Anwar Sekali Lagi Gagal Bebaskan Diri Dari Hukuman Liwat

Hata Wahari
2018.03.12
Kuala Lumpur
180312-my-anwarcourt-1000.jpg Penyokong bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim menunjukkan sokongan terhadap pemimpin pembangkang itu di perkarangan Komplek Mahkamah Kuala Lumpur, 12 Mac, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pemimpin pembangkang de facto yang dipenjarakan, Anwar Ibrahim, sekali lagi gagal dalam usahanya untuk dibebaskan daripada hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat apabila Mahkamah Tinggi  Kuala Lumpur pada Isnin membatalkan samannya yang mendakwa bukti terhadap beliau telah dipalsukan oleh kerajaan Malaysia.

Hakim Nik Hasmat Nik Mohamad mendapati saman yang difailkan oleh bekas timbalan perdana menteri itu pada 17 April 2017, tidak mempunyai sebarang sebab yang munasabah, remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah.

“Saya juga mendapati saman ini merupakan tindakan pintu belakang, menggunakan saman sivil untuk semakan semula sabitan yang telah diputuskan tiga tahun lepas,” kata Hakim itu semasa membuat keputusan berkenaan.

Beliau juga mengarahkan Anwar membayar kos mahkamah sebanyak RM5,000.

Saman yang difailkan itu adalah usaha terakhir Anwar untuk membebaskan dirinya daripada hukuman penjara lima tahun atas sabitan meliwat pada Februari 2015.

Pengasas Parti Keadilan Rakyat itu dijangka akan dibebaskan pada 8 Jun berdasarkan remitan satu pertiga hukumannya, menurut Jabatan Penjara.

Namun, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berkata hukuman dan tarikh pembebasan Anwar boleh berubah jika beliau melakukan kesalahan tatatertib.

“Ia akan menyebabkan tindakan pelucutan remit di bawah Peraturan-Peraturan Penjara 2000,” Ahmad Zahid berkata dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Anwar pada 17 April tahun lalu memfailkan saman dengan mendakwa telah disabitkan dengan tuduhan berasaskan kepada sumpah bohong oleh bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, iaitu saksi utama yang terlibat dalam kes kesalahan meliwat tersebut.

Dalam tuntutan mahkamah yang dibuat, Anwar menyatakan kerajaan Malaysia secara sengaja menipu dan membawa pembantu beliau, Mohd Saiful Bukhari sebagai saksi utama dalam pendakwaan walaupun terdapat bukti yang pembantunya itu tidak boleh dipercayai.

Kerana penipuan yang didakwa dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari, Anwar mendakwa keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan adalah tidak sah dan mesti diketepikan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 44 Akta Keterangan 1950.

Tunggu PRU

Dalam reaksinya terhadap keputusan itu, Anwar berkata tiada hakim yang berani mendengar hujahnya bahawa terdapat dakwaan bahawa seorang peguam kanan telah dibayar jutaan ringgit untuk mensabitkan kesalahannya.

“Kenapa bukti ini tidak dapat dikemukakan dan dijawab," katanya sambil menambah yang beliau tidak terkejut dengan keputusan itu.

Namun, Anwar berkata beliau masih menunggu seorang hakim yang berani untuk membuat keputusan bagi pihaknya.

“Jika tidak, kita tunggulah PRU14,” tambahnya menyentuh pilihan raya ke-14 Malaysia yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Anwar juga pernah memfailkan saman pada Jun lalu yang mendakwa bahawa pelantikan Muhammad Shafee Abdullah, seorang peguam amalan swasta, sebagai pendakwa raya utama dalam rayuan sabitan kes liwatnya bertentangan dengan amalan biasa Peguam Negara.

Anwar juga mendakwa peguam itu bukan pendakwa raya bebas dan tidak melaksanakan kewajipannya secara adil, sambil mendakwa peguam tersebut telah menerima bayaran sebanyak RM9.5 juta (AS$2.22 juta) daripada Perdana Menteri Najib Razak.

Pada 8 Nov, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Azizah Nawawi memutuskan bahawa Anwar telah membuat "tuduhan kosong" mengenai pembayaran berkenaan.

Failkan rayuan

Manakala, peguam Anwar, N. Surendran yang ditemui memberitahu bahawa anak guamnya telah mengarahkannya untuk membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan itu.

Katanya, anak guamnya tidak bersalah dan akan terus berjuang untuk mengenepikan sabitan kesalahan serta akan menggunakan segala saluran undang-undang yang ada untuk mendapatkan pembebasan daripada hukuman penjara.

Pada Disember 2016, Anwar, 70, gagal dalam rayuan terakhirnya untuk dibebaskan dari penjara selepas Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah tertinggi di Malaysia, menolak permohonannya untuk menyemak semula sabitan tuduhan oleh Mahkamah Rayuan.

Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 2012 tetapi Mahkamah Rayuan mengubah keputusan tersebut dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atasnya pada 2014.

Melainkan Anwar mendapat pengampunan, bekas ketua pembangkang itu tidak boleh mencabar Najib dalam pilihan raya umum yang dijadualkan pada pertengahan 2018 kerana undang-undang Malaysia membatalkan kelayakan seseorang yang telah disabit kesalahan oleh Mahkamah, untuk bertanding.

Anwar dibebaskan pada 2004 daripada tuduhan meliwat yang difailkan pada tahun 1998.

Beliau mendakwa bahawa beliau telah diperangkap oleh parti UMNO yang diketuai pada masa itu oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

Para pemimpin kerajaan dan parti UMNO telah menafikan dakwaan Anwar itu.

Mahathir telah meninggalkan UMNO, dan bekas perdana menteri itu telah menyertai Anwar dalam mengkritik Perdana Menteri Najib Razak.

Gabungan pembangkang Pakatan Harapan telah sebulat suara memilih Mahathir sebagai perdana menteri jika beliau memenangi pilihan raya akan datang, dan jawatan itu akan diserahkan kepada Anwar sekiranya beliau diberikan pengampunan diRaja. Tanpa pengampunan tersebut, Anwar akan dihalang daripada berpolitik selama lima tahun.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.