Mahkamah Malaysia Setuju Dengar Semakan Kes Pembunuhan Model Mongolia
2019.12.17
Putrajaya, Malaysia

Mahkamah Malaysia pada Selasa bersetuju mendengar pemohonan petisyen semakan kes bekas pegawai polis dituduh membunuh model Mongolia pada 2006 yang mahu perbicaraan semula selepas Akuan Bersumpah dikeluarkan mengatakan bekas Perdana Menteri Najib Razak mengarahkan pembunuhan tersebut.
Mahkamah Persekutuan di Putrajaya telah menetapkan 20 April depan untuk mendengar petisyen Azilah Hadri, bekas pegawai Unit Tindakan Khas yang telah dikemukakannya minggu lepas bersama dengan Akuan Bersumpah (SD), demikian menurut peguamnya.
Akuan Bersumpah yang difailkan oleh Azilah mengandungi butiran mengenai pembunuhan berusia 13 tahun dengan menamakan Najib, yang merupakan timbalan perdana menteri (TPM) pada ketika itu, serta pembantunya, Abdul Razak Baginda, sebagai orang yang mengarahkannya untuk membunuh Altantuya Shaariibuu selepas diberitahu bahawa model berkenaan adalah seorang perisik asing. Peguam Najib memanggil tuduhan itu "tidak masuk akal."
"TPM menyatakan bahawa perkara ini tidak boleh diketahui umum keranan ianya melibatkan anacaman kepada keselamatan negara. TPM kemudiannya mengarahkan saya untuk jalankan operasi sulit untuk menangkap dan menghapuskan perisik tersebut dengan sulit dan musnahkan mayatnya," kata Azilah dalam akuan bersumpahnya yang dikeluarkan dalam Bahasa Malaysia, sesalinan akuan itu diperolehi BeritaBenar daripada peguamnya.
Azilah, bekas komando dari UTK, pasukan elit polis juga mendakwa Najib dan Abdul Razak telah menggunakan gerak tangan ketika mereka memberitahunya secara berasingan untuk menghapuskan Altantuya, selain mendakwa beliau memberitahu Najib bahawa laporan polis perlu dibuat mengenai wanita yang didakwa sebagai perisik asing itu, tetapi Najib menentangnya.
"Saya bertanya kepada TPM apa yang dimaksudkan dengan tangkap dan hapuskan perisik asing tersebut, dan TPM menjawab: 'Shoot to kill,' [tembak mati] sambil menunjukkan isyarat memotong leher. Apabila ditanya berkenaan maksud musnahkan mayat perisik asing itu, TPM menjawab: 'Lupuskan mayat perisik asing, hilangkan kesan.' "
Dalam akuan bersumpah bertarikh 17 Oktober, Azilah berkata Najib telah memerintahkannya menggunakan bahan letupan ketenteraan untuk menghapuskan mayat.
Azilah, yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang di Selangor, berkata Najib memberi perintah itu 13 tahun lalu iaitu pada 17 Oktober 2006.
Beliau dan seorang lagi anggota UTK, Sirul Azhar Umar, didapati bersalah kerana membunuh Altantuya pada malam 19 Oktober atau pagi 20 Oktober. Sirul telah melarikan diri ke Australia, di mana beliau kini ditahan di pusat tahanan imigresen negara itu, sejak Januari 2015.
Peguam Azilah, J. Kuldeep Kumar, mengesahkan butiran akuan bersumpah itu dan juga tarikh permohonan semakan kes di mahkamah.
"Ya, kami mengesahkan bahawa kami telah memfailkan permohonan semakan yang disokong oleh afidavit dan SD [akuan bersumpah]," katanya kepada pemberita selepas prosiding pengurusan kes di Istana Keadilan di Putrajaya pada Selasa.
Peguambela Najib, Muhammad Shafee Abdullah, yang menghadiri prosiding berkenaan, telah mencabar semakan itu.
"Ini sukar dipercayai, sangat sukar dipercayai sebagai tuntutan bahawa seekor lembu melompat ke atas bulan. Ini adalah tidak masuk akal," kata Shafee kepada pemberita selepas prosiding mahkamah.
Shafee berkata beliau campur tangan kerana Azilah telah membabitkan Najib.
"Kami tidak peduli sama sekali ... jika seseorang mahu menyelamatkan nyawanya, jika dia mahu semakan semula dan mengatakan tidak ada bukti, atau hakim membuat kesilapan, saya akan menyokongnya," katanya.
"Tetapi apa yang kami tentang adalah bahawa mereka dengan tiba-tibanya telah membabitkan anak guaman saya dengan cara yang sangat hebat. ... Apa yang mereka katakan adalah cerita yang mengarut dan tidak boleh dipercayai," kata Shafee.
Peguam yang mewakili keluarga Altantuya turut hadir semasa prosiding mahkamah pada Selasa itu.
Altantuya berusia 28 tahun pada Oktober 2006 ketika beliau ditembak mati dan tubuhnya diletupkan di sebuah kawasan hutan terpencil di luar Kuala Lumpur.
Empat tahun sebelum itu, Altantuya bekerja sebagai penterjemah semasa rundingan pembelian dua kapal selam kelas Scorpene dari DCNI agensi perkapalan gergasi Perancis dengan kerajaan Malaysia.
Beliau dikatakan mempunyai hubungan romantis dengan Abdul Razak, seorang penganalisis pertahanan yang rapat dengan Najib, yang pada masa itu adalah menteri pertahanan, iaitu pada tahun 2002 di bawah permerintahan Perdana Menteri Mahathir Mohamad. Abdul Razak telah dibicarakan tetapi dibebaskan daripada bersubahat dengan jenayah berkenaan.
Pada Jun 2018, iaitu sebulan selepas Mahathir menggantikan Najib sebagai perdana menteri apabila gabungan Pakatan Harapan memenangi pilihanraya, kerajaannya telah mengumumkan bahawa polis akan membuka semula siasatan kes pembunuhan ke atas Altantuya.