Pembunuh Altantuya terlepas tali gantung, diganti penjara 40 tahun

Bapa wanita Mongolia tersebut menulis surat meminta Mahkamah Persekutuan ringankan hukuman terhadap bekas pegawai polis itu atas dasar kemanusiaan.
Iman Muttaqin Yusof
2024.10.10
Kuala Lumpur
Pembunuh Altantuya terlepas tali gantung, diganti penjara 40 tahun Bekas anggota polis, Azilah Hadri dibawa anggota Jabatan Penjara Malaysia selepas dia dilepaskan daripada hukuman gantung dan digantikan dengan penjara 40 tahun di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, 10 Oktober 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

KEMASKINI pada 11.30 pagi waktu tempatan ETS - 2024-10-10

Mahkamah tertinggi Malaysia pada Khamis meringankan hukuman mati ke atas seorang bekas pengawal pengiring kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak, selepas hukuman mati mandatori dimansuhkan pada tahun lepas.

Mahkamah menggantikan hukuman itu kepada penjara 40 tahun terhadap Azilah Hadri, bekas pegawai polis yang disabitkan kesalahan membunuh model Mongolia pada 2006 selepas bapa mangsa turut menyokong permohonan semakan hukuman terhadap banduan akhir itu, dan dijangka dibebaskan dalam tempoh sedekad lagi dengan mengambil kira tempoh remitan selain berkelakuan baik, kata peguamnya.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan, diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata hujah pembelaan menyediakan faktor mitigasi yang kukuh untuk mereka menggunakan budi bicara.

"Dalam keadaan itu kami mengetepikan hukuman mati dan menggantikannya dengan penjara selama 40 tahun dari tarikh tangkap, 1 November 2006, tidak termasuk tempoh mangsa dibebaskan oleh mahkamah dan 12 sebatan," kata Tengku Maimun yang turut bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim dan Nordin Hassan.

Peguam Azilah, J. Kuldeep Kumar dalam hujan pembelaannya membacakan surat bapa Altantuya, Shaariibuu Setev memohon belas kasihan bagi pembunuh anak perempuannya yang disabitkan kesalahan.

"Saya menulis secara rasmi untuk meminta hukuman mati ke atas Azilah diringankan kepada penjara seumur hidup," tulis Shaariibuu, menurut hujahan Kuldeep.

“Permintaan saya berpunca daripada rasa hormat yang mendalam terhadap kemanusiaan rakyat Mongolia,” kata Shaariibuu dalam surat tulisan tangan dalam bahasa Mongolia yang kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Inggeris.

Azilah yang merupakan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) polis memfailkan permohonan semakan hukuman mati ke atasnya susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai tahun lalu.

Di bawah undang-undang baharu itu, hakim mempunyai kuasa budi bicara untuk mengenakan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun dan sehingga 40 tahun.

Sekiranya tidak menjatuhkan hukuman mati, pesalah lelaki berumur di bawah 50 tahun boleh dikenakan sebatan minimum 12 kali.

Ikut perintah

Kuldeep dalam hujahan di mahkamah berkata bahawa Azilah yang ketika itu merupakan seorang komando polis hanya mengikut arahan daripada pihak atasan kerana dipercayai bahawa Altantuya adalah ejen asing.

"Dia digambarkan sebagai pengintip rahsia yang telah memperoleh rahsia negara," kata Kuldeep. “Azilah menyangka dia menjalankan operasi keselamatan negara. Dia cuba melawan tetapi yakin dan terikat dengan arahan. Memandangkan keadaan itu, dia tidak mempunyai pilihan selain mematuhi arahan.”

Kes pembunuhan Altantuya mengejutkan Malaysia kerana dakwaan kaitannya dengan skandal rasuah berprofil tinggi berhubung pembelian kapal selam Scorpene buatan Perancis oleh negara itu.

Wanita Mongolia itu pernah menjadi penterjemah dalam rundingan antara kerajaan Malaysia dan syarikat pertahanan Perancis DCNI dan dilaporkan terlibat dalam hubungan romantis dengan penganalisis politik Abdul Razak Baginda, rakan rapat Timbalan Perdana Menteri Najib Razak ketika itu.

Altantuya, 28, dibunuh di dalam hutan berhampiran Kuala Lumpur pada Oktober 2006. Dia ditembak dan mayatnya dimusnahkan dengan bahan letupan gred tentera, menurut penyiasat.

Penyiasat juga percaya dia hamil pada masa itu, walaupun ini tidak pernah disahkan.

Najib yang kini sedang menjalani hukuman penjara atas tuduhan membabitkan skandal 1MDB telah berulang kali menafikan sebarang penglibatan dalam kes pembunuhan Altantuya.

Pada 2009, Azilah disabitkan bersama seorang lagi bekas anggota polis berpangkat koperal Sirul Azhar Umar kerana membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam, Selangor antara pukul 10 malam 19 Oktober 2006 hingga 1 pagi esoknya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua anggota polis itu.

Abdul Razak yang ditahan bersama Azilah dan Sirul bagaimanapun dibebaskan selepas pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan bersubahat melakukan pembunuhan itu oleh mahkamah yang sama.

Kedua-dua sabitan Azilah dan Sirul pada mulanya dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013 kerana motif yang tidak mencukupi tetapi pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengembalikan hukuman mati mereka.

Sirul tidak hadir untuk mendengar keputusan Mahkamah Persekutuan itu kerana bertindak melarikan diri ke Australia pada 2006 di mana dia ditahan di bawah undang-undang Imigresen sebelum dibebaskan pada akhir tahun lalu.

Keputusan mahkamah beri kelegaan

Sebelum itu, pihak berkuasa Australia menolak untuk mengekstradisinya kerana negara itu menentang pelaksanaan hukuman mati.

Pada November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Australia membebaskan Sirul setelah menolak penahanan tanpa had ke atas individu yang tidak boleh dihantar pulang.

Menurut media tempatan, keluarga Sirul lebih suka dia tinggal di Australia walaupun terdapat pembaharuan undang-undang di Malaysia di mana mahkamah kini boleh memilih sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun.

Kuldeep berkata Azilah berasa "sangat lega" dengan keputusan mahkamah itu.

“Dia akan menjalani baki hukumannya di Penjara Sungai Buloh dan dijangka dibebaskan pada 2034,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, keluarga Altantuya juga berusaha mendapatkan keadilan melalui litigasi sivil di Malaysia.

Pada 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Azilah, Sirul, Abdul Razak dan kerajaan Malaysia membayar ganti rugi RM5 juta (AS $1.06 juta) kepada keluarganya. Keputusan itu kini dalam peringkat rayuan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.