Lima ahli keluarga suspek serangan balai polis ditahan bawah SOSMA
2024.05.24
Kuala Lumpur

Lima ahli keluarga seorang lelaki yang ditembak mati dalam kes serangan maut di sebuah balai polis di Johor ditahan semula pada Jumaat, di bawah undang-undang keselamatan Malaysia - SOSMA, demikian kata Ketua Polis Negara.
Susulan daripada serangan minggu lalu itu, kesemua anggota keluarga suspek berkenaan telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) setelah dikaitkan dengan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI), kata Razarudin Husain.
SOSMA yang dikuat kuasa pada 2012 membenarkan seseorang ditahan tanpa bicara selama 28 hari bagi kes keganasan, jenayah terancang atau mengancam kedaulatan negara.
Razarudin berkata siasatan pihak polis mendapati kesemua ahli keluarga suspek mempunyai fahaman radikal.
"Lima beranak itu kita tahan di bawah SOSMA hari ini (Jumaat) selepas tempoh reman tamat. Apa yang saya sebut sebelum ini, disyaki bapanya memang ahli Jemaah Islamiyah (JI) seperti dalam rekod kita (polis), kita maklum begitu pada awalnya kerana berhubung siasatan ke arah mana.
"Apabila kita (polis) memanggil saksi, kejiranan di Ulu Tiram, kita dapati keluarga suspek memang tidak bercampur dengan orang. Adik beradik suspek kecuali yang sulung tidak habis sekolah.
"Jadi yang mereka bawa memang fahaman dan ideologi radikal," kata Razarudin pada sidang media di Kuala Lumpur.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada Rabu berkata, siasatan polis ke atas lima ahli keluarga suspek mendapati mereka tidak bercampur dengan masyarakat atas alasan antaranya mempercayai penduduk setempat adalah kafir.
Bagaimanapun, beliau menafikan serangan tersebut mempunyai kaitan dengan JI sebaliknya suspek bertindak bersendirian atau 'lone wolf' meskipun bapanya merupakan bekas anggota kumpulan pengganas.
Dalam kejadian pada awal pagi 17 Mei lalu, seorang lelaki berumur 21 menyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bharu hingga menyebabkan dua konstabel polis maut sebelum beliau mati ditembak manakala seorang lagi anggota berpangkat koperal cedera parah.
Susulan itu, tujuh individu termasuk lima ahli keluarga lelaki berkenaan yang berusia 19 hingga 62 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, dua pelajar institusi pengajian tinggi yang turut direman kerana hadir di balai polis tersebut ketika kejadian telah dibebaskan tanpa syarat pada Rabu lalu.
Razarudin berkata siasatan di bawah SOSMA dijalankan oleh Cawangan Khas Bukit Aman manakala siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah.
"Sebab kita jumpa paip-paip untuk dibuat pistol angin. Jadi siasatan ini dilaksanakan sekali dengan kerjasama kedua-dua jabatan dalam pasukan polis, tiada masalah," katanya.
Ideologi radikal kekal
Penganalisis keselamatan Mohd Mizan Mohammad Aslam dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia berkata meskipun organisasi JI telah dihapuskan, ideologi kumpulan itu tetap kekal dalam minda ahli-ahlinya yang kini memindahkan pula fahaman itu kepada generasi kedua dalam keluarga mereka.
“Mungkin benar pihak polis tidak mengeluarkan kenyataan mengenai motif serangan dan belum masanya untuk kaitkan dengan JI dari segi gerakan tetapi sebenarnya dari segi ideologi adalah daripada bapa suspek yang sememangnya pengikut JI.
“Dia telah mendoktrinasikan ahli keluarganya dan mengalirkan ideologi radikal kepada anaknya yang telah melakukan serangan di balai polis tempoh hari,” katanya kepada BenarNews.
Mohd Mizan berkata ideologi asas daripada JI itu telah dipindahkan kepada generasi kedua yang merupakan sel yang saling mempunyai hubung kait dan bergerak secara sendirian.
“Apa yang menjadi kerisauan sekarang ialah adakah terdapat banyak sel lain yang terpisah sedang menunggu masa yang sesuai untuk melakukan serangan?” soalnya.