Anwar Fail Permohonan Minta Najib, Shafee Dedah Penyata Kewangaan
2017.06.15
Kuala Lumpur

Bekas Ketua Pembangkang yang dipenjarakan, Anwar Ibrahim, pada Khamis memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meminta Perdana Menteri, Najib Razak dan pendakwa raya Muhammad Shafee Abdullah mendedahkan penyata kewangan berhubung dakwaan bayaran sebanyak RM9.5 juta.
Peguam Anwar, Latheefa Koya ketika dihubungi memberitahu permohoan tersebut meminta Najib dan Muhammad Shafee mendedahkan penyata kewangan dari Ogos hingga Oktober 2013 serta Januari hingga Mac 2014 yang perlu diserahkan kepada mahkamah dalam tempoh tujuh hari.
“Permohonan ini dibuat sebagai permohonan sokongan kepada saman pemula yang dibuat oleh Anwar pada Jumaat lepas, untuk membatalkan sabitan dan menuntut pembebasannya dari hukuman penjara lima tahun berikutan pendedahan bayaran RM9.5 juta oleh Najib Razak kepada peguam yang dilantik menjadi pendakwa raya Muhammad Shafee,” katanya kepada BeritaBenar pada Khamis.
Jelas Latheefa, permohonan itu membabitkan bayaran berjumlah RM4.3 juta pada 11 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.
Anwar, 69, pada Jumaat memohon deklarasi sabitan oleh Mahkamah Rayuan atas pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan bertarikh 7 Mac 2014 dan perintah Mahkamah Persekutuan bertarikh 10 Februari 2015 yang mengesahkan perintah mahkamah rayuan adalah tidak sah dan terbatal serta bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan
Muhammad Shafee dilantik menjadi pendakwa raya oleh kerajaan bagi mengetuai rayuan kes membabitkan Anwar di Mahkamah Rayuan pada 2014 dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri pada 11 Mac 2015, memberitahu Parlimen kerajaan hanya membayar RM1,000 kepada Shafee untuk mengetuai kumpulan pendakwaan kes itu.
Nancy berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Rakyat Bakri, Er Teck Haw dari DAP.
Bagaimanapun, pada 31 Mei lepas, Sarawak Report dalam laporannya mendakwa peguam itu telah dibayar sebanyak RM9.5 juta yang disalurkan terus daripada akaun peribadi Najib yang berpunca daripada syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Laman web Sarawak Report itu mendakwa Shafee menerima pembayaran dalam bentuk dua transaksi daripada Najib dengan laman itu dilaporkan menerbitkan salinan dua slip yang dibayar pada September 2013 dan Februari 2014.
Pembayaran itu dibuat dua minggu sebelum Mahkamah Rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Latheefa menambah, asas yang digunakan oleh Anwar ialah penyata kewangan itu sudah tentu dipegang oleh Najib dan Muhammad Shafee dan mereka mempunyai pengetahuan mengenai penyata tersebut.
“Pembayaran itu telah melanggar haknya (Anwar) dibawah Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkannya perlu mendapat perbicaraan yang adil tetapi dengan pelantikan Muhammad Shafee sebagai pendakwa raya khas dalam kes tersebut beliau tidak mendapat perbicaraan yang adil,” tegasnya.
Anwar dipenjara selama lima tahun kerana didapati bersalah melakukan kesalahan meliwat itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang, pada 26 Jun 2008.
Pada Disember 2016, Anwar gagal dalam rayuan terakhirnya untuk dibebaskan dari penjara selepas Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah tertinggi di Malaysia, menolak permohonannya untuk menyemak semula sabitan tuduhan oleh Mahkamah Rayuan.
Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 2012 tetapi Mahkamah Rayuan mengubah keputusan tersebut dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atasnya pada 2014.
Pada Januari lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan Anwar untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap tindakan Lembaga Pengampunan yang menolak permohonannya pada Mac 2015.