Ketua Pembangkang Malaysia Cabar PM Di Mahkamah Kerana Gantung Parlimen Semasa Darurat
2021.01.26
Kuala Lumpur

Nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Malaysia untuk menggantung Parlimen berikutan penularan COVID-19 adalah tidak sah dan tidak mengikut Perlembagaan, kata ketua pembangkang Anwar Ibrahim dalam saman yang difailkan minggu ini, yang merupakan saman kedua dikemukakan terhadap perdana menteri itu pada Januari.
Kenyataan Istana Negara pada 12 Januari memaklumkan Muhyiddin telah memohon Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan darurat di seluruh negara, tetapi tidak menyebut bahawa Parlimen akan digantung. Dalam samannya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin, Anwar mendakwa Muhyiddin telah menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya menggantung badan perundangan itu.
"Saya ingin menyatakan bahawa kabinet yang diterajui oleh Muhyiddin telah bertindak dengan niat buruk dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung Parlimen, yang merupakan salah guna jawatan mereka, dalam usaha mencapai matlamat yang terjamin," menurut dokumen permohonan kebenaran semakan kehakiman Anwar itu.
Matlamat itu adalah "untuk mencegah usul tidak percaya daripada dikemukakan dan dibentangkan terhadap Muhyiddin kerana tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa Muhyiddin telah kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen dalam badan perundangan itu," menurut dokumen tersebut.
Nasihat ini adalah "tidak sah dan tidak wajar secara prosedurnya" kerana Muhyiddin "tidak mempunyai mandat untuk memberikan nasihat sedemikian," kata Anwar.
Yang di-Pertuan Agong berkenan mengisytiharkan darurat pada hari sama kerajaan Muhyiddin kehilangan sokongan majoriti apabila ia hanya memperoleh sokongan 109 daripada 220 Ahli Parlimen. Seri Paduka bertitah bahawa peningkatan kes koronavirus yang membimbangkan merupakan sebab diisytiharkan darurat, yang dijadualkan berlangsung sehingga 1 Ogos, kecuali jika Seri Paduka memintanya ditamatkan lebih awal.
Dalam perutusannya yang disiarkan di televisyen sejurus selepas perisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong, Muhyiddin berkata bahawa Parlimen dan Dewan Undangan Negeri akan digantung selain pilihan raya tidak akan diadakan semasa darurat.
Permohonan kebenaran semakan kehakiman Anwar bukan untuk mencabar perisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tetapi hanya berkaitan dengan nasihat perdana menteri kepada Seri Paduka supaya menggantung Parlimen, kata Ramkarpal Singh, seorang daripada peguam yang mewakili ketua pembangkang itu, semasa menekankan demikian dalam satu kenyataan pada Selasa.
Namun, masih belum jelas bagaimana Anwar memperoleh maklumat bahawa Muhyiddin telah menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya menggantung badan perundangan Malaysia itu. Pegawai ketua pembangkang itu tidak segera melayani permintaan BeritaBenar untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.
Pegawai Muhyiddin juga tidak membalas mesej daripada pihak BeritaBenar.
'Pendekatan betul' Anwar
Peguam perlembagaan Lim Wei Jiet berkata keabsahan nasihat Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong supaya diisytiharkan darurat boleh dihujah di mahkamah.
"Anwar bertindak betul dalam pendekatannya untuk mencabar nasihat perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong supaya diisytiharkan darurat, dan bukannya mengenai keputusan Seri Paduka untuk mengisytiharkan darurat," kata Lim kepada BeritaBenar.
"Pada pandangan saya, permohonan Anwar boleh disemak oleh mahkamah jika Anwar dapat membuktikan adanya niat buruk atau motif tersembunyi dalam nasihat perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, manakala keputusan muktamad Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat tidak boleh disemak oleh mahkamah."
Kes lain
Satu kes lain yang difailkan pada 18 Januari turut mempersoalkan keabsahan seorang perdana menteri, yang didakwa telah kehilangan sokongan majoriti Parlimen, untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan darurat.
Kerajaan Muhyiddin kini menerima sokongan kurang daripada separuh penggubal undang-undang iaitu 109 daripada 220 orang. Dan pada Sabtu, Anwar mendakwa bahawa "114 atau 115 Ahli Parlimen" menolak darurat.
Sebahagian besar pembangkang juga mengkritik nasihat Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan darurat, dengan mendakwa ia merupakan tindakannya untuk terus berkuasa setelah kehilangan sokongan majoriti Parlimen.
Muhyiddin dan parti pimpinannya Bersatu menubuhkan gabungan Perikatan Nasional untuk membentuk kerajaan yang tidak dipilih daripada pilihan raya pada tahun lalu setelah kerajaan Pakatan Harapan, yang dipilih pada pilihan raya umum 2018, tumbang akibat perebutan kuasa.
Sejak itu, UMNO, parti yang dominan dalam gabungan kerajaan, tidak senang dengan Bersatu dan menggesa supaya diadakan pilihan raya umum.
Muhyiddin telah menjelaskan bahawa niatnya untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya diisytiharkan darurat bukanlah bagi menghalang pilihan raya diadakan tetapi untuk membendung penularan jangkitan koronavirus.
Pandemik semakin menular
Anwar dan banyak pemimpin pembangkang lain menyatakan bahawa Muhyiddin menggunakan pandemik koronavirus yang semakin menular sebagai alasan untuk mengisytiharkan darurat.
Malaysia, sejak beberapa minggu lalu, secara konsistennya mencatatkan empat angka dalam jumlah jangkitan kes COVID-19 baru harian. Pada Selasa, hampir 200,000 kes dilaporkan dengan 700 orang meninggal dunia akibat virus tersebut.
Jumlah pesakit yang memerlukan rawatan intensif turut meningkat.
Awal bulan ini, Muhyiddin berkata bahawa lonjakan kes koronavirus telah mendorong sistem penjagaan kesihatan berada pada “tahap genting."
Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Anwar berkata bahawa nasihat perdana menteri untuk menggantung Parlimen adalah "sangat tidak seimbang kerana penggantungan Parlimen sama sekali tidak diperlukan untuk memerangi pandemik COVID-19."
Sebaliknya, penggantungan Parlimen akan memberi perdana menteri dan kerajaan "kuasa mutlak untuk menggubal undang-undang tanpa melalui proses asas iaitu periksa dan imbang," kata Anwar.
Dalam rakaman video yang dikongsikan di Twitter pada Selasa, Anwar menyatakan bahawa penggantungan Parlimen akan menjejaskan rakyat Malaysia semasa pandemik itu.
"Tahun lalu ... kerajaan mengelak dan menangguh persidangan Parlimen berkali-kali untuk mengelakkan berdepan kemungkinan cabaran terhadap sokongan majoriti yang tidak wujud. Tahun ini… kerajaan ingin mengelak lagi Parlimen, dengan berselindung di sebalik pengisytiharan darurat yang tidak perlu,” kata Anwar.
"Akibatnya pasti akan menyebabkan penderitaan yang tidak wajar dan berpanjangan dalam kalangan rakyat Malaysia.”
Dua kumpulan sektor perubatan Malaysia juga menyatakan bahawa Muhyiddin tidak boleh mempolitikkan sistem kesihatan negara, dan perlu menggunakan kuasa yang diberikan kepadanya semasa darurat dengan penuh bertanggungjawab,
Mereka menyatakan bahawa kerajaan perlu merangka satu tindak balas kolaboratif COVID-19 yang menumpukan kepada kebajikan rakyat.