PENJELASAN: Adakah rancangan Anwar hadkan tempoh PM akan terlaksana?

Meskipun wujud desakan reformasi, PAS - parti pembangkang terbesar menentang cadangan hadkan jawatan PM kepada dua penggal.
Iman Muttaqin Yusof dan Ili Shazwani Ihsan
2025.03.25
Kuala Lumpur
PENJELASAN: Adakah rancangan Anwar hadkan tempoh PM akan terlaksana? Penyokong Anwar Ibrahim mengangkat posternya ketika berkumpul di luar pekarangan Istana Negara, Kuala Lumpur, 22 November 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Rancangan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal berdepan tentangan daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS), parti pembangkang terbesar yang menganggapnya sebagai ancaman kepada kepimpinan Melayu-Islam.

Cadangan daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) diketuai Anwar pada Pilihan Raya Umum 2022 bertujuan untuk mengelakkan dominasi politik jangka panjang — satu sindiran kepada pemerintahan Mahathir Mohamad selama 22 tahun (1981–2003) sebelum beliau kembali berkuasa pada 2018.

Bagaimanapun, PAS, sebuah parti konservatif Islam membawa naratif bahawa reformasi itu mengancam dominasi politik orang Melayu yang menurut penganalisis ia boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama dalam landskap politik Malaysia yang semakin berubah.

Sepanjang sejarah Malaysia sejak merdeka enam dekad lalu, seramai 10 pemimpin lelaki Melayu Islam dilantik berkhidmat sebagai perdana menteri bagi mengetuai pentadbiran negara yang berbilang kaum dan agama. 

Perlembagaan Persekutuan menetapkan penduduk majoriti Melayu menikmati beberapa hak keistimewaan tertentu yang tidak dibuka kepada warganegara berketurunan Cina dan India.

Apakah cadangan Anwar dan mengapa ia dikemukakan sekarang?

Dalam kongres Parti Tindakan Demokratik (DAP) minggu lalu—parti komponen terbesar dalam PH yang bergantung kepada sokongan kaum Cina dan India, Anwar mengulangi komitmennya untuk mengehadkan jawatan perdana menteri kepada dua penggal.

Sebelum itu, perkara tersebut dibangkitkan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook yang menggesa kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan reformasi ini kekal, dengan menekankannya ia menjadi sebahagian daripada legasi Anwar.

ANWAR-TERENGGANU.jpg
Perdana Menteri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai ketika menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Sultan Ahmad, Kemaman, Terengganu, 21 Mac 2025. [Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Anwar ketika berucap di hadapan ratusan perwakilan dalam kongres itu menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan tersebut dengan merujuk kepada pemimpin terdahulu yang berkuasa terlalu lama.

“Ada cadangan yang saya setuju seperti mengehadkan tempoh perdana menteri kepada 10 tahun. Seperti yang kita tahu, kalau sampai 22 tahun, boleh rosakkan negara.

“Saya setuju tetapi kita perlu runding dapatkan dukungan semua parti supaya ada dua pertiga sokongan Ahli Parlimen.

“Jangan bimbang, saya tidak akan terus berkhidmat lebih 10 tahun. Dua tahun pun saya sudah penat,” kata beliau.

Beberapa hari kemudian, Anwar mengarahkan Kabinetnya mengkaji cadangan tersebut, menurut jurucakap kerajaan.

Bagaimana kerajaan dapat melaksanakan cadangan ini?

Bagi melaksanakan reformasi ini, kerajaan perlu meminda Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Gabungan Anwar mempunyai bilangan kerusi yang mencukupi untuk meluluskan reformasi ini, yang mana hasil kerjasama dengan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) serta parti politik dari Sabah dan Sarawak, ia membentuk majoriti dua pertiga di Parlimen — syarat utama bagi sebarang pindaan perlembagaan.

Mengapa PAS menentang had penggal ini?

PAS menolak cadangan ini dengan tegas apabila presidennya, Abdul Hadi Awang berpendapat bahawa had penggal bertentangan dengan prinsip Islam.

“Ini kerana kepimpinan adalah amanah suci daripada Allah, bukan sekadar jawatan sementara yang boleh ditukar ganti untuk kepentingan individu,” tulisnya di Facebook minggu lalu.

Beliau juga berpendapat bahawa hanya orang Islam yang patut memimpin Malaysia dan memberi amaran bahawa keabsahan kepimpinan boleh hilang jika pemimpin “mengkhianati rakyatnya.”

Bagaimanapun, penganalisis berpendapat bahawa tentangan PAS bukanlah berpunca daripada prinsip agama semata-mata, tetapi lebih kepada usaha untuk mengekalkan pengaruhnya dalam kalangan pengundi Melayu.

