Malaysia gesa ASEAN kekal bersatu di tengah ketegangan global kian meningkat
2024.10.09
Kuala Lumpur

Malaysia pada Rabu menyeru anggota blok ekonomi Asia Tenggara untuk kekal bersatu dalam menghadapi ketegangan global yang semakin meningkat dengan memberi amaran bahawa "perpecahan dalaman dalam blok itu" boleh dieksploitasi untuk melemahkan pengaruh dan perpaduan rantau tersebut.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap pada sesi tertutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 di Vientiane, Laos menekankan kepentingan perpaduan ASEAN dengan penganalisis percaya kebimbangan yang semakin meningkat terhadap tekanan luar dan cabaran dalaman blok itu bakal menjadi cabaran pertama beliau.
"Kita tidak boleh terlalu menekankan kepentingan pembentukan dialog dan kerjasama asas persahabatan dan perhubungan baik.
"(Sebaliknya) kami menggalakkan rakan dialog untuk menguruskan perbezaan mereka sendiri bagi mendapatkan hasil positif," kata beliau dalam teks ucapan yang dikongsi oleh pejabatnya.
“Apabila ketegangan global terus meningkat…keretakan dan perpecahan dalam ASEAN berisiko dieksploitasi sehingga menjejaskan pemusatan dan perpaduan ASEAN.”
“Oleh itu, negara anggota ASEAN [mesti] menolak tawaran yang cenderung menyebabkan perpecahan,” tambahnya.
Ingatan perdana menteri itu disampaikan ketika waktu kritikal bagi Malaysia yang akan mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025.
ASEAN yang sekian lama dilihat sebagai model kerjasama serantau, menghadapi tekanan yang kian meningkat daripada kedua-dua keretakan dalaman dan persaingan yang semakin sengit antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
Badan pemikir global sebelum ini telah melahirkan kebimbangan bahawa perpecahan tersebut mungkin menjejaskan komitmen jangka panjang blok itu terhadap pendirian berada 'di tengah' - prinsip bahawa ASEAN perlu bertindak sebagai kuasa yang bersatu dalam landskap diplomatik Asia Tenggara.
Persaingan AS, China
Persaingan antara AS dan China semakin meletakkan anggota ASEAN dalam kedudukan yang sukar, kata penganalisis, dengan kedua-dua kuasa besar itu berusaha untuk mempengaruhi blok serantau tersebut.
Sesetengah anggota seperti Kemboja, Laos dan Myanmar yang telah berkembang dari segi ekonomi dengan bergantung kepada China, sering menyelaraskan dasar luar mereka dengan Beijing.
Sebaliknya, negara seperti Filipina dan Singapura mengekalkan hubungan keselamatan yang erat dengan AS dan condong ke arah Washington dalam isu utama strategik.
“Walaupun menampilkan perpaduan, ASEAN tidak pernah benar-benar sebegitu,” kata Tunku Mohar Mokhtar, penolong professor sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada BenarNews.
“Elit politik sering menggambarkan gambaran yang padu, [tetapi] ketegangan dalaman adalah nyata, terutamanya dalam kalangan negara yang lebih bergantung kepada China seperti Myanmar, Laos dan Kemboja.”
Inisiatif Jalur dan Jalan China (BRI) yang telah menjana berbilion-bilion ke dalam projek infrastruktur di Asia Tenggara telah meluaskan pengaruh Beijing di rantau ini.
Sementara itu, kempen Washington untuk "Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka" bertujuan untuk menentang ketegasan China yang semakin meningkat, khususnya di Laut China Selatan, di mana Beijing turut berdepan dengan tuntutan bertindih dengan beberapa anggota ASEAN termasuk Vietnam, Filipina dan Malaysia.
Bagi Malaysia, negara itu telah mengekalkan dasar "melindungi nilai" antara kedua-dua kuasa, mengimbangi hubungan dengan Washington dan Beijing, kata penganalisis Mohar.
“Malaysia kelihatan mengimbangi dengan baik, tetapi ia juga menimbulkan kesangsian kepada kedua-dua kuasa itu.”
Malaysia telah menunjukkan sikap sebagai sebuah negara merdeka dengan mengkritik AS kerana pendiriannya terhadap konflik Israel-Palestin, sambil meneruskan penerokaan cari gali minyak di perairan yang dipertikaikan di Laut China Selatan walaupun Beijing menentang aktiviti tersebut.
Beza pendirian
Profesor Madya Chong Ja Ian dari Universiti Nasional Singapura menyatakan ASEAN telah bergelut dengan perbezaan pendirian tersebut selama lebih sedekad, tetapi kepentingannya semakin meningkat.
"Ia bukan hanya mengenai manipulasi luaran. Negara anggota sendiri mempunyai kehendak untuk bekerjasama dengan kuasa bukan ASEAN ke atas perkongsian antara ASEAN, walaupun ia mengorbankan perpaduan ASEAN,” katanya.
Jelas Chong, cabaran ASEAN ialah ia tidak lagi menikmati keanjalan geopolitik yang sama seperti pernah dialaminya.
“Sebelum ini, Washington dan Beijing lebih bersedia untuk menerima autonomi ASEAN, tetapi itu berubah. ASEAN dan ahlinya mendapat keuntungan dengan menjadi orang tengah dalam dunia global, tetapi era itu semakin pudar,” katanya.
Selain tekanan luar, krisis Myanmar yang dicetuskan oleh rampasan kuasa tentera pada 2021 telah menjadi salah satu isu yang paling memecahbelahkan dalam ASEAN sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Malaysia, di bawah kepimpinan Anwar menjadi pengkritik lantang terhadap junta Myanmar dengan sebelum ini menggesa tindakan lebih tegas terhadap rejim tentera.
Namun mencari konsensus mengenai Myanmar terbukti sukar difahami, kata penganalisis.
Dasar tidak campur tangan ASEAN bersama dengan penjajaran politik yang berbeza dalam kalangan negara anggota telah menyukarkan blok itu untuk mengambil tindakan bersepadu.
Shahriman Lockman, penganalisis kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, berkata kepengerusian Malaysia pada 2025 mungkin tidak akan menampakan sebarang kejayaan dalam isu-isu yang menjadi perbalahan ini.
"ASEAN sentiasa berjaya mengatasi masalah walaupun menghadapi banyak tekanan global," katanya kepada BenarNews.
“Saya tidak menjangka sebarang penyelesaian dapat dilakukan terhadap pertikaian Myanmar atau Laut China Selatan ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN.
"Keadaannya masih jauh untuk benar-benar masak bagi sebarang bentuk penyelesaian.”