Naib Ketua Pemuda Amanah Dipenjara 8 Bulan Dibawah Akta Hasutan

Haireez Azeem Azizi
2016.08.25
Kuala Lumpur
151130-MY-POLIS620.jpg Polis Malaysia sedang bertugas mengawal keselamatan semasa demonstrasi pro-kerajaan di Kuala Lumpur, 16 September 2015.
AFP

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis telah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar atas kesalahan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan sewaktu demonstrasi tahun lepas.

Hakim Shamsudin Abdullah dalam ketika menjatuhkan hukuman menyebut. kata-kata hasutan yang digunakan oleh Mohd Fakhrulrazi berunsur kebencian dan ketidak setiaan kepada pentadbiran negara.

“Kata-katanya berkecenderungan untuk menghasut dan menimbulkan kebencian terhadap kerajaan dan badan kehakiman. Tertuduh perlu jalani hukuman penjara bermula hari ini,” tambah hakim berkenaan.

Mohd Fakhrulrazi, seorang ustaz, pada 8 September tahun lepas, telah didakwa mengeluarkan ucapan yang menyebut sistem kehakiman negara Malaysia dikawal oleh kerajaan semasa menyertai demontrasi jalanan #KitaLawan untuk bebaskan Anwar Ibrahim.

Perhimpunan #KitaLawan dianjurkan oleh parti pembangkang bertujuan menuntut supaya ketua pembangkang, Anwar Ibrahim yang kini dihukum penjara lima tahun berkaitan kes liwatnya dibebaskan.

Beliau yang pada masa itu memegang jawatan sebagai Bendahari Pemuda PAS didakwa membuat kesalahan tersebut di hadapan Kompleks Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman di ibukota pada pukul 4.30 petang pada 21 Februari 2015.

Parti Amanah adalah sebuah parti baru, dan anggotaannya terdiri daripada serpihan ahli PAS. Ia ditubuhkan selepas beberapa ahli dari golongan profesional dalam PAS kecewa kerana ditolak daripada memegang beberapa jawatan utama di Muktamar tahunan PAS pada Jun tahun lepas.

Bagaimanapun, mahkamah seksyen telah membuat keputusan untuk membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan Mohd Fakhrulrazi di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah juga menaikkan jumlah jaminan daripada RM1,000 kepada RM5,000 dengan seorang penjamin.

 

 

 

 

 

Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar

‘Bayar jaminan’

Dalam pada itu, Pegawai Media AMANAH, Mohd Nazri Abdullah  mengesahkan Mohd Fakhrulrazi telah membayar wang jaminan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

"Dia (Mohd Fakhrulrazi) sudah bayar wang jaminan itu dengan seorang penjamin dan sekarang ini kita hanya menunggu keputusan daripada Mahkamah Tinggi," katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Khamis.

Mohd Fakhrulrazi didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan dan di bawah Seksyen 4 (1) akta sama yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, peguamnya Ariff Azami Hussein berkata, ini adalah kesalahan pertama anak guamnya dan meminta mahkamah untuk memberinya peluang kedua dan tidak mengenakan hukuman penjara.

Katanya, anak guamnya juga berpotensi dan mungkin akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang dan beliau meminta denda tidak lebih daripada RM2, 000.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim memanggil lima saksi dalam perbicaraan, manakala Mohd Fakhrulrazi memanggil dua saksi - dirinya dan Anggota Dewan Undangan Negeri Teja, Perak, Chang Lih Kang dari Parti Keadilan Rakyat.

Sementara itu, Ketua Sosialis Pemuda DAP  Selangor Teh Hoong Keat berkata pemenjaraan itu merupakan satu lagi episod hitam bagi sistem demokrasi di negara ini.

“Kes ini melambangkan pencabulan hak asasi dan demokrasi di negara ini. Pemenjaraan beliau akan pasti menjadi satu lagi episod hitam dalam perjuangan demokrasi di negara ini,

“Ia jelas merupakan satu akta yang bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, prinsip keadilan sejagat dan konvensyen antarabangsa berkaitan hak asasi,” katanya dalam satu kenyataan.

220 kes hasutan pada 2015

Pertubuhan hak asasi manusia terkemuka tempatan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dalam laporan tahunan Hak Asasi Manusia 2015 yang bertajuk 'Hak Sivil dan Politik' berkata bahawa sebanyak 220 kes di bawah Akta Hasutan 1948 berjaya didokumentasikan sepanjang tahun lepas.

Menurut laporan itu, sebahagian besar daripada kes-kes tangkapan di bawah akta itu melibatkan pembela hak asasi manusia dan ahli politik pembangkang.

Manakala, Jabatan Negara Amerika Syarikat melalui Laporan Negara Hak Asasi Manusia 2015 yang dikeluarkan pada bulan April menyatakan bahawa kerajaan Malaysia menguatkuasakan undang-undang akta itu untuk menakut-nakutkan pengkritik Perdana Menteri Najib Razak dengan pelbagai siasatan, penahanan, penangkapan dan pertuduhan terhadap ahli politik pembangkang masyrakat sivil dan wartawan.

Undang-undang berkenaan telah mentakrifkan "hasutan" secara meluas dan telah meletakkan banyak batasan terhadap kebebasan bersuara, terutamanya mengenai isu-isu politik yang sensitif, menurut laporan oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia.

Pengkritik di Malaysia pula berhujah bahawa undang-undang berusia 68 tahun bercanggah dengan jaminan perlembagaan persekutuan negara itu  mengenai kebebasan bersuara.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.