Malaysia Akan Siasat Semula Kes Pembunuhan Jurubahasa Mongolia: Ketua Polis

Alfian Z.M. Tahir
2018.06.20
Kuala Lumpur, Malaysia
180620-MY-malaysiafolo-1000.jpg Setev Shaariibuu (kanan), bapa model Mongolia yang dibunuh, Altantuya Shaariibuu, menunjukkan satu salinan laporan polis yang telah difailkannya dengan diiringi peguamnya, Ramkarpal Singh, di luar ibu pejabat polis Dang Wangi di Kuala Lumpur, 20 Jun 2018.
[Alfian ZM Tahir/BeritaBenar]

Malaysia akan menyiasat semula kes pembunuhan model Mongolia, Altantunya Shariibuu, kata ketua polis negara itu kepada BeritaBenar pada  Rabu, selepas bapanya membuat laporan polis dan bertemu dengan Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

Pembukaan semula kes siasatan pembunuhan itu, yang disahkan oleh Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun, akan dibuat hampir 12 tahun selepas pembunuhan mengerikan itu membawa kepada skandal peringkat tertinggi dalam kerajaan Malaysia.

"Satu kertas siasatan (IP) baru akan dibuka dan IP itu akan dikemukakan kepada peguam negara selepas ia selesai," kata Fuzi, tanpa memberi tempoh bagi siasatan baru tersebut.

Ketua Polis itu berkata, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, peruntukan yang sama digunakan dalam siasatan terdahulu.

"Kami akan menentukan sama ada pasukan siasatan baru perlu ditubuhkan secepat mungkin," kata Fuzi. Kenyataannya dilihat agak luar biasa kerana pada penghujung bulan lepas, beliau berkata, jabatannya mendapati tiada alasan untuk membuka semula kes pembunuhan wanita Mongolia itu, menurut laporan media tempatan pada masa itu. Kenyataan Fuzi kepada BeritaBenar dibuat beberapa jam selepas bapa mangsa, Setev Shaariibuu, bertemu dengan Mahathir di pejabat Perdana Menteri pada petang Rabu.

Peguam Setev, Ramkarpal Singh, menyatakan bahawa perdana menteri baru Malaysia itu juga menyokong siasatan baru kes berkenaan.

"Beliau (Mahathir) bersetuju bahawa ia adalah kes yang mewajarkan siasatan lanjut dan perdana menteri juga menegaskan bahawa proses itu haruslah mematuhi peraturan undang-undang," kata Ramkarpal kepada pemberita selepas pertemuan selama 30 minit itu, yang turut dihadiri oleh seorang  jurubahasa dan seorang pegawai konsulat Mongolia.

"Kami yakin bahawa kedaulatan undang-undang akan dipatuhi," katanya. Pada  Selasa, beliau dan anak guamnya itu bertemu kira-kira sejam dengan Tommy Thomas, peguam negara baru Malaysia.

Altantuya Shaariibuu berusia 28 tahun dan hamil ketika dia ditembak mati dan tubuhnya diletupkan dengan bahan letupan tentera di sebuah hutan terpencil di luar Kuala Lumpur pada Oktober 2006.

Altantuya bertugas sebagai jurubahasa semasa kerajaan Malaysia berunding untuk membeli dua buah kapal selam Scorpene daripada syarikat gergasi pembinaan kapal Perancis, DCNI, pada 2002. Dia juga dilaporkan menjadi perempuan simpanan Abdul Razak Baginda, seorang penganalisis pertahanan yang rapat dengan Menteri Pertahanan ketika itu, Najib Razak.

Dua pegawai polis, yang berkhidmat sebagai anggota pasukan yang mengawal keselamatan peribadi Najib pada masa itu, telah disabitkan dengan pembunuhan tersebut dan dijatuhi hukuman mati, tetapi mahkamah tidak menentukan motif mereka. Seorang daripada mereka telah melarikan diri ke Australia di mana dia kini ditahan di pusat tahanan Imigresen sejak Januari 2015.

Abdul Razak telah dibicarakan tetapi dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat melakukan jenayah itu. Mahkamah tidak mengenal pasti siapa yang merancang pembunuhan itu. Najib, bekas perdana menteri yang ditumbangkan selepas Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya umum 9 Mei, menafikan sebarang kaitan dengan pembunuhan itu dan menyangkal dakwaan rasuah berhubung pembelian kapal selam berkenaan.

Bapa mangsa: Bekas pembantu Najib 'saksi penting'

Sebelum bertemu Mahathir, Setev memfailkan laporan polis di Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur. Dalam laporan itu, Setev menamakan Musa Safri, bekas pembantu Najib, sebagai "saksi penting" dalam kes itu.

Tetapi, Ramkarpal, peguam Setev, telah mempersoalkan mengapa pendakwa raya tidak memanggil Musa untuk memberi keterangan dan menjelaskan peranannya pada perbicaraan sebelum ini.

"Saya percaya siasatan sebelumnya telah mengenal pasti orang itu, atau jika ada lebih daripada seorang, yang mengarahkan pembunuhan itu," kata Ramkarpal kepada pemberita di luar balai polis itu.

Menurut laporan yang diterbitkan pada 23 Mei oleh Asia Sentinel, sebuah portal berita dalam talian, Timbalan Penguasa Musa Safri telah memerintahkan pegawai polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar untuk mengambil Altantuya dari rumah Abdul Razak pada malam dia dibunuh pada Oktober 2006. Musa merupakan pembantu peribadi Najib, yang ketika itu menjadi menteri pertahanan.

Tetapi Musa, yang telah bersara daripada pasukan polis, tidak pernah disoal siasat oleh penyiasat atau dipanggil memberi keterangan, kata laporan itu. Azilah kini ditahan di Penjara Kajang di negeri Selangor manakala Sirul melarikan diri ke Australia.

Dakwaan hubungan Altantuya dengan Abdul Razak muncul selepas laporan menyatakan bahawa, tidak lama sebelum kematiannya, dia telah menuntut bayaran bagi tugasnya sebagai jurubahasa dalam perjanjian kapal selam Perancis itu.

Penyiasat percaya Altantuya ditembak mati sebelum tubuhnya diletupkan dengan peledak plastik yang dikenali sebagai C-4 di kawasan hutan.

Setev, dalam laporan polisnya, yang turut dilihat oleh BeritaBenar, berkata, Azilah dan Sirul tidak mempunyai motif untuk membunuh Altantuya kerana kedua-dua lelaki itu tidak pernah bertemu dengan anak perempuannya.

Musa "adalah saksi yang sangat penting kerana dia dapat memberikan maklumat tentang siapa yang mengarahkannya untuk memastikan kehadiran Azilah dan Sirul," kata Setev.

"Saya percaya, jika bukan kerana Musa, Azilah dan Sirul tidak akan pergi ke rumah Abdul Razak pada hari itu untuk mengambil anak perempuan saya, dan pastinya dia masih hidup hari ini," katanya.

Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.