau enggan mengulas mengenai rayuan yang dikemukakan kerajaan.

BeritaBenar juga menghubungi Kementerian Dalam Negeri namun tidak mendapat maklum balas.

Isu memecah-belah

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Isnin berkata bahawa beliau akan mengadakan pertemuan khas esok dengan mufti dari semua negeri untuk membincangkan keputusan Mahkamah Tinggi mengenai penggunaan kalimah "Allah" oleh penerbitan Kristian.

Menerusi catatan di Facebook, Zulkifli berkata bahawa beliau telah mengadakan pertemuan dengan PEMBELA selama 45 minit pada hari sebelumnya bagi membincangkan perkara itu.

Pada Ahad, kumpulan itu mengeluarkan kenyataan keras dengan menyatakan "rasa terkejut dan kecewa" terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu, yang boleh "memberi implikasi besar" bagi umat Islam.

"Ini bertentangan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini. Keputusan ini membuka kepada penyalahgunaan kalimah "Allah," kata kenyataan PEMBELA. "Ini akan membuka ruang kepada berlakunya murtad dan pemikiran pluralis."

Aminuddin merujuk kepada Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2014 - dalam kes berasingan - yang mengekalkan larangan kerajaan bagi penggunaan kalimah "Allah" dalam penerbitan Kristian.

Mesyuarat PEMBELA turut dihadiri oleh presiden Muafakat Nasional, sebuah gabungan merangkumi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) iaitu parti tertua di Malaysia dan rakan dalam gabungan kerajaan serta Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang konservatif.

Muafakat telah menyatakan "keprihatinan yang amat serius terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Islam oleh orang bukan Islam dalam penerbitan masing-masing." Ia juga menggesa kerajaan supaya mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Tetapi, James Masing, timbalah ketua menteri Sarawak, negeri yang mempunyai majoriti penganut Kristian, menganggap rayuan kerajaan itu sebagai "tidak masuk akal."

"Saya percaya hakim telah mempertimbangkan semua aspek berkaitan sensitiviti agama dan budaya ketika membuat keputusan tersebut," kata Masing dalam satu kenyataan minggu lalu, menurut laporan beberapa penerbitan berita tempatan.

"Oleh itu, ini adalah permintaan yang paling tidak masuk akal oleh mana-mana parti politik atau kumpulan agama di negara berbilang agama seperti Malaysia."

Masing berkata perbuatan mendesak kerajaan persekutuan supaya membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu adalah sama seperti meminta agar disemak semula Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan, yang membenarkan kebebasan beragama di negara ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.