Anwar: Malaysia teruskan rundingan dengan negara luar ekstradisi Jho Low

Tanpa menamakan negara rundingan, Perdana Menteri berkata proses ekstradisi adalah sesuatu yang rumit.
Noah Lee & Nisha David
2023.05.05
Kuala Lumpur
Anwar: Malaysia teruskan rundingan dengan negara luar ekstradisi Jho Low Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, berucap di majlis Angel Ball 2014 anjuran Gabrielle’s Angel Foundation di bandar raya New York, 20 Oktober 2014.
[AFP]

Malaysia sedang berbincang dengan beberapa negara untuk mempercepatkan proses ekstradisi ahli perniagaan dalam buruan Jho Low, yang didakwa mendalangi dan melarikan wang AS$4.5 bilion dari dana syarikat pelaburan strategik negara 1MDB, demikian menurut Perdana Menteri pada Jumaat.

Anwar Ibrahim memberitahu media yang Kerajaan kurang pasti jika Jho Low yang nama sebenarnya Low Taek Jho yang menjadi subjek buruan antarabangsa sedang bersembunyi di China, apabila ditanya mengenai isu tersebut.

Pada minggu ini, Malaysia telah berjaya membawa pulang seorang individu yang merupakan rakan sekutu Low yang dikehendaki negara berkenaan yang turut menerima sejumlah wang dari dana yang dicuri dari 1MDB, demikian menurut sumber kerajaan yang meminta untuk tidak dinamakan kerana tidak dibenarkan bercakap kepada media.

"Kita tidak pernah mengesahkan Jho Low berada di negara mana, tetapi kerajaan sedang berunding dengan beberapa negara bagi mempercepatkan proses mendapatkan estradisi.

"Apa yang pasti, proses membawa pulang Jho Low adalah rumit kerana ia membabitkan negara lain serta perkhidmatan risikan, Interpol dan sebagainya," kata Anwar dalam kenyataan pertama berhubung ahli perniagaan dalam buruan itu.

Beliau berkata, Malaysia telah mengadakan rundingan diplomatik dengan beberapa negara dan turut mendapat kerjasama dari negara-negara berkenaan dalam usaha Putrajaya mengekstradisi Low.

Bagaimanapun Perdana Menteri itu enggan mendedahkan senarai negara yang dimaksudkannya dan negara mana Low sedang bersembunyi, sebaliknya menegaskan yang kerajaan mahu membawanya pulang dengan seberapa segera yang mungkin.

Putrajaya sebelum ini pernah mengakui bahawa ahli perniagaan yang berada dalam buruan itu sedang berada di China.

Pada tahun lepas, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang merupakan menteri undang-undang ketika itu, berkata usaha untuk membawa Low pulang bukanlah sesuatu yang mudah kerana negara itu tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan China.

Low, yang dikehendaki pihak berkuasa antarabangsa, menghadapi pertuduhan jenayah di Malaysia dan AS atas penglibatannya dalam skandal penggelapkan wang berbilion dolar daripada 1MDB melalui hubungan rapat dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Najib telah didapati bersalah atas pertuduhan menyeleweng dana dari sebuah anak syarikat 1MDB, dan kini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.

Pendakwa Raya Malaysia dan AS percaya sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) telah dicuri daripada 1MDB dalam kes yang disifatkan sebagai “skandal kleptokrasi paling teruk”.

Low sebelum ini menawarkan sejumlah wang dalam cubaan untuk menyelesaikan kes jenayahnya di Malaysia tetapi tawaran berkenaan telah ditolak kerajaan, demikian menurut Jabatan Peguam Negara pada Julai tahun lepas.

Peguam Negara Idrus Harun dalam satu kenyataan media tidak menyatakan sebarang sebab di sebalik keputusan itu.

Beliau juga tidak mendedahkan jumlah wang yang ditawarkan oleh ahli perniagaan tersebut, tetapi portal berita The Edge Markets melaporkan ia membabitkan pemulangan sebanyak RM1.5 bilion atau AS$337 juta.

Pada Oktober 2022, Mahkamah Tinggi Malaysia telah mengarahkan supaya Low dan bapanya Larry Low Hock Peng, yang juga dalam buruan pihak berkuasa, dihukum penjara atas kesalahan menghina mahkamah selepas keduanya gagal mematuhi satu injunksi difailkan oleh 1MDB dan anak syarikatnya untuk menghalang daripada melupuskan aset mereka di negara itu.

Kedua beranak itu tidak hadir di mahkamah mahupun diwakili oleh peguam ketika mahkamah mendengar kes yang melibatkan perintah yang diperolehi oleh 1MDB supaya Jho Low serta bapanya dihalang daripada melupuskan aset-aset bernilai AS$1.03 bilion (RM4.84 bilion) dan AS$401.5 juta (RM1.88 bilion) di Malaysia.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya dilaporkan telah memfailkan saman berjumlah AS$3.8 bilion terhadap Jho Low, bapanya Larry Low, dan ibunya Goh Gaik Ewe, serta kakak dan adik lelaki ahli perniagaan itu dan seorang sekutunya.

Susulan daripada itu, syarikat dana pelaburan negara tersebut juga telah memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah bagi menghalang mereka daripada melupuskan sebarang aset di Malaysia.

Skandal 1MDB juga dikatakan antara sebab di sebalik kekalahan UMNO dalam Pilihan Raya umum Malaysia pada 2018 dan merupakan kali pertama parti itu tumbang setelah lebih 60 tahun memerintah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.