Bebaskan Anwar dan Bertemu Seteru Politik Pada Sambutan Dua Tahun Dipenjara
2017.02.10
Kuala Lumpur

Kumpulan masyarakat sivil tempatan dan antarabangsa pada Jumaat menggesa pembebasan segera tanpa syarat pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim, sementara bekas perdana menteri Mahathir Mohamad bertemu dengan pemimpin itu di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Anwar, 69 tahun pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya pada 2008 – hukuman penjara kedua terhadapnya selepas pertuduhan yang sama pada 1998.
Mahathir memberitahu, mereka berbincang mengenai keadaan politik semasa negara dan bersetuju bahawa Perdana Menteri Najib Razak harus berundur.
"Kita (BERSATU) komited untuk mengukuhkan pembangkang," kata Mahathir yang kini merupakan Pengerusi parti BERSATU semasa ditemui media di luar mahkamah.
"Mengenai pertemuan, kami berdua bersetuju mengenai hal-ehwal politik semasa negara, dan PM Najib harus pergi kerana dia menjual negara," katanya seperti dilaporkan portal berita Malaysiakini pada Jumaat.
Mahathir membuat kejutan dengan kehadiran beliau di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 11.45 pagi dan duduk di samping Naib Presiden PKR Nurul Izzah yang juga anak sulung Anwar.
Pertemuan tersebut berlangsung semasa mahkamah berhenti rehat. Terdahulu itu, Presiden Parti BERSATU yang juga bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin turut mengadakan pertemuan dengan Anwar.
Kes di mahkamah itu berhubung saman Anwar terhadap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Amnesty International bagi Asia Tenggara dan Pasifik Josef Benedict dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat sempena sambutan ulang tahun kedua Anwar di penjara berkata "Penganiayaan politik berterusan terhadap Anwar Ibrahim adalah simbol tindakan keras Malaysia terhadap hak asasi manusia.
"Beliau secara tidak adil terpaksa menghabiskan masa dua tahun di penjara atas tuduhan yang direka-reka bertujuan untuk menutup mulutnya dan menamatkan kerjaya politik beliau," dakwa Josef.
Pada Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membebas dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukari apabila Hakim Mohamad Zabidin berkata mahkamah tidak boleh seratus-peratus yakin mengenai integriti sampel yang diambil untuk ujian DNA daripada Saiful kerana sampel itu mungkin telah dikompromi sebelum tiba di Jabatan Kimia untuk dianalisa.
Tetapi pada 7 Mac 2014, panel hakim Mahkamah Rayuan diketuai Balia Yusof Wahi mendapati Anwar bersalah kerana meliwat, menolak keputusan Mahkamah Tinggi dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya.
Pada Mac 2015, Lembaga Pengampunan menolak petisyen Anwar untuk mendapatkan pengampunan Diraja, tetapi pada Jun tahun yang sama, Anwar, isterinya Wan Azizah dan dua anak perempuan mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha, memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan itu.
Anwar turut memohon kebenaran untuk mencabar dan membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan sambil mendesak lembaga itu supaya menasihati Yang di-Pertuan Agong agar memberi pengampunan dan membebaskannya
Lembaga berkenaan menolak petisyen beliau untuk mendapatkan pengampunan Diraja dalam usaha untuk membebaskannya dari penjara, di mana beliau sedang menjalani hukuman penjara lima tahun, menurut laporan.
Tetapi pada 18 Januari lepas, panel tiga hakim memutuskan dengan sebulat suara bahawa pengasas Parti Rakyat Keadilan (PKR) yang juga musuh politik Perdana Menteri Najib Razak boleh meneruskan tindakan undang-undang terhadap keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan pada Mac 2015.
"Sabitan kes keatas Anwar adalah satu tamparan hebat kepada hak asasi manusia apabila kerajaan Malaysia meningkat serangan ke atas masyarakat awam,
Rekod hitam
"Ini termasuk gangguan, ugutan, penangkapan dan pendakwaan terhadap aktivis yang telah meminta pembebasan Anwar," kata Josef, sambil memberi contoh tindakan keras yang dikenakan terhadap kartunis satira yang juga penyumbang BenarBerita Zunar dan juga pemimpin BERSIH Maria Chin Abdullah.
Gesaan itu turut disuarakan oleh Persekutuan Antarabangsa bagi Hak Asasi Manusia (FIDH) dan organisasi keanggotaannya Suaram, dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Jumaat.
"Satu-satunya cara titik hitam ini dapat dihapuskan dari rekod hak asasi manusia di Malaysia adalah dengan segera membebaskan Anwar," kata Presiden FIDH Dimitry Christopoulous.
Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy, dalam kenyataan yang sama berkata, sudah tiba masanya kerajaan berhenti mengabaikan penemuan kumpulan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu [PBB].
"Keengganan berterusan Kerajaan Malaysia untuk melaksanakan keputusan PBB yang mendapati penahanan Anwar yang dibuat sewenang-wenangnya adalah amat dikesali."
Ia merujuk kepada pendapat yang dikeluarkan oleh kumpulan kerja PBB mengenai penahanan sewenang-wenangnya (UNWGAD) pada 1 September 2015, yang menganggap penahanan Anwar dibuat dengan sewenang-wenangnya.
Dalam pada itu Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, dalam satu kenyataan berasingan, berkata Anwar telah berkhidmat untuk "memerangi rasuah dan penyelewengan" dan berjuang untuk
perubahan.
"Memenjarakan Anwar bertujuan untuk mematahkan semangatnya, dan usaha kita untuk menentang kerajaan kleptokrasi serta rasuah," katanya.
Penganjur kempen #Bebaskan Anwar telah mengadakan "Rumah Terbuka Berbilang Kaum" dengan berhimpun di depan penjara Sungai Buloh - di mana mereka turut mengadakan persembahan, ceramah dan bacaan puisi.