Mahkamah Malaysia Benar Anwar Cabar Keputusan Lembaga Pengampunan
2017.01.18
Putrajaya

Pemimpin pembangkang yang dipenjarakan Anwar Ibrahim kini meneruskan usaha mencabar keputusan mahkamah yang menolak permohonan yang dibuat dua tahun lalu bagi mendapatkan pengampunan diraja atas sabitan kes liwat yang membabitkan beliau selepas Mahkamah Rayuan memutuskan mengenainya pada Rabu.
Panel tiga hakim memutuskan dengan sebulat suara bahawa pengasas Parti Rakyat Keadilan (PKR) yang juga musuh politik Perdana Menteri Najib Razak boleh meneruskan tindakan undang-undang terhadap keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan pada Mac 2015.
Lembaga berkenaan menolak petisyen beliau untuk mendapatkan pengampunan Diraja dalam usaha untuk membebaskannya dari penjara, di mana beliau sedang menjalani hukuman penjara lima tahun, menurut laporan.
Keputusan mahkamah pada Rabu itu sekaligus bermakna bahawa Anwar boleh membawa kesnya ke Mahkamah Persekutuan, sebuah mahkamah yang boleh membuat keputusan sama ada beliau mempunyai hak perlembagaan untuk mencabar keputusan lembaga itu, agensi berita Reuters melaporkan.
"Saya di sini untuk perjuangan yang besar," Anwar, 69, memberitahu pemberita di mahkamah sebelum dibawa pergi oleh pegawai penjara selepas keputusan itu, menurut laporan media tempatan.
Keputusan itu memberi Anwar dan keluarganya sedikit harapan bahawa Anwar berkemungkinan mendapat kebebasan lebih awal daripada yang ditetapkan, menurut isterinya, Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR yang sebelum ini, berkata, keputusan oleh Lembaga Pengampunan tidak boleh dipertikaikan.
"Bagaimanapun, Anwar telah membangkitkan persoalan undang-undang berdasarkan kes di United Kingdom dan pindaan Artikel 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan pada 1994, di mana peguam Anwar berhujah bahawa kedua-dua isu tersebut mempunyai implikasi bahawa Mahkamah Persekutuan boleh bersetuju dengan mereka, dan keputusan Lembaga Pengampunan boleh dipersoalkan,'' kata Wan Azizah kepada BeritaBenar pada Rabu.
"Kami akan berada di mahkamah pada 2 Februari depan berhubung perkara ini," katanya. Mahkamah Rayuan mengemukakan kes itu kepada Mahkamah Tinggi untuk tindakan pada tarikh tersebut.
Pertempuran undang-undang Anwar
Anwar kini sedang menjalani hukuman lima tahun di Penjara Sungai Buloh kerana meliwat bekas pembantunya pada 2008.
Pada Jun 2012, Anwar telah dibebaskan daripada tuduhan liwat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamad Zabidin. Hakim tidak yakin bahawa sampel DNA yang diambil dari bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukari, tidak tercemar.
Tetapi pada 7 Mac 2014, Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu dan menghukum Anwar sehingga lima tahun penjara. Pada 10 Februari 2015, panel Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria menolak rayuan Anwar dan mengekalkan sabitan itu.
Pada Mac 2015, Lembaga Pengampunan menolak petisyen Anwar untuk mendapatkan pengampunan Diraja, tetapi pada Jun tahun yang sama, Anwar, Wan Azizah dan dua anak perempuan mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha, memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan itu.
Anwar turut memohon kebenaran untuk mencabar dan membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan sambil mendesak lembaga itu supaya menasihati Yang di-Pertuan Agong agar memberi pengampunan dan membebaskannya
Isterinya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, dan dua anak perempuan mereka, Nurul Izzah, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Nurul Nuha turut memohon perintah untuk mendesak lembaga itu menimbang semua semua bahan yang mempunyai kaitan dengan petisyen keluarga untuk mendapatkan pengampunan diraja.
Keputusan pada Rabu itu terjadi hanya lebih sebulan selepas Anwar gagal membuat rayuan di mahkamah untuk dibebaskan dari penjara sebelum hukumannya berakhir. Pada 14 Disember 2016, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mengkaji semula sabitan keputusan mahkamah pada 2014, dengan sebulat suara berkata permohonan Anwar itu tidak mempunyai merit.
"Ini bukan satu kes yang layak serta sesuai bagi mahkamah untuk menggunakan bidang kuasa yang ada," kata Hakim Mahkamah Tinggi Zulkefli Ahmad Makinudin semasa prosiding memaklumkan keputusan mahkamah itu bulan lalu.
Barisan pendakwaraya pada masa itu berkata Anwar telah kehabisan segala peluang yang ada supaya sabitan dan hukuman ditarik balik. Sebarang rayuan di hadapan Lembaga Pengampunan menjadi sia-sia kerana penolakan sebelum ini.
Melainkan Anwar diberi pengampunan, beliau tidak boleh mencabar musuh politik beliau, Perdana Menteri Najib, dalam pilihan raya umum yang dijadualkan pada pertengahan 2018. Undang-undang Malaysia membatalkan kelayakan seseorang yang telah disabitkan kesalahan di mahkamah daripada bertanding dalam pilihanraya, menurut Reuters.