KSU Kementerian Dan Pembantu Ditahan Bersama Wang dan Jongkong Emas

Anis Natasha
2017.01.04
Kuala Lumpur
170104-my-graft-620.jpg Pengurup wang mengira wang kertas ringgit Malaysia untuk pelanggannya di Kuala Lumpur, 11 Jun 2015.
AFP

Seorang pegawai tinggi kerajaan Malaysia telah ditahan badan pencegah rasuah negara itu pada Rabu kerana disyaki terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa dengan rampasan wang tunai dan jongkong emas bernilai RM3 juta, menurut kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Dalam kenyataan itu, pegawai kerajaan berpangkat Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian dan bergelar “Datuk” telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya di USJ, Subang Jaya, Selangor pada Selasa pagi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM Azam Baki dalam kenyataan berkata turut ditahan, seorang lelaki berusia 29 tahun, yang juga pembantunya.

“KSU tersebut yang berusia 59 tahun dipercayai telah menyalahguna kuasa jawatan dan kedudukannya dengan menerima rasuah daripada mereka yang berkepentingan.

“Lelaki berusia 29 tahun dipercayai berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan dengan KSU terbabit,” kata Azam dalam kenyataan itu.

Beliau berkata, agensi pencegahan rasuah berkenaan juga merampas serta menyita wang dan jongkong emas bernilai kira-kira RM3 juta dalam serbuan berkenaan.

Akhbar The Star telah menamakan pegawai tinggi kerajaan itu sebagai Mohd Arif Ab Rahman dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Persekutuan selepas Azam mengesahkannya kepada akhbar berkenaan.

Mohd Arif, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dari Universiti Malaya dan menyertai perkhidmatan awam selama lebih 33 tahun bermula dengan Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Disember 1981, dilantik ke jawatan KSU kementerian berkenaan pada Oktober 2015, menurut laporan akhbar tempatan dua tahun lepas.

Beliau sebelum ini pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan KSU Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Pegawai Kewangan Negeri Selangor; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Negeri Subang Jaya dan Pegawai Daerah Sepang sebelum dilantik sebagai ke jawatan KSU, menurut laporan agensi Berita Nasional Nasional Malaysia bertarikh 16 Oktober 2015.

Penahanan Mohd Arif, merupakan tangkapan pertama berprofil tinggi bagi tahun 2017, selepas SPRM telah berjaya melakukan beberapa siri tangkapan besar melibatkan pegawai tinggi kerajaan dan berjaya merampas hasil suapan dan rasuah bernilai ratusan juta ringgit sepanjang tahun lepas.

SPRM telah menyiasat dan mendakwa beberapa kes berprofil tinggi melibatkan pegawai tinggi kerajaan, pemimpin negeri di Sabah, Melaka, Pulau Pinang dan Kelantan termasuk kes rasuah melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang kini dibicarakan di mahkamah sebelum ini.

Menurut Azam, kaedah Siasatan Berasaskan Risikan (IBI) yang diguna pakai oleh agensi itu merupakan inisiatif penyiasatan yang proaktif dan kejayaannya terbukti dalam kes-kes besar seperti Ops Water di Sabah, Ops Bauksit di Pahang dan kes sindiket penyelewengan dana kerajaan lebih RM100 juta melibatkan pegawai kanan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Tidak banyak agensi di dunia menggunakan IBI. Kaedah IBI membolehkan pegawai-pegawai memulakan kerja-kerja risikan. Ini akan memudahkan penyiasatan dijalankan.  Maka, penggunaan IBI akan dipertingkatkan.

"Kalau tiada perisikan yang berkesan, sudah tentu SPRM tidak boleh membongkar kes besar seperti Ops Water di Sabah yang merupakan penemuan wang terbesar dalam sejarah negara," katanya dalam temu bual eksklusif Slot Tetamu Khas di MACCfm pada Selasa.

Beliau juga menambah sebanyak 982 kertas siasatan telah dibuka, 932 tangkapan dibuat manakala 258 dituduh di mahkamah sehingga 15 Disember lepas.

Katanya, agensi itu juga berjaya menyita kira-kira RM200 juta di seluruh negara dan 70 peratus akan dilucutkan hak kepada hasil negara.

"Ini merupakan salah satu sumbangan SPRM kepada negara. Dengan cara ini, kita dapat membanteras rasuah ke akar umbi tetapi kita juga membantu memulangkan wang milik negara dan juga mencegah harta kerajaan daripada diseleweng.

Semasa agensi itu berada di bawah kepimpinan bekas Ketua Pesuruhjaya Abu Kassim Mohamed, SPRM telah menjalankan siasatan tentang kes yang berkaitan dengan skandal dana negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

SPRM, sejak Julai lepas diterajui oleh Dzulkifli Ahmad, merupakan Ketua Pasukan penguatkuasaan pemulihan pendapatan Negara di Jabatan Peguam Negara.  Semasa awal perlantikannya, beliau berkata, fokus utamanya selepas menerajui SPRM adalah untuk memastikan sektor perkhidmatan awam bersih daripada gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Kita tidak mahu perkhidmatan awam dicemari dengan perbuatan rasuah dan ada pegawai kanan yang dilihat menjalani kehidupan mewah melebihi pendapatannya serta mengumpul harta melalui perbuatan jenayah rasuah,” katanya.

Sementara itu, pada Selasa, sebuah portal media Malaysia melaporkan bahawa seorang pegawai kanan agensi anti-rasuah itu telah bersara dua tahun awal kerana kegagalan agensi berkenaan mendakwa kes yang melibatkan SRC International, anak syarikat dana negara yang bermasalah 1Malaysian Development Berhad (1MDB)

Siasatan keatas kes yang melibatkan dakwaan bahawa sebanyak RM42 juta dana dari anak syarikat itu telah berakhir dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Najib Razak. Tetapi Peguam Negara Malaysia mendapati bahawa kes itu tidak mempunyai merit, dan ia tidak dibawa ke mahkamah.

"Saya bukan sahaja kecewa, tetapi saya juga merasakan seperti saya telah berdosa terhadap 30 juta rakyat Malaysia apabila kes SRC itu tidak boleh dibawa ke mahkamah," kata bekas ketua bahagian operasi khas SPRM Bahri Mohd Zin seperti dilaporkan Free Malaysia Today, yang turut memuatnaik skrin perbualan dalam talian antara portal berkenaan dan pegawai agensi anti rasuah itu.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, SPRM menafikan laporan berkenaan dengan berkata, "Dalam hal berhubung kenyataan yang dilaporkan oleh sebuah portal media pada hari ini yang menyatakan bahawa Dato Bahri memilih untuk bersara awal kerana kecewa dengan siasatan terhadap SRC International (SRC), gagal untuk dibawa ke mahkamah, SPRM telah menghubungi Dato Bahri dan dia menafikan membuat apa-apa kenyataan kepada portal berkenaan, " kata kenyataan itu.

Usaha BeritaBenar untuk menghubungi Bahri bagi mendapatkan komen, tidak berjaya.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.