“Syarat yang ditetapkan oleh [PAS] bertujuan untuk menunjukkan bahawa mereka masih relevan dan berkuasa dalam pergolakan politik semasa [Malaysia],” kata Hazree Mohd Turee, pengarah urusan Malaysia untuk BowerGroupAsia, kepada BenarNews.

“Mereka akan terus menampilkan diri sebagai pembela Melayu bagi mengekalkan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu.”



PAS-WAU.jpg
Seorang penduduk di Pasar Kedai Buluh memasang replika wau bulan gergasi dengan logo Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menjelang kempen pilihan raya negeri sebagai mengekalkan tradisi menyambut kepulangan pengundi di Kuala Terengganu, Terengganu, 1 Ogos 2023. [Budi Ahmad/BenarNews]

Penentangan PAS ini berlaku selepas mereka meraih kemenangan besar dalam pilihan raya umum 2022 dan pilihan raya negeri 2023, di mana ia muncul sebagai parti terbesar di Parlimen dan mendominasi negeri-negeri utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia.

Sejak itu, PAS sering menggunakan isu kaum dan agama untuk mengukuhkan sokongan dengan kerap menuduh kerajaan Anwar tunduk kepada kepentingan bukan Melayu, menurut penganalisis.

Apa pendirian UMNO dalam isu ini?

UMNO, parti berteraskan Melayu yang pernah dominan di Malaysia, setakat ini tidak banyak bersuara mengenai bantahan PAS yang berasaskan kaum dan agama.

Namun, laporan menunjukkan bahawa UMNO terbuka kepada had dua penggal selagi proses perlembagaan diikuti.

Penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata idea mengehadkan jawatan perdana menteri kepada orang Melayu-Islam tidak sepatutnya menjadi isu perdebatan.

“Ini tidak sepatutnya menjadi isu sekarang kerana kebanyakan rakyat Malaysia memahami realiti social — Melayu adalah majoriti dan Islam adalah agama rasmi,” katanya kepada BenarNews.

“Adalah tidak realistik untuk berfikir bahawa golongan minoriti akan menguasai majoriti.

“Mana-mana perdana menteri, tanpa mengira kaum sentiasa mentadbir secara inklusif tanpa mengetepikan komuniti minoriti.”

Apakah cabaran dari segi undang-undang dan perlembagaan? 

Pakar perlembagaan memberi amaran bahawa mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri boleh menimbulkan komplikasi dalam sistem beraja di Malaysia.

Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, profesor madya di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) berkata mengehadkan tempoh perdana menteri akan membataskan kuasa prerogatif perlembagaan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43, yang membolehkan baginda melantik mana-mana Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti.

“Sebaik sahaja kita membuat pindaan yang mengehadkan budi bicara Yang di-Pertuan Agong, ia memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja, bukan sekadar majoriti dua pertiga di Parlimen,” kata Wan Ahmad Fauzi kepada BenarNews.

“Ini bukan keputusan politik yang mudah; ia menjejaskan kuasa institusi beraja.”

Adakah Malaysia berpeluang mempunyai perdana menteri bukan Melayu?

Secara perlembagaan, Malaysia tidak menetapkan syarat bahawa perdana menteri mesti Melayu atau Islam tetapi sejak kemerdekaan pada 1957, kesemua mereka adalah Melayu-Islam.

Tambahan pula, perlembagaan juga tidak menetapkan perdana menteri mesti dalam kalangan lelaki tetapi calonnya mesti seorang Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti.

Peguam kanan Haniff Khatri Abdulla berkata walaupun perlembagaan tidak menyatakan syarat kaum atau agama, ia menegaskan empat tiang utama iaitu Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak istimewa Melayu dan Bumiputera serta peranan Raja-Raja Melayu.

“Buat masa ini, seorang perdana menteri bukan Melayu atau bukan Islam tidak realistik secara politik— bukan kerana perlembagaan melarangnya tetapi kerana ia akan mengganggu asas sistem Persekutuan Malaysia,” katanya.

Namun, penganalisis politik Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata hujah bahawa had penggal akan membawa kepada seorang perdana Menteri bukan Melayu lebih kepada taktik politik berbanding kebimbangan sebenar.

“Saya percaya bagi mereka, tadbir urus yang baik termasuklah memastikan PM Melayu sebagai ‘jaminan’ terhadap penyalahgunaan kuasa,” katanya kepada BenarNews.

“Berdasarkan penyelidikan saya, tadbir urus yang baik adalah perkara sekunder berbanding identiti kaum dan agama PM. Semua perbincangan tentang tadbir urus yang baik ini sebenarnya tidak lebih sekadar sandiwara politik.” 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.