Mahkamah Putuskan Anak Tidak Sah Taraf Tidak Boleh Berbin, Bintikan 'ayah'
2020.02.13
Kuala Lumpur, Malaysia

Mahkamah Malaysia memutuskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh merujuk kepada undang-undang Islam untuk tidak membenarkan penggunaan nama bapa terhadap anak yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, keputusan yang dianggap tragik dan mendatangkan stigma kepada kanak-kanak dari kategori itu, demikian menurut aktivis.
Dalam satu keputusan yang dipersetujui secara majoriti oleh panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada Khamis bagaimanapun bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini bahawa JPN tidak boleh meletakkan 'Bin atau Binti Abdullah' sebagai gantian kepada nama bapa terhadap anak dari kategori berkenaan.
Penghakiman itu dibuat mahkamah tersebut terhadap rayuan yang dikemukakan oleh JPN berhubung satu kes yang melibatkan seorang kanak-kanak Melayu Islam yang berasal dari negeri Johor.
Ibu dan bapa kanak-kanak berkenaan sebelum ini telah mencabar tindakan Ketua Pengarah JPN yang meletakkan 'Bin Abdullah' sebagai nama bapa kanak-kanak tersebut, yang dikategorikan sebagai anak tidak sah taraf atau luar nikah menurut undang-undang Islam Johor.
Rumusan penghakiman Mahkamah Persekutuan oleh empat daripada tujuh hakim telah bersetuju bahawa kanak-kanak Islam yang dikategorikan sebagai anak tidak sah taraf tidak boleh dinamakan dengan nama individu yang mengaku sebagai bapanya kerana ia bukanlah nama keluarga.
Hakim bersetuju bahawa Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (APKK) mengenai nama keluarga (surname) tidak terpakai keatas kanak-kanak Melayu Islam atas alasan bahawa pendirian yang dipakai Peguam Negara yang orang Melayu tidak mempunyai 'surname'.
"Seksyen 13A APKK tidak terpakai ke atas pendaftaran kelahiran anak-anak Islam Melayu. Ia tidak membolehkan anak itu dinamakan dengan nama individu yang mengaku sebagai bapanya kerana ia bukanlah nama keluarga seperti dinyatakan dalam Seksyen 13A APKK," kata kenyataan media yang merumuskan keputusan majoriti kesemua hakim yang dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Khamis itu.
Manakala dalam keputusan mengenai penggunaan 'Bin Abdullah' pula, empat hakim berkenaan mendapati bahawa Ketua Pengarah JPN telah bertindak secara salah apabila mengambil dua fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang menetapkan bahawa kanak-kanak Islam tidak sah taraf mesti dibinkan atsu dibinti dengan Abdullah.
Ini adalah kerana fatwa yang digunapakai itu tidak digazetkan di negeri Johor, dan oleh itu tidak bersifat mengikat (binding).
"Berdasarkan kepada semua alasan di atas, (mahkamah ini) membenarkan sebahagian daripada rayuan pemohon. Arahan oleh Mahkamah Rayuan dengan ini diketepikan.
"Dengan ini Ketua Pengarah JPN diarahkan untuk membuang 'Bin Abdullah' dari Sijil Kelahiran responden pertama. Nama responden pertama tanpa 'Bin Abdullah' hendaklah dikekalkan." demikian antara rumusan keputusan hakim yang bersidang bagi kes tersebut.
Responden pertama adalah kanak-kanak yang kesnya didengar tetapi namanya tidak dikeluarkan oleh Mahkamah kerana masih berada di bawah umur.
Tragik dan stigma
Seorang aktivis kebajikan kanak-kanak, Dr Hartini Zainudin pula menyifatkan keputusan mahkamah itu, sebagai sesuatu yang "tragik" dan "mengelirukan" kerana ia boleh menyebabkan kanak-kanak yang dikategorikan sebagai anak tidak sah taraf atau luar nikah menghadapi stigma yang dihalalkan undang-undang.
"Saya berasakan bahawa ia adalah sesuatu yang tragik bahawa pada masa kini, kita menghina kanak-kanak, memberi label dan stigma dengan cara yang dibenarkan undang-undang. Ia adalah sesuatu yang teruk," kata beliau dalam hantaran pesanan selepas dihubungi BeritaBenar.
Sementara itu, seorang pakar undang-undang Rafique Rashid Ali menerangkan bahawa keputusan mahkamah untuk tidak membenarkan kanak-kanak berkenaan menggunakan nama bapa adalah berdasarkan beberapa faktor.
Menurut beliau, keputusan Mahkamah Persekutuan itu menunjukkan bahawa prinsip syariah negeri Johor dan Majlis Fatwa Johor terpakai di dalam kes berkenaan, melangkaui kuasa Seksyen 13A APKK yang hanya memperuntukkan mengenai nama keluarga.
Katanya, berdasarkan rumusan keputusan mahkamah itu, panel hakim telah mengambil kira mengenai status ibu dan bapa kanak-kanak berkenaan yang merupakan orang Islam.
"Sebagai orang Islam di Johor, mereka adalah tertakluk kepada undang-undang negeri berkenaan berkaitan Islam. Apabila ada isu berkenaan agama, ia akan mengikut bidang kuasa undang-undang Islam. Keduanya, undang-undang sivil (yang ada) pula tidak boleh mengatasi kerana Seksyen 13A APKK hanyalah memperuntukkan mengenai 'surname'," katanya kepada BeritaBenar.
Pada 2016, ibubapa kanak-kanak berkenaan telah memfailkan satu permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi apabila permintaan mereka untuk memasukkan nama bapa ke dalam sijil kelahiran kanak-kanak tersebut ditolak oleh JPN.
Mahkamah Tinggi bagaimanapun menolak permohonan itu, sebelum pasangan berkenaan membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Rayuan kemudiannya pada 25 Mei 2017 telah membuat keputusan untuk menukar keputusan Mahkamah Tinggi dengan memutuskan bahawa peruntukan-peruntukan di dalam APKK membenarkan anak Muslim tidak sah taraf menggunakan nama bapa atau ibunya.
Susulan keputusan Mahkamah Rayuan itu, JPN kemudiannya telah memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